Wednesday, July 3, 2013

BERUSAHA KERAS PERKASAKAN EKONOMI MELAYU.

SAYA berasa terpanggil untuk menulis surat ini atas dasar ekonomi Melayu masih lagi statik sehingga kini. Statik dalam erti kata merujuk kepada sifat kurang berdaya saing usahawan-usahawan Melayu kerana tidak cukupnya sokongan dan dokongan daripada pihak-pihak berwajib, selain pelaksanaan dasar-dasar keusahawanan yang dilihat cenderung kepada meningkatnya penglibatan usahawan bukan Melayu.

Selain itu, melalui pengamatan saya, dapat dilihat bahawa kurangnya bimbingan dan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan juga telah mengakibatkan sebahagian besar usahawan-usahawan Melayu/Bumiputera berasa tawar hati untuk meneruskan karier mereka dalam bidang perniagaan. Atas dasar itulah, maka penubuhan MAPEM (Majlis Perundingan Ekonomi Melayu Malaysia) dilihat sangat signifikan dalam memartabatkan kembali ekonomi Melayu yang dilihat begitu rancak semasa era Tun Dr. Mahathir dahulu.

Pada 25 Jun yang lalu, MAPEM telah mengadakan mesyuarat agung yang pertama selepas PRU-13. Apa yang menarik perhatian saya adalah cadangan penubuhan Pasukan Petugas (Task Force) bagi membincangkan perkara-perkara dan dasar yang perlu dilaksanakan khususnya melalui Belanjawan 2014, termasuk bantuan kepada usahawan dan peniaga Melayu yang berpusat di kawasan-kawasan luar bandar.

Pasukan Petugas ini dilihat mampu membawa nafas baru kepada ekonomi Melayu yang dilihat semakin menguncup. Saya percaya Pasukan Petugas ini boleh berperanan secara pro-aktif dalam merangka pelan pembangunan ekonomi Melayu secara holistik. Saya sangat berharap agar segala hasil perbincangan Pasukan Petugas ini nanti tidak berhenti sekadar di meja rundingan semata-mata, tetapi lebih signifikan dari itu.

Pasukan Petugas ini perlu menggembleng tenaga dan bekerjasama secara langsung dengan agensi-agensi kerajaan bagi memastikan bantuan sampai terus kepada usahawan Melayu dan Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Saya juga ingin mencadangkan agar Pasukan Petugas ini diberi mandat khas dalam mengenalpasti peluang-peluang perniagaan yang boleh disalurkan terus kepada bakal-bakal usahawan Melayu dan bumiputera.

Di samping itu, Pasukan Petugas ini boleh menjadi penasihat kepada pihak kerajaan khususnya kepada Kementerian Perdagangan antarabangsa dan Industri (MITI) dan MATRADE supaya dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan di peringkat antarabangsa kepada usahawan Melayu dan Bumiputera. Ini penting atas dasar ekonomi Melayu hanya boleh berkembang pesat sekiranya usahawan Melayu berani mencabar dan menembusi pasaran antarabangsa yang dilihat mempunyai potensi yang sangat besar khususnya di pasaran China, Eropah dan Negara-negara Islam.

Harus diingat, produk keluaran usahawan Melayu tempatan terbukti mempunyai daya saing yang tinggi. Kita mengalu-alukan lebih banyak usahawan Melayu dan Bumiputera menghasilkan produk-produk berjenama halal yang disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dipasarkan ke luar negara. Atas sebab itulah perlu ada kerjasama ampuh dan erat di antara kementerian dan agensi-agensi kerajaan pusat dengan golongan usahawan Melayu dan Bumiputera.

Usahawan Melayu tempatan juga perlu diberi pendedahan dan pengetahuan mengenai isu-isu ekonomi Melayu, mekanisme pemantauan perlaksanaan dasar dan penyampaian program-program pembangunan ekonomi Melayu oleh kerajaan. Ini dilakukan melalui agensi-agensi amanah atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat-syarikat milik Bumiputera yang diberikan amanah oleh Kerajaan dan program-program pembangunan ekonomi ahli-ahli gabungan khasnya dan masyarakat Melayu.

Saya ingin merujuk kenyataan Presiden MAPEM, Tan Sri Rozali Ismail, yang menegaskan betapa pentingnya kita memperkasakan survival ekonomi kaum Melayu-Bumiputera bukan setakat untuk mencapai 30 peratus ekuiti Melayu tetapi ke paras 60 peratus menjelang 2020.

By: Lang Buana. 


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik