Tuesday, July 2, 2013

FIKIRKAN FENOMENA "SUCI DALAM JEREBU"

"Engkau bagai air yang jernih. di dalam bekas yang berdebu.'' Bait-bait lirik itu biasa kita dengar dalam lagu Suci Dalam Debu dan rasanya lebih sesuai di kala ini ditukar kepada 'Suci dalam jerebu'. Hujan buatan dengan pembenihan awan dan kita berdoa siang dan malam supaya hujan turun dan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga turun setiap hari.

IPU sekejap naik ke paras bahaya dan sekejap turun sedikit menggusarkan kita. Nasib baiklah, hujan rahmat turun beberapa hari lalu. Berkat doa daripada rakyat.

Kesan jerebu, sekolah-sekolah terpaksa ditutup. Proses pengajaran dan pembelajaran terganggu? Ramai yang diserang penyakit asma, sakit tekak, selesema, sakit mata dan demam. Salah orang lain, kita pula yang menanggung kesakitan.

Dalam hal ini, kesihatan kanak-kanak perlu diutamakan kerana paru-paru kanak-kanak tidak tahan seperti orang dewasa. Ada pemimpin politik mempersoal arahan Kementerian Pendidikan yang hanya membenarkan sekolah ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300, iaitu paras berbahaya sepatutnya melebihi paras 150 sudah tidak sihat.

Jerebu telah menyebabkan kematian seorang wanita yang berpenyakit asma di Muar. Akhbar The Sun melaporkan Li Cai Ling mati pada Ahad minggu lalu dengan laporan kesihatannya mengaitkan dengan udara tercemar.

Apa yang mengecewakan ialah negara-negara ASEAN yang mengalami bencana jerebu sekarang asyik menyalahkan satu sama lain. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Indonesia yang mengecam Singapura bersikap kebudak-budakkan akan menimbulkan hubungan keruh dan calar di antara negara-negara ASEAN.

Bukankah dalam waktu kritikal ini, perbincangan di meja bulat sepatutnya diadakan dengan mencari persefahaman mencari penyelesaian bersama. Bekerjasama dalam memadamkan hutan yang telah dibakar. Jika syarikat-syarikat terbabit tidak kira negara manapun yang terlibat, maka perlulah dikenakan tindakan.

Namun yang menyedihkan, Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya telah mengenal pasti lapan syarikat ada kaitan jerebu disiasat kerana pembakaran di Riau dan Jambi, dan kesemua lapan syarikat terbabit adalah milik pelabur dari Malaysia dan 14 syarikat lagi masih disiasat. Kalau betul, tunjukkan bukti kerana keadilan perlu wujud tidak kira dari negara mana syarikat itu terlibat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel menyatakan, dakwaan lapan syarikat perladangan Malaysia melakukan pembakaran secara terbuka tidak benar.

Jumlah sebenar syarikat Malaysia yang disenaraikan pihak berkuasa Indonesia hanyalah empat buah syarikat dan keempat-empat syarikat menafikannya.

Palanivel juga menyatakan persediaan Malaysia membantu Indonesia dan mengadakan perbincangan menjurus kepada pendekatan penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek. Semestinya, kita mahu semangat kejiranan ASEAN diterjemahkan sekarang dalam bentuk kerjasama dan tindakan yang efektif .

Kenyataan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa menegaskan kerajaan Indonesia tidak akan membuat permohonan maaf kepada dua negara jirannya iaitu Malaysia dan Singapura berhubung krisis jerebu yang sedang melanda tidak wajar.

Susah sangatkah ingin memohon maaf jika punca yang berlaku bermula di negara Indonesia. Saya memahami terdapat juga syarikat-syarikat lain yang terlibat dari negara lain tetapi masalah jerebu berulang lagi di tempat yang sama.

Penghormatan saya tujukan kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berkaitan isu jerebu. Itulah cara seorang pemimpin bersikap gentleman.

Apa yang lebih penting katanya, pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan bukannya mencari kesalahan, amat dikagumi.

Syukur kini, makin reda jerebu di Malaysia. Sekolah-sekolah yang terlibat dibuka semula dan tiada lagi yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka.

Hairannya, dalam menangani masalah jerebu, ada juga kontraktor di Pulau Pinang mengambil kesempatan melakukan pembakaran terbuka. Bukankah ini menambah lagi kekusutan kita?

Beberapa hari lalu, saya menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada kawan lama saya yang bertanyakan apakah cara para intelektual menangani isu jerebu?

Soalan itu saya tujukan kepada para cendekiawan yang intelek memikirkan formula pencegahan awal supaya masalah jerebu dapat ditangani segera. Jika berlaku lagi, apakah persediaan awal kita?

Kasihan bila memikirkan paru-paru kita yang terpaksa menapis asap jerebu dan ada yang mencadangkan minum air rebusan daun pandan dapat membantu. Semoga semuanya menjadi suci semula, sewangi daun pandan dengan ikhlas mencintai alam sekitar. Selamat berpuasa di bulan Ramadan. Salam 1Hati.

By: Jessica Ong Hai Liow.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik