Tuesday, July 9, 2013

BINA EKONOMI BERTAMADUN ISLAM.

DALAM beberapa artikel Kolum Khalifah Bisnes sebelum ini saya kerap menyuarakan pendirian Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyarankan agar kerajaan mencorak semula sistem ekonomi negara supaya lebih menzahirkan ciri tamadun Islam. Terutama setelah Melayu-Islam mendapat tekanan dan desakan kuat serta ancaman hebat pengaruh budaya ekonomi asing.

Sesungguhnya, sistem ekonomi kuat mempengaruhi pembangunan jati diri dan corak tamadun; dan demikian juga sebaliknya. Terutama sistem ekonomi pacuan bisnes atau business-driven hari ini. Gaya dan kaedah bisnes menjadi faktor utama mewarnai budaya dan nilai hidup bangsa. Jika rakus warga bisnes, rakuslah bangsa amnya.  Bisnes tanpa amanah dan ‘adil juga akan menjadi cermin kerendahan akhlak dan ketandusan nilai budaya tamadun bangsa.  

Bahaya menciplak kapitalis liberal

Demikian juga, bangsa Melayu-Islam wajib waspada setiap kali negara seperti Malaysia menciplak doktrin politik atau dasar dan model ekonomi asing. Paling penting, kerajaan Malaysia wajib menjauhi desakan popular politik berpemikiran liberal membangun ekonomi berdasarkan doktrin kapitalis liberal Barat memperkasa swasta tanpa had, dan sempadan.

Pandangan politik liberal ini, sama ada sedar atau tidak, didukungi ramai ahli ekonomi proliberalisasi Malaysia. Agenda politik dan ekonomi “libertarian” Barat antara paling merosakkan (lihat komen Profesor Naom Chomsky bertajuk “Power Systems” mengenainya). Libertarian satu doktrin kapitalis berpengaruh dan popular di Amerika Syarikat mengutamakan kebebasan dengan memperkasa golongan swasta memacu pertumbuhan ekonomi mengatasi segala kepentingan lain dalam masyarakat. Dalam kata lain, swasta diutamakan, bukan rakyat.

Doktrin kapitalis liberal pro-swasta ekstrem besar pengaruhnya, hingga berjaya meminggir golongan berfahaman lain. Agenda utama pengikut doktrin ini di Malaysia ialah menswastakan semua GLC milik negara. Mereka keras memperjuangkan penswastaan, sekalipun doktrin liberalisasi dan deregulasi melampau pro-swasta ini jelas merosakkan kehidupan mengakibatkan krisis ekonomi, melebarkan jurang kaya-miskin dan mengancam kestabilan beberapa negara Barat hari ini.

Persoalannya: Sekali pun bahaya jangka panjang liberalisasi jelas mengancam, kenapa masih terdapat pemimpin politik Malaysia, termasuk Melayu-Islam, memperjuangkan penswastaan?

Korupsi, kroni dan nafsu-nafsi

Golongan sinis pasti berpendapat penswastaan diminati penguasa politik kerana menerusinya mudah menghimpun habuan korupsi peribadi, atau memperkaya kerabat dan kroni. Tidak hairan jika amalan korupsi, salah guna kuasa dan kroni berleluasa di Malaysia, kerap secara terbuka tanpa segan dan silu, setelah dasar penswastaan GLC ghairah dilaksanakan.

Ada juga berpendapat, sekali pun menyedari impak buruknya, penguasa politik dan kerajaan berebut bersekongkol melaksanakan doktrin liberal setelah termakan pengaruh korporat swasta Malaysia. Terdapat bukti dasar penswastaan diutamakan setelah penguasa politik dan kerajaan berkompromi melakukan political trade-off dengan rakan politik parti sebarisan.  

Sangat malang jika political trade-off berlaku tanpa pemimpin politik/kerajaan Melayu-Islam menyedari akhirnya mereka tertipu. Ini boleh berlaku apabila Melayu-Islam ditewaskan percaturan strategi halus golongan anti Melayu-Islam melemahkan ekonomi bangsa dan umat!  

Banyak juga terdapat kes penswastaan dilaksanakan cuma atas alasan mudah politik bertujuan merapatkan jurang perbezaan jumlah jutawan/bilionair bukan Melayu dengan mencipta barisan jutawan/bilionair Melayu-Islam ”segera” menerusi penswastaan. Apa pun, segala kecuaian kesilapan atau ketidakpedulian mengakibatkan banyak kepentingan GLC yang berpahit jerih dibina DEB diswastakan dengan mudah dan murah mengikut kaedah yang akhirnya merugikan.

Paling merosakkan apabila dalam pelaksanaannya prinsip amanah diketepikan, halal-haram dikompromi dan hak awam difaraidkan tanpa kepedulian. Juga paling mengecewakan setelah bahagian besar aset, bisnes dan harta kekayaan penswastaan kepada jutawan dan bilionair “segera” Melayu-Islam akhirnya tidak dapat dipertahankan dan satu demi satu terlepas tangan, menghakiskan pencapaian DEB.  

GLC dan Wakaf Korporat mencorak tamadun bangsa

Semua ini menjadi sebab utama DPIM tegas menganjurkan dasar penswastaan dimansuhkan. Lagi pun, pada akhirnya bangsa Melayu-Islam akan hanya berjaya membina kekuatan ekonomi dan menguasai semula teraju politik bukan dengan menciplak kaedah “Superman” nafsu-nafsi Barat. Ia hanya dapat dilakukan berteraskan nilai Islam dengan memperbaharui institusi Islam, termasuk zakat dan wakaf.  

Untuk itu, DPIM menganjurkan GLC diperkasa semula, menjadi komponen penting sistem ekonomi. Budaya korporat, strategi bisnes dan gaya pengurusan GLC mesti diperbaharui, diserasikan dengan kaedah Islamik tanpa mengkompromikan kecemerlangan prestasi bisnes. Bagi menjamin pegangan hak milik kekal berpanjangan, DPIM juga tegas berpendirian GLC strategik diwakafkan, menjadikan Wakaf Korporat benteng utama ekonomi Melayu-Islam.

Bayangkan sistem ekonomi Malaysia diterajui dan dipacu Wakaf Korporat, bermula misalnya dengan kerajaan mewakafkan GLC seperti Felda, Uda, Johor Corporation dan PKNS. Langkah ini boleh diikuti penubuhan Wakaf Korporat swasta atas inisiatif warga korporat Melayu-Islam.  

Bayangkan juga semua institusi Wakaf Korporat beroperasi di samping GLC perkasa termasuk kumpulan PNB, Khazanah Nasional, LTAT, Tabung Haji dan lainnya, menguasai bisnes strategik negara memacu pertumbuhan ekonomi dan menjana harta kekayaan berlandaskan nilai Islam.

Pasti kesepaduan saf GLC dan Wakaf Korporat Islamik peneraju ekonomi berupaya mencorak semula budaya dan membina semula tamadun bangsa dan negara menurut acuan Islam untuk mendapat barakah dan membawa manfaat kepada semua.    

by: TS Muhammad Ali Hashim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik