Friday, July 5, 2013

HIKMAH DARIPADA PILIHAN RAYA KECIL KUALA BESUT.

KEPULANGAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar ke rahmatullah pada usia 55 tahun minggu lalu bukan sahaja mengejutkan malahan begitulah qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Sebagaimana amalan biasa, bila ADUN meninggal dunia maka kerusi yang kosong akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari. Selewat-lewatnya 27 Ogos depan.

Pemergian beliau di saat isu dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu menjadi bahan perdebatan banyak pihak, menjadikan PRK Kuala Besut begitu signifikan sekali dalam menentukan hala tuju penggunaan dakwat tersebut sekali lagi. Adakah ia perlu digunakan atau sebaliknya.

Hikmahnya, adakah dakwat kekal itu sahaja menjadi faktor kemenangan kepada calon yang bertanding, sedangkan pada kali ini isu dakwat kekal tidak relevan sama sekali kerana SPR boleh menumpukan semakan senarai daftar pemilih yang paling terbaru dikemas kini bagi kawasan Kuala Besut.

Jika pun ada yang mengundi dua kali, sengaja orang tersebut mencari nahas. Kerana sudah pasti gurkha-gurkha parti yang bertanding akan memerhatikan kelibat mereka.

Justeru, soal dakwat kekal akan membayangi PRK Kuala Besut hingga SPR sekali lagi dijadikan kambing hitam tidak timbul kali ini. Begitu juga isu nasional sudah pasti tidak akan menjadi pertimbangan pengundi di DUN tersebut. PRU pun baru berlalu, masa pun banyak terbuang.

Walau siapa pun calon yang diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) ia sepatutnya dipilih tanpa banyak kerenah melainkan calon tersebut mempunyai rekod yang tidak memuaskan dalam kalangan pengundi Kuala Besut.

Hikmah lain di sebalik PRU kali ini, soal parti pembangkang akan menang hingga menjadikan kerusi di DUN sama banyak dengan BN bukanlah soal yang perlu dipeningkan jika jentera BN berusaha sedaya-upaya mengekalkan kerusi mereka. BN juga perlu mempergunakan sentimen bahawa pihak pembangkang yang membantah keputusan PRU-13 dalam kempen PRK Kuala Besut ini.

Bukankah ada pemimpin pembangkang yang sanggup mengeluarkan fatwa mati syahid, jika mati semasa membantah sistem demokrasi yang diasaskan oleh kerajaan Rumawi tersebut.

Soalnya mengapa ahli Parlimen dari parti pembangkang mengangkat sumpah jika meragui kemenangan mereka sendiri. Sebanyak 89 kerusi yang dimenangi di Parlimen dan berjaya bersaing dengan rapat di DUN Terengganu jelas menggambarkan bahawa demokrasi semakin matang tetapi tindak-tanduk mereka sendiri yang seolah-olah mengatakan wajah mereka di cermin adalah orang lain bukan diri mereka sendiri.

Segalanya masih segar dalam ingatan pengundi hingga mendorong mereka memberi 8,809 undi kepada arwah Dr. A. Rahman dan memberi 6,375 undi kepada calon muslimah dari Pas, Napisah Ismail. Majoriti 2,434 perlu dikekalkan malahan lebih cantik jika dapat ditambah pada PRK kali ini.

Kepada pengundi buatlah pilihan yang tepat, kerana dengan memilih calon BN, Terengganu akan kekal stabil, jika berlaku sebaliknya sudah pasti kemungkinan kerajaan campuran akan berlaku.

Ini bermakna sejarah berulang dan perjalanan pentadbiran negeri tidak dapat tidak akan penuh politiking yang merugikan bumi penyu itu sendiri. Itulah hikmah yang paling utama.

By: Abdul Razak Idris.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik