Friday, July 5, 2013

JANGAN TUNDUK KEPADA TEKANAN TUNTUTAN HAK ASASI MANUSIA.

KENYATAAN dalam sidang Dewan Rakyat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz supaya kerajaan tidak sesekali tunduk kepada tekanan hak asasi manusia terutama dari luar khususnya berhubung dengan pelaksanaan hak menukar agama dalam kalangan penganut Islam dan kebebasan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) amat menarik sekali untuk direnungkan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memastikan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan terus terpelihara. Kenyataan ini adalah suatu kenyataan berani daripada seorang tenaga muda dari Pas yang memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap isu yang telah dibangkitkan sekian lama di Malaysia.

Perkara yang dibangkitkan itu secara langsung menyentuh mengenai kehidupan beragama di Malaysia khususnya orang Islam. Fahaman pluralisme agama yang berkembang di Barat dan didukung oleh sesetengah tokoh di Malaysia amat merisaukan umat Islam. Lalu tampil tokoh yang memperjuangkan kalimah Allah boleh diguna pakai dalam agama lain.

Ia juga berkait dengan amalan LGBT di Barat yang diperundangkan dan diizinkan menjadi amalan masyarakat. Banyak negara seperti Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dan lain-lain membenarkan amalan ini berlaku dan ia boleh menjadi kesan global termasuk Malaysia.

Semua itu berlaku atas perspektif hak asasi manusia mengambil acuan Barat. Acuan Barat menolak pertimbangan agama sebagai asasnya. Hak asasi Islami umpamanya mengambil kira pertimbangan agama sebagai asasnya untuk mencapai sebuah masyarakat yang sejahtera, maju tetapi beretika.

Kenyataan yang dibuat oleh Nik Abduh baik dari sudut wujudnya persefahaman bersama dalam kalangan pihak lain, NGO Islam yang sekian lama cuba menyedarkan masyarakat dan kerajaan mengenai bahaya faham liberal Barat ini sebahagian daripada anutan umat Islam.

Pas tidak boleh lari daripada arus perdana agama kerana orang Pas juga adalah orang Islam. Berada dalam pakatan politik pembangkang tidak menyebabkan Pas harus menyepi dengan isu yang menyentuh tentang umat dan Islam itu sendiri.

Kenyataan Nik Abduh itu adalah sesuatu yang positif kerana adanya tanggungjawab bersama menghadapi gelombang pengaruh negatif dari Barat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi pengaruh media baharu yang sedang menguasai cara hidup generasi muda kita.

Pada prinsipnya umat Islam tidak menentang Barat semata-mata mereka Barat. Banyak manfaat berbanding dari sudut sains dan teknologi. Tetapi umat Islam harus hati-hati dengan agenda pembaratan yang boleh memberi kesan kepada umat Islam sendiri. Upaya penyaringan dalam kalangan warga umat harus tinggi.

Yang mendorong Nik Abduh dan pihak lain membangkitkan isu ini kerana bunga-bunga dan petanda aliran ini sedang berkembang di Malaysia sudah bermula apalagi aliran ini menjadi dukungan sesetengah tokoh dan aliran pemikiran.

Ini adalah permulaan yang baik bagi ahli politik Islam di Parlimen menyatakan pandangan yang terbuka mengenai isu umat Islam dan hal-hal yang berkaitan dengan gejala sosial yang negatif.

Isu mengenai Islam sebagai agama Persekutuan sering dibangkitkan oleh sesetengah pihak. Isu pentingnya dimartabatkan Bahasa Melayu tidak juga ketinggalan. Isu ingin merungkai institusi Raja juga dijadikan fokus.

Sekiranya perkara-perkara asas dan fundamental yang terungkap dalam Perlembagaan ingin dipertikaikan ia juga boleh menyebabkan asas binaan negara Malaysia menjadi celaru.

Fokus Nik Abduh pada hemat penulis tidak saja kepada isu hak asasi cara Barat atau LGBT tetapi harus juga memberi perhatian kepada fahaman liberal yang melampau, pluralisme agama yang sedang bertapak tetapi juga soal perpaduan ummah yang menjadi teras kepada kelangsungan Islam.

Nik Abduh sebagai tenaga muda dalam Pas kelihatan amat terbuka dan memberikan pandangan yang konstruktif yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Peringatan yang diberi sama juga yang diberi oleh organisasi Islam lain supaya dalam kalangan warga umat ada kesekataan dalam menghadapi isu yang berbangkit.

Justeru Nik Abduh dan Pemuda Pas harus bersedia menjadi penggerak ke arah perubahan yang lebih bermakna dan akhirnya menjadi jambatan penghubung supaya asas perjuangan terhadap isu-isu semasa umat dapat disantuni dengan tekad tinggi bersama warga umat yang lain.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik