Wednesday, July 3, 2013

BILA SARAVANAN BANGKIT ISU KAUMNYA.

SEBENARNYA agak jarang penulis duduk semeja dengan pemimpin kanan MIC untuk mendengar keluhan dari mulut mereka sendiri mengenai isu masyarakat India.

Apa lagi tentang masalah-masalah yang membelenggu masyarakat India. Kali terakhir seingat penulis bertemu dan berbual bersemuka dengan pemimpin parti itu, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu dan dan timbalannya Datuk S.Subramiam - yang kedua-duanya begitu 'terbuka' - sekitar awal tahun 2000 dulu.

Kalau pun menerusi laporan yang terpapar di dada akhbar-akhbar arus perdana termasuklah akhbar-akhbar Tamil kebelakangan ini, yang agak terasa 'penangan dan pedas' seseorang daripada MIC hanyalah kelibat seorang aktivis parti itu yang sebelum ini merupakan Naib Pengerusi Strategik dan pernah mengetuai biro kebajikan parti, Datuk R. Ramanan. Agak banyak juga isu kaum India dibangkit dan diselesaikannya. Dan DAP pula cukup 'takut' dengan pendedahan agak vokal satu persatu rahsia yang dicungkilnya.

Baru-baru ini, penulis bertemu dengan Naib Presiden MIC, Datuk M.Saravanan. Dalam pertemuan singkat selama setengah jam itu, dari nadanya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu juga kritikal dalam hujah-hujahnya ketika bercakap mengenai masa depan masyarakat India.

Saravanan tidak retorik. Salah satu kegagalan 'kita', kata beliau, adalah tiada usaha berkesan untuk memperkasakan ekonomi belia India.

"Dalam empat tahun lepas, PM (Perdana Menteri) telah banyak beri peruntukan kepada masyarakat India. Cukup banyak. Tapi sebahagian besarnya disalurkan kepada rumah-rumah ibadat (kuil-kuil). Dan hampir semua rumah ibadat ini dibina menggunakan pemaju dari India. Pekerja-pekerjanya pula yang ada kepakaran pembinaan (ukiran) didatangkan khas dari India.

"Jadi, walaupun peruntukan ekonomi itu berjuta-juta disalurkan kepada masyarakat India, duit itu hanya mengalir ke luar...ke India.

Dari segi faedah invidu yang diperoleh kaum India di sini (negara ini) tak banyak," kata beliau.

Ahli Parlimen Tapah itu memberitahu penulis, isu pengaliran wang keluar ke India itu barangkali satu isu lain. Beliau sebenarnya pun tidaklah menentang peruntukan yang baik itu untuk keperluan kuil- kuil. Tetapi cuma yang agak mengejutkan Saravanan ialah suatu perkara yang lebih besar daripada itu.

"Dahlah hampir semua 2,500 rumah ibadat masyarakat India, kerajaan yang bagi peruntukan sampai beratus-ratus juta, tapi bila tiba hari sebenar untuk kita minta sokongan pada pilihan raya umum baru-baru ini, mereka (yang mengetuai kuil-kuil ini) boleh berkata pula kepada 'kita' (MIC), kami tidak boleh suarakan pendirian...kami tidak mahu memihak kepada sesiapa.

"Bayangkan kalau RM300 juta yang kita belanjakan untuk rumah-rumah ibadat ini sebahagiannya kita salurkan kepada belia-belia India...ya, kita tentu boleh lahirkan sekurang-kurangnya 20,000 belia India dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, beri peluang kerja kepada mereka. Akhirnya, nanti mereka inilah yang akan berada di barisan hadapan menyokong kita," ujarnya.

Atas sebab inilah setelah melihat dengan mata kepala sendiri, Saravanan bertekad bahawa MIC mesti melakukan sesuatu untuk kepentingan kaum India, sekali gus faedahnya mengalir ke BN sendiri.

"Saya akan menggerakkan satu program untuk memperkasakan 100,000 belia India dalam tempoh 24 bulan. Kalau program ini berjaya, ya...kalau setiap belia ini ada ahli keluarganya kira-kira lima orang, maknanya kita (kerajaan) sudah ada 500,000 orang di belakang kita.

"Kadang kala kita asyik salurkan peruntukan kepada rumah-rumah ibadat sahaja, bukan orang ramai tak tahu ini, semua tahu... tapi akhirnya tiada 'legasi' (hasilnya) kepada (BN) dalam PRU (pilihan raya umum) sebab mereka tak nak declare (sokongan)," kata beliau.

Menurutnya, program memperkasakan belia India itu akan dimulakan bulan depan (Julai 2013) dan dalam tempoh dua tahun mendatang ini akan mencapai matlamatnya.

"Antaranya, dari segi penternakan. Contohnya di Johor, kita akan minta pegawai- pegawai kerajaan beri peruntukan tanah untuk tujuan ini, sekurang-kurangnya dalam masa lima tahun...tak perlulah dikeluarkan geran/surat hak milik. Katakan ada 5,000 ekar yang mana setengahnya diperuntukkan kepada belia India.

"Penternakan lembu misalnya adalah bidang penting yang banyak dimonopoli kaum Sikh, mereka juga dalam kategori masyarakat India dan kini agak kaya-raya, cuma kali ini kita berilah tumpuan kepada belia-belia India," katanya.

Antara lain yang terkandung dalam program memperkasakan itu, kata Saravanan, adalah usaha untuk melahirkan atlet-atlet kaum India tanah air berbakat yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dulu.

"Satu ketika dahulu, saya masih ingat lagi apabila menyaksikan G.Shanti yang di nobat sebagai Ratu Pecut Negara berlari. Saya juga masih ingat nama-nama besar seperti atlet jarak jauh negara termasuklah M. Ramachandran, S.Muthiah, P. Jayanthi, Munusamy dan Josephine Mary mengecap kegemilangan dalam acara masing-masing.

"Paling saya tidak lupa ialah saat G.Saravanan dikalungkan pingat emas dalam acara 50km Jalan Kaki pada Sukan Komenwel 1998 di Kuala Lumpur. Tapi, apabila kini saya duduk di kerusi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, saya terfikir di manakah mereka ini sekarang.

"Tiadakah generasi pelapis daripada kalangan kaum India sendiri bagi menggantikan tempat mereka ini?" kata beliau.

Sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat India tidak pernah tersisih daripada sebarang kejayaan dalam bidang sukan. Datuk N. Magendran dan Datuk N. Mohandass telah membuktikan hakikat bahawa bidang sukan memang tidak asing dalam kehidupan masyarakat India. Mereka berdua telah mencatat nama sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya sampai ke kemuncak gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest.

Dalam sukan paling popular iaitu bola sepak, Datuk M. Chandran merupakan salah seorang individu penting dalam skuad bola sepak negara ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972. Selain beliau, tokoh-tokoh sukan berbangsa India yang lain juga termasuklah Tan Sri P. Alagendara (hoki), Datuk Punch Gunalan (bandminton), mendiang R. Arumugam (bola sepak) dan M. Kumaresan (lumba basikal) yang pernah mewakili negara di kejohanan Olimpik terdahulu.

"Nama Renuga Veeran mungkin kurang kita kenali berbanding nama besar lain dalam arena badminton di Malaysia berbanding Datin Wong Mei Chu, Wong Pei Tty dan Chin Ei Hui. Namun, hakikat sebenar di sebalik pemilik nama yang pernah menuntut di Sekolah Rendah Kepong Kuala Lumpur ini agak menyedihkan saya.

"Dia lahir dan berasal dari Malaysia. Namun, entah mana silapnya, beliau kini telah mendapat kerakyatan Australia dan apa yang lebih menyedihkan, beliau merupakan seorang pemain badminton profesional dan telah mewakili Australia dalam temasya Sukan Olimpik London yang lalu.

"Tapi, dalam hal ini saya suka mengingatkan bahawa kejayaan tidak boleh dicapai dalam tempoh yang singkat...seorang atlet tidak boleh dilahirkan dalam satu malam.

"Kena ada sistem pemilihan dan penilaiannya. Sistem ini bergantung kepada jenis latihan dan jenis makanan yang diambil oleh atlet berkenaan...mungkin kita perlukan lima atau 10 tahun dari sekarang," katanya.

Barangkali impian Saravanan boleh dicapai dalam waktu terdekat ini. Hasrat untuk menyaksikan belia India Malaysia bertanding di Sukan Olimpik mungkin tidak mustahil dengan kemunculan M.Praveen Nair, penuntut Sekolah Antarabangsa Nexus di Putrajaya yang menyertai acara showjumping 1.2 meter dan berjaya mengungguli pusingan pertama dan kedua Kelayakan Sukan Olimpik Belia dan Cabaran Lompatan Dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort yang lalu. Beliau kini mempunyai peluang ke Sukan Olimpik Belia di Nanjing, China. Namun kini kita masih menunggu keputusan daripada FEI.

Pihak FEI hanya akan mengeluarkan senarai atlet yang layak ke Sukan Olimpik Belia pada penghujung November ini.

Bertemu Saravanan di Parlimen kelmarin, penulis mengakui beliau memiliki visi senada dengan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat masyarakat India berganding bahu mencorakkan keharmonian negara.

Dan setelah meneliti vokalnya Saravanan dan Ramanan, penulis akhirnya akur bahawa MIC nampaknya masih ada kelibat pemimpin yang tidak 'membantu' apabila bercakap isu sebenar kaumnya.

By: Zulkifli Jalil.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik