Sunday, July 7, 2013

BIARLAH RAKYAT MENILAIN : SATU WAWANCARA DENGAN AHMAD SABERY

Apakah tujuan menambah masa siaran televisyen dan menyiarkan sesi Dewan Rakyat menerusi Internet?

AHMAD SHABERY: Ia bagi memenuhi kehendak orang ramai yang selama ini mahu ada ketelusan dari segi perbincangan di Parlimen. Ini bukan sahaja dari segi hendak melihat apa yang dibahaskan, dasar atau isu yang ditimbulkan, tetapi `drama yang berlaku dalam Parlimen. Tidak dinafikan dari semasa ke semasa `drama ini boleh tercetus, pada bila-bila masa dan `drama ini adalah realiti, bukan berdasarkan skrip yang diatur.

Oleh itu sesuai dengan perkembangan penyiaran moden, orang ramai akan mendapat maklumat terkini tentang apa yang berlaku. Terkini itu maksudnya real-time (masa nyata). Apa yang berlaku sekarang, keluar sekarang. Sebab itu media sosial menjadi pilihan baharu kerana ia cepat mengeluarkan maklumat.

Sekarang ini, bila RTM memperkenalkan siaran langsung, ia merupakan satu permulaan besar kepada kita dan bagi saya, satu pemodenan dalam RTM itu sendiri.

Pemodenan bukan sekadar dari segi kelengkapan penyiaran, studio dan transmisi digital, saluran dengan gambar berkualiti tinggi (HD), sistem suara yang lebih baik dan terang yang menggunakan sistem Dolby dan bunyi sekeliling, malah yang paling penting ialah kandungannya. Sebagai media yang boleh menyampaikan maklumat, kandungan RTM itu mestilah bersifat masa nyata dan paling terkini.

Bagi saya, salah satu daripada tumpuan rakyat sekarang ialah apa yang berlaku dalam Parlimen dan kita membantu mereka dengan menyalurkan secara langsung tanpa suntingan. Kalau masa itu mereka baling selipar atau kasut, kita tengoklah. Apa yang kita laksanakan ini juga bagi memenuhi permintaan yang mahukan RTM mesti bersikap lebih adil. Jika sebelum ini timbul isu orang kata RTM hanya digunakan untuk menyiarkan wajah pemimpin-pemimpin kerajaan sahaja, sekarang tidak lagi.

Ini kerana kalau dalam waktu siaran langsung itu ahli Parlimen pembangkang yang banyak bertanya soalan, maka mereka akan dapat publisiti. Kadang-kadang mungkin dia dapat lebih banyak daripada pemimpin kerajaan kerana kita tidak lagi tentukan berapa minit untuk kerajaan dan berapa minit untuk pembangkang. Jadi segala yang dibangkitkan sebelum ini sudah tidak menjadi isu sama sekali lagi sekarang dan masa akan datang.

Bagaimanapun, sehingga sekarang apabila diumumkan pembaharuan ini, saya tidak mendengar sepatah pun pujian daripada pembangkang, tetapi saya buat ini bukan kerana pembangkang.

Kenapa tidak diadakan saluran khas televisyen untuk sidang Parlimen?

AHMAD SHABERY: Kita menyiarkan melalui Internet kerana terdapat kekangan memandangkang kita hanya ada dua saluran televisyen. Untuk menambah lagi satu lagi saluran, ia melibatkan kos yang sangat tinggi kerana kita perlu ada spektrum atau frekuensi baharu. Sekarang ini, kita terpaksa berhati-hati ketika mengagihkan frekuensi kerana ia juga digunakan untuk jalur lebar 3G dan 4G, telefon bimbit, radio dan kegunaan polis, tentera serta bomba. Kita juga perlu memasang pemancar baharu dan kosnya mungkin antara RM200 juta hingga RM300 juta. Kos siaran melalui Internet pula tidaklah terlalu tinggi.

Sebab lain kerana televisyen kita kini menggunakan sistem analog. Sistem ini sudah tidak dipakai lagi oleh banyak pihak dan akan digantikan dengan sistem digital yang lebih ekonomik. Oleh itu buat apa kita mahu tambah saluran transmisi analog ketika orang lain sudah hendak tutup sistem itu. Apatah lagi hendak cari alat ganti pun sudah tidak ada lagi sebab dunia sudah semua berhijrah kepada digital.

Dalam Facebook saya, ada orang kecam kerana tidak mahu mengadakan satu saluran baharu. Saya jelaskan bahawa saluran baharu sudah tidak praktikal, sebab tambahan saluran berdasarkan kepada pemancar analog sudah tidak dipakai orang.

Bagi saya, sekiranya masih ada orang yang ingin mengikuti perkembangan dalam Parlimen mereka boleh melayari di mana-mana sahaja melalui Internet. Kualiti gambarnya lebih baik kerana kita menggunakan kamera berkualiti dan berdefinisi tinggi.

Bila bermulanya pembaharuan siaran ini?

AHMAD SHABERY: Bermula pada 1 Julai selepas saya mendapat persetujuan daripada Kabinet. Ssebelum itu apabila saya menyemak rating pada hari pertama angkat sumpah, lebih daripada 1.8 juta orang menonton siaran langsung di televisyen.

Sebab itu saya minta persetujuan daripada Kabinet supaya waktu soal jawab keseluruhan iaitu satu jam setengah disiarkan secara langsung melalui televisyen dan selebihnya waktu perbahasan disiarkan melalui siaran Internet.

Ramai yang terkejut kerana orang yang pertama mendapat siaran secara langsung waktu perbahasan yang boleh ditonton serata dunia melalui Internet ialah Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, siaran melalui Internet ini ada kekangannya kerana jalur lebar yang kita ada hanya boleh menampung 30,000 orang dalam satu masa. Tetapi dalam masa yang sama kita sudah berbincang supaya digunakan platform tambahan. Platform rasminya adalah di bawah RTM mobile (m.rtm.gov.my) tetapi pada hari ini saya sudah mendapat platform baharu di bawah 1Malaysia TV.

Kalau tengok RTM mobile , ia sebenarnya sudah ada lima saluran iaitu TV1, TV2, TVi, Muzik Aktif dan RTM Parlimen. Semuanya boleh diikuti melalui komputer, tablet atau telefon pintar asalkan mempunyai sambungan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) atau jalur lebar 3G.

Ada cadangan untuk memperkembangkan saluran RTM Parlimen?

AHMAD SHABERY: Ya, insya-Allah kita akan kembangkan, bukan sahaja untuk perbahasan dalam Dewan Rakyat sahaja tetapi juga di Dewan Negara.

Ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan politik, misalnya Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Saya akan minta kebenaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kalau boleh kita nak letakkan kamera waktu mengira undi, supaya orang boleh mendapat keputusan lebih cepat melalui RTM Parlimen atau siaran televisyen secara langsung. Saya juga boleh berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri misalnya kalau mereka hendak menggunakan platform ini bagi menyiarkan sidang DUN.

Macam mana boleh mendapat idea siaran langsung ini?

AHMAD SHABERY: Ini bukan perkara baharu kerana siaran langsung Dewan Rakyat melalui RTM selama setengah jam telah saya perkenalkan semasa saya menjadi Menteri Penerangan (pada 2008).

Waktu itu kawan-kawan saya mempersoalkan kerana hari pertama, waktu siaran ini dibuat , pembangkang telah menyalahgunakan kebebasan setengah jam itu dengan membangkitkan perkara-perkara yang tidak relevan. Mereka seperti orang kemaruk pada waktu itu kerana kali pertama mendapat siaran langsung.

Saya ingat lagi Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang hanya membangkitkan perkara-perkara yang berkaitan soal aturan mesyuarat dan isu remeh temeh semasa sesi menjawab soalan yang pertama, sampai habis waktu setengah jam itu, sehinggakan orang mencemuh dengan menyatakan gelagat ahli Parlimen memalukan.

Selepas setahun menjadi Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menggantikan saya telah menyatakan bahawa saluran berkenaan perlu diuruskan kembali, tetap setengah jam tetapi perlu ada rawatan.

Sekarang, saya ingin memberi kesempatan sekali lagi kepada ahli Parlimen tanpa mengira kerajaan ataupun pembangkang. Satu peluang yang seluas-luasnya untuk mereka menggunakan saluran ini bagi membantu pembangunan negara.

Datuk Seri tidak bimbang pihak pembangkang menyalahgunakan kemudahan ini sekali lagi?

AHMAD SHABERY: Saya berpendapat akhirnya rakyat akan mampu menilai. Rakyat dapat melihat apa yang disampaikan oleh pihak kerajaan dan pembangkang serta bagaimana sikap ahli Parlimen apabila menjawab sesuatu isu yang ditimbulkan.

Dalam politik, orang kata yang paling susah ialah untuk menjawab. Kalau dia tak buat, dia kena menjawab. Kalau dia ada menyalahgunakan kuasa, dia kena jawab. Kalau dia bercakap bohong pun akhirnya orang akan tanya dan dia kena jawab.

Jadi isu yang paling penting dalam sistem berpolitik kita ialah bertanggungjawab. Nama pun tanggungjawab, maknanya boleh atau tidak dia menjawab apa yang ditimbulkan dalam institusi paling penting sekali iaitu Parlimen.

Misalnya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng membangkitkan soal Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) didakwa mempunyai akaun yang banyak termasuk dalam bank di Israel dan Singapura sampai berpuluh-puluh juta ringgit, ia menjadi tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk menjawab, jangan kata bahawa kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk menjawab.

Anwar juga kena menjawab segala apa yang dibangkitkan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bahawa dia mendapat bantuan daripada pihak luar termasuk Amerika Syarikat (AS), Filipina dan Turki. Kalau dia tak menjawab, rakyat sepatutnya boleh menilai. Jadi keterbukaan kita boleh menjadi perkara baik dan buruk kepada kedua-dua belah pihak. Saya pernah dengar bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, blog celaka. Sebab dia sendiri tak tahan dengan kritikan terhadapnya.

Kenapakah kita tidak menyekat siaran melalui Internet seperti di China?

AHMAD SHABERY:

Jika sekatan dibuat, kita akan menangguhkan manfaat yang mungkin dapat diterima daripada teknologi maklumat. Misalnya, menerusi pemasaran melalui Internet berapa ramai orang yang dulunya berpendapatan RM400 sebulan kini memperolehi RM20,000 atau RM40,000 sebulan. Ini bermakna kita tidak boleh menyekat kemajuan.

Kita tahu ada yang menyalahgunakan teknologi ini. Dulu kita syaratkan siapa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) perlu berdaftar bagi memudahkan kita membuat pengesanan. Tetapi orang telah beralih kepada BlackBerry Messenger. Apabila ia juga perlu didaftarkan orang beralih kepada aplikasi lain yang lebih baharu.

Ini bermakna menghalang orang berkomunikasi melalui media sosial ini macam menghalang orang pergi ke kedai kopi. Kerana orang suka berbual, hari-hari kita berucap, ini benda yang tak boleh kita nak sekat. Apa guna kita bina infrastruktur seperti jalur lebar dan talian telefon yang kerajaan sendiri membantu membangunkan, kalau kita menghalang penggunaan aplikasi terbabit.

Cara terbaik mendidik rakyat untuk menggunakan aplikasi terbabit dengan bijak dan tahu menilai baik dan buruk.

Apakah ketelusan yang akan ditunjukkan RTM ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Besut?

AHMAD SHABERY: Saya akan berbincang dengan SPR supaya dibenarkan kamera televisyen berada dalam bilik pengiraan dan bilik mengundi bagi membolehkan orang ramai melihat apa sebenarnya berlaku secara telus dan dalam masa nyata. Rakyat juga boleh tengok kertas undi dikira satu persatu.

Mungkin zaman dulu, selalunya RTM kalau BN menang baru keluarkan cerita itu. Kalau kalah gulung wayar dan simpan kamera, tetapi akhirnya orang tahu juga kalau RTM balik awal, itu maknanya BN kalah.

Jadi sekarang kita letak kamera, biar rakyat sama-sama menunggu keputusan dengan duduk depan televisyen atau melayari Internet. Orang kena belajar menerima keputusan, termasuk orang kerajaan juga. Kalau BN menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah. Hidup mesti diteruskan.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik