Monday, July 1, 2013

BUKAN SEKEDAR MUSIBAH SEBALIKNYA TERSEMBUNYI HIKMAH.

Sebagaimana lazim, punca jerebu pada kali ini juga adalah akibat daripada kebakaran ladang dan hutan yang berlaku di negara jiran kita iaitu di Wilayah Riau, Indonesia. Pada kali ini, Singapura juga tidak terkecuali merasai bahang daripada jerebu yang tercetus.

Ancaman jerebu yang berlaku sedikit sebanyak telah membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia dan Singapura kerana sesak nafas dek terpaksa menyedut asap yang dibawa dari negara terbabit. Lebih buruk lagi apabila masing-masing saling tuding-menuding menyalahkan antara satu sama lain.

Keadaan ini pastinya boleh mengundang berlakunya ketegangan dalam hubungan dua hala antara negara-negara yang terlibat jika tiada langkah sewajarnya diambil untuk membolehkan masalah jerebu diselesaikan dengan baik.

Seharusnya dalam situasi yang berlaku ini, sikap suka menyalahkan antara satu sama lain perlu dielakkan. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan negara serumpun yang pastinya saling memerlukan antara satu sama lain dalam merencana perancangan pembangunan pada masa hadapan, serta melibatkan negara yang dihuni oleh rakyat yang majoritinya beragama Islam.

Sebaliknya, setiap daripada kita perlu memandang musibah yang berlaku dari sudut positif iaitu sebagai ujian daripada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita belajar sesuatu bagi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Setidak-tidaknya dengan peringatan dan ujian Allah SWT, ia akan menyedarkan kita daripada terus lalai dan alpa dalam setiap tindak tanduk kita selaku khalifah di atas muka bumi.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl, 16: 90).

Sememangnya tidak dinafikan bahawa jerebu yang dialami begitu merimaskan rata-rata kita sehingga telah membantutkan segala percaturan aktiviti yang telah dirancang dan menjejaskan kesihatan segelintir kita. Namun demikian, sebagaimana yang dinukilkan di dalam ayat di atas, setiap musibah yang berlaku pasti mengandungi hikmah yang tersembunyi yang tidak kita sedari. Misalnya, dalam konteks jerebu yang sering rata-rata kita pandang dari sudut negatif sebenarnya terkandung banyak kebaikan yang tersirat di sebaliknya.

Antaranya, sesekali apabila diuji dengan jerebu yang menyesakkan nafas, pastinya ia akan menerbitkan rasa syukur yang tidak terhingga dalam diri kita dengan nikmat udara bersih dan segar yang dihirup selama ini. Jika sepanjang kehidupan, kita hanya menyedut udara tanpa pernah memikirkan betapa nikmat udara merupakan anugerah terbesar dalam kehidupan kita, pastinya mulai saat ini kita akan lebih menghargai nikmat udara bersih yang kita kecapi.

Apabila timbulnya kesedaran serta keinsafan mengenai perkara ini, pastinya ia dapat mendorong kita supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan tidak sewenang-wenangnya melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat yang boleh mencemarkan udara seperti pembakaran terbuka dan sebagainya.

Seterusnya, pelajaran yang boleh kita ambil daripada dugaan jerebu ini adalah untuk kita muhasabah diri dan merenung kembali setiap perlakuan kita terhadap alam sama ada ia baik atau pun buruk. Sesungguhnya, dalam setiap inci musibah yang berlaku pastinya sedikit sebanyak adalah bertitik tolak daripada kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah ar-Rum, 30: 41).

Justeru, dalam situasi jerebu yang melanda, setiap negara yang terlibat seharusnya tidak beremosi menuding jari sesama sendiri. Sebaliknya, pendekatan yang lebih berhemah perlu diambil agar tidak memburukkan lagi keadaan.

Umpamanya, perbincangan perlu dilakukan antara ketiga-tiga negara bagi memperoleh penyelesaian terbaik untuk menghentikan jerebu yang melanda dan mencari jalan bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada berulang. Ini memandangkan, kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia bukanlah kali pertama. Malah, ia kerap kali berlaku sehingga negara jiran yang lain turut terkesan.

Dengan tercetusnya jerebu, setidak-tidaknya ia membuka ruang untuk setiap negara yang terlibat memikirkan perancangan teliti yang perlu dilaksanakan secara bersama bagi membendung permasalahan ini agar ia tidak menyerang lagi pada masa akan datang. Dalam aspek ini, jika kita memandang sesuatu musibah dari sudut positif, maka pengakhirannya juga akan jadi positif.

Dalam erti kata lain, jika ketiga-tiga negara yang terlibat memandang serangan jerebu sebagai suatu ujian yang membuka peluang positif untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri, maka pertikaian sama sekali tidak akan berlaku. Malahan, usaha secara bersama dan sikap saling bantu membantu dalam menangani masalah jerebu seperti usaha pembenihan awan dan sebagainya akan lebih merapatkan lagi hubungan sesama negara serumpun.

Dalam menghadapi serangan jerebu, ia merupakan ruang terbaik untuk masing-masing muhasabah diri bahawa kita hanyalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Sebagai manusia biasa pastinya kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang penting, kita bersedia belajar daripada setiap kesilapan yang lepas untuk menjadi insan yang lebih baik.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ada mengaitkan mengenai apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk bagi diri mereka. Manakala, apa yang mereka sangka buruk, maka baik bagi mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui(semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya."(Surah al-Baqarah, 2: 216).

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik