Monday, July 1, 2013

JALAN RAYA DAN HARI RAYA.

Pejam celik, pejam celik...bulan Ramadan sudah pun hampir tiba bermakna umat Islam akan mula berpuasa tidak lama lagi, seterusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bagi umat Islam, inilah bulan yang ditunggu-tunggu untuk meningkatkan amal ibadah. Seperti biasa, pada Ramadan dan Syawal, ditunggu-tunggu seluruh umat Islam di bandar dan desa. Sepanjang Ramadan ramai umat Islam mengambil peluang berniaga, mencari pendapatan tambahan. Sepanjang tempoh perayaan juga, lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara menjadi sesak yang luar biasa. Setiap hari perayaan, banyak versi rungutan mengenai kesesakan jalan raya didengar. Ada yang mengadu bahawa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, contohnya, mengambil masa lebih 10 jam, sedangkan pada hari biasa hanya empat atau lima jam saja. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan pula mengambil masa hingga 14 jam sedangkan dalam keadaan biasanya hanya separuh daripada tempoh itu. Begitu juga perjalanan ke selatan tanah air.

Keadaan ini berlaku walaupun mutu lebuh raya dan jalan raya di negara ini yang menyambungkan hampir ke setiap negeri, adalah yang terbaik. Bukan masalah mutu lebuh raya yang dipersoalkan tetapi bilangan kenderaan yang kian bertambah. Ini sebenarnya adalah masalah yang baik atau apa sering disebut dalam bahasa Inggeris sebagai good problem. Dulu, sewaktu belum ada lebuh raya perjalanan mengambil masa yang panjang kerana keadaan jalan yang tidak baik dan berbukit-bukit. Bayangkan suasana ketika itu di mana jalan raya satu lorong yang memaksa setiap pengguna bertarung dengan lori, bas dan sebagainya. Cuma, bilangan kenderaan tidaklah sebanyak seperti sekarang. 
Kemampuan miliki kenderaan meningkat 


Hari ini diakui mutu jalan raya adalah baik tetapi bilangan kenderaan pula terlalu banyak sejajar dengan peningkatan bilangan penduduk. Kemampuan rakyat untuk memiliki kenderaan juga meningkat. Kedudukan ekonomi negara yang kukuh menyumbang kepada kemampuan rakyat untuk memiliki kenderaan sendiri. Hari ini, boleh dikatakan setiap rumah mempunyai purata dua buah kereta. Ini tidak termasuk motosikal yang jumlahnya juga begitu banyak. Oleh itu, pada setiap masa lebuh raya dan jalan raya di negara ini tidak pernah sunyi daripada kenderaan yang lalu lalang walaupun sesaat. Kesan terhadap pertambahan kenderaan ialah berlaku banyak kemalangan jalan raya. Setiap hari ada saja kemalangan maut walaupun pelbagai operasi dijalankan. Apa pun, peningkatan kemalangan tidak boleh disalahkan kepada bilangan kenderaan. Kebanyakan kemalangan berpunca daripada kesilapan dan kecuaian manusia.

Kebelakangan ini, kesesakan lebuh raya dan jalan raya, terutama di bandar besar, sering berlaku tanpa mengira masa. Kesesakan berlaku tanpa perlu menunggu hari raya. Di Kuala Lumpur, umpamanya, kesesakan biasanya berlaku sewaktu isi rumah keluar pada waktu pagi atas urusan masing-masing sama ada untuk bekerja atau menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Keadaan reda seketika sehinggalah bila masuk waktu tengah hari ketika ramai orang keluar untuk makan tengah hari yang hampir serentak dengan waktu anak-anak balik sekolah. Pada waktu petang pula sekali lagi jalan raya penuh sesak hingga ke malam apabila orang ramai pulang dari pejabat menuju ke rumah masing-masing atau destinasi masing-masing. Jika hujan, kesesakan menjadi lebih buruk.

Pantang ada cuti umum

Di negara ini, pantang ada cuti umum. Jika cuti umum jatuh pada hari Jumaat atau Isnin, umpamanya, ramai orang yang mengambil kesempatan pulang ke kampung atau makan angin di tempat tertentu. Keadaan ini juga berlaku mungkin kerana penghuni bandar sudah jemu atau sentiasa mahu lari daripada kesesakan dan riuh pikuk di bandar. Apabila ada saja peluang untuk keluar dari bandar raya, mereka akan berbuat demikian. Untuk pulang ke kampung halaman sama ada di utara, selatan, timur atau barat, tidak menjadi masalah. Jika tidak terlalu banyak kenderaan, perjalanan menjadi lebih lancar dan waktu perjalanan lebih pendek. Tambahan pula, mutu jalan raya di negara ini adalah terbaik. Disebabkan keselesaan memandu, ramai yang mengambil peluang menggunakan hujung minggu atau cuti umum untuk pergi ke mana-mana saja. Bagaimanapun, disebabkan terlalu ramai rakyat yang mengambil kesempatan yang sama, keadaan jalan raya menjadi sesak semula. Waktu perjalanan mengambil masa yang agak panjang pula. Keadaan ini berlaku walaupun hampir setiap lebuh raya sudah mengalami proses baik pulih. Di semua lebuh raya, kerja melebar dan membesarkan jalan – dari dua kepada tiga lorong manakala tiga lorong dibesarkan kepada empat lorong pesat dijalankan. Semua ini dilakukan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya. 
Kemampuan ekonomi juga menjadi faktor penting ramai penduduk mampu berbelanja dengan keluar dari kawasan bandar raya. Dengan adanya kenderaan pelbagai guna, ia memudahkan seluruh keluarga dimuatkan dalam sebuah kenderaan. Di negara ini juga sudah banyak tempat menarik yang boleh menjadi pusat tumpuan pada setiap hujung minggu sama ada di Johor, Melaka, Negeri Sembilan di selatan manakala Kelantan, Terengganu dan Pahang yang masing-masing mempunyai keunikan sendiri, di pantai timur dan Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak di utara. Semua ini ini mempunyai tarikan pelancongan tersendiri. Sebetulnya, untuk menghabiskan cuti, tidak perlu ke luar negara kerana di negara ini ada pelbagai tempat menarik yang masih belum ramai yang berkunjung. Tabiat keluar dari kota sudah menjadi perkara biasa di negara ini dan perlu digalakkan supaya setiap orang dapat membuka minda.

By: Mior Kamarul Shahid.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik