Wednesday, July 3, 2013

JANGAN TERUS KELIRUKAN FIKIRAN GENERASI MUDA.

PERNAHKAH anak kita bertanya, benarkah telefon bimbit yang dikeluarkan oleh syarikat telekomunikasi kira-kira 20 tahun lalu lebih besar daripada yang ada hari ini.

Kalau anak kita bertanya pun, kita malas hendak bercerita kerana telefon bimbit yang ada hari ini amat canggih seolah-olah ia tidak penting untuk dibicarakan dengan lebih serius. Malahan kita boleh melawak, telefon bimbit pada zaman remaja kita jika dibaling kepada anjing, boleh mati haiwan malang tersebut.

Sepatutnya kita bercerita perkara sekecil demikian agar anak kita lebih mensyukuri nikmat kemajuan yang ada agar fikiran mereka tidak terus dikelirukan oleh kelompok anti kerajaan yang mengatakan kemajuan yang ada terjadi dengan sendiri tanpa ada langsung sumbangan Kerajaan Pusat.

Kepada rakyat Malaysia generasi berusia 40-an dan ke atas, sedarkanlah anak-anak anda yang telah didoktrin fikiran mereka bahawa Kerajaan Pusat yang ada dan pemimpin mereka menindas dan mengumpul harta peribadi, sedangkan pemimpin idola mereka sebersih dan sesuci embun pagi di kaki Gunung Ledang.

Sesungguhnya generasi muda yang telah disumbat minda mereka umpama sebuah komputer yang telah dimuat turun dengan program anti-Kerajaan Pusat perlu diselamatkan, kerana sekali mereka tersilap memilih pemimpin dan kepimpinan maka terimalah padahnya.

Kerajaan perlu sedar hari ini anak muda di institut pengajian tinggi kita tidak betah menonton televisyen dan hanya suka mendengar gajet moden ciptaan Barat dan melayari internet daripada telefon pintar yang dibeli dengan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam media internet, mereka berjumpa dan diperkenal dengan pelbagai dakyah dan tohmah yang mengatakan Kerajaan Pusat sedia ada adalah kerajaan yang penuh dengan pentadbiran yang negatif semata-mata dan melihat pemimpin pembangkang menjadi mangsa politik sempit.

Sedangkan perkara tersebut boleh selesai jika ada golongan lebih dewasa yang sanggup duduk bercerita sejarah yang menyebabkan individu-individu tertentu menjadi duri dalam daging keamanan negara ini.

Namun hari ini masing-masing menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Anak muda dibiar membaca sejarah yang ditulis para blogger sesuka hati mereka dan kesannya amat membimbangkan.

Benarlah kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawasanya sejarah negara perlu ditulis semula. Agar rakyat terutama siswa-siswi sedar, siapa yang menyemai benih kejayaan, siapa yang cuba menyiram racun perosak setelah ia tumbuh mekar memayungi negara ini.

Baru-baru ini penulis bertemu dengan orang kuat UMNO dari Bangi yang menceritakan, anaknya yang baru pulang dari sebuah IPT di Melaka tiba-tiba ke rumah keluarganya semata-mata hendak berkumpul di sebuah stadium di Kelana Jaya.

Sebagai bapa dia terkejut, mengapa anaknya sanggup mengetepikan perjuangan bapanya demi seorang pemimpin yang terkenal dengan bijak berkata-kata hingga tiada benda yang tidak terlepas daripada mulutnya.

Setelah anaknya dibasuh dengan sejarah perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akhirnya anaknya kelihatan insaf tetapi dalam keadaan protes. Sebenarnya siswa sebegini ramai di negara kita. Mereka tidak mahu mendengar sejarah tetapi lebih suka mencipta sejarah dan menganggap sejarah tidak relevan dengan masa depan.

Hari ini kita melihat generasi muda yang memandang idola politik mereka yang memajukan negara ini, seolah-olah tiada pemimpin lain yang menyumbang. Kalau negara boleh dimajukan oleh seorang individu sahaja maka sudah pasti di dunia akan ada lebih daripada 192 negara. Sesuatu perlu dilakukan dengan subjek Sejarah yang dilihat kurang menyengat.

Mungkin subjek sejarah perlu diajar dalam semua aspek daripada sejarah kebudayaan, sejarah kenegaraan, sejarah ekonomi dan sejarah keagamaan dari peringkat sekolah rendah. Pelajar sains yang hanya tahu sejarah seekor katak dan nyamuk perlu juga tahu sejarah perubatan di negara dan di dunia. Ini perlu dilakukan agar tiada pihak yang tidak bertanggungjawab sesuka hati menjadi guru sejarah setengah masak di dunia siber.

Sejarah yang holistik perlu dibukukan dan diajar dengan penuh kreatif dan inovatif sebagaimana persembahan cahaya dan bunyi di muzium. Sejarah Malaysia perlu dikemas kini semula bagi mengelakkan generasi muda berjuang atas suatu perkara yang tidak difahaminya.

Terbaru pihak pembangkang di sebuah negeri yang dimenanginya, boleh pula menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat pihak yang menguruskan kemenangan mereka. Bukankah itu keliru namanya.

By: Abdul Razak Idris.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik