Monday, July 8, 2013

KEBAJIKAN RAKYAT TERUS TERBELA.

NAMA Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bukanlah sesuatu yang asing bagi golongan susah di negara ini kerana ia telah banyak menabur jasa bakti kepada mereka sejak penubuhannya pada 1982.

Oleh itu, sempena meraikan 30 tahun penubuhan yayasan itu, satu majlis makan malam telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang telah berkenan berangkat ke majlis itu turut melancarkan buku bertajuk 'Tiga Dekad Yayasan Kebajikan Negara'.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Semasa YKN ditubuhkan 30 tahun lalu, baginda yang ketika itu ialah Yang di-Pertuan Agong Ketujuh telah menyempurnakan majlis perasmian yayasan berkenaan pada 6 April 1982.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd. yang diminta mengulas sejarah penubuhan YKN berkata, idea penubuhannya mula tercetus menjelang akhir 1970-an.

"Ketika itu terdapat banyak rayuan untuk mendapatkan bantuan terutama daripada keluarga miskin, mereka yang kurang bernasib baik dan yang perlu dihantar ke luar negara bagi rawatan segera pembedahan jantung berlubang.

"Rayuan tersebut telah dikemukakan kepada badan-badan kerajaan dan setengahnya disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan untuk mendapatkan belas kasihan orang ramai.

"Malangnya, rayuan ini tidak mendapat sambutan yang sewajarnya, mungkin ia diluar skop bantuan jabatan kerajaan mahupun agensi swasta yang berkenaan. Justeru, keadaan ini telah menggalakkan penubuhan YKN," katanya.

Beliau menambah, YKN adalah sebuah badan kebajikan yang diletakkan di bawah bidang tugas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"YKN tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap dan bagi memastikan dana yang mencukupi, kita sentiasa mengalu-alukan sumbangan derma daripada semua pihak. Semua sumbangan ini dikecualikan daripada cukai," katanya.

Mengulas mengenai jenis-jenis bantuan yang ditawarkan, beliau menjelaskan, antara program YKN yang popular adalah Anjung Kasih bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada ahli-ahli keluarga atau pengiring pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital.

"Kita juga mengadakan program Anjung Singgah di bandar-bandar bagi menyediakan tempat penginapan sementara untuk membantu orang gelandangan sebelum mereka dapat berdikari dan mendapat pekerjaan tetap," ujarnya.

Jelas beliau, dari segi bantuan kewangan pula, ia terbahagi kepada tiga jenis skim iaitu Skim Perubatan, Skim Khidmat Sosial dan Skim Prihatin.

Menerusi Skim Perubatan, katanya, YKN menyediakan bantuan kewangan untuk rawatan jantung, buah pinggang, kanser dan pembedahan ortopedik.

"Melalui Skim Khidmat Sosial pula, kita menyediakan alat bantuan sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) seperti kerusi roda, motosikal roda tiga, anggota palsu dan alat pendengaran.

"Kita juga menyediakan sokongan terhadap badan sukarela kebajikan yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan melalui tajaan seminar, kursus, sumbangan peralatan atau kenderaan.

"Melalui skim ini juga, kita menyediakan bantuan wang persediaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar miskin (bukan yuran pengajian) dengan keutamaan kepada anak-anak penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Menerusi Skim Prihatin pula, katanya, YKN memberikan bantuan wang ehsan yang disumbangkan kepada golongan miskin sempena sambutan perayaan dan bantuan prihatin kepada mangsa bencana.

"Kita turut menyediakan bantuan kewangan serta merta kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera di hospital kerajaan untuk menyelamatkan nyawa atau mengelakkan kecacatan kekal," tambahnya.

Mengenai perbezaan YKN dengan badan kebajikan lain, katanya, ia memegang prinsip untuk menyalurkan bantuan dengan pantas berbanding pihak lain yang mengenakan pelbagai syarat sehingga menyebabkan proses penyaluran bantuan menjadi sangat lambat.

"Perbezaan ini kerana kita menyedari akan hakikat bahawa YKN bukanlah sebuah bank yang perlu mengenakan pelbagai syarat bagi memastikan wang yang dipinjamkan dapat diperoleh kembali.

"Kita sebenarnya tidak berbangga untuk menyimpan duit berjuta-juta ringgit, sebaliknya kita sangat berbesar hati untuk menolong orang ramai dengan duit yang kita ada," katanya.

Menurut beliau, penyaluran bantuan secara pantas itu dibuat kerana menyedari ada pemohon yang cukup terdesak terutama bagi membiayai rawatan kritikal untuk mengelak mereka meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal.

"Kalau kita tidak tolong segera, bayangkan kesan jangka panjang jika pemohon ini menjadi lumpuh sedangkan dia sebelum ini adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab menyara isteri dan anak-anak.

"Sebab itu, kita sebagai badan kebajikan harus sedar bahawa wang ini bukan sekadar untuk membantu pemohon pada waktu sekarang sahaja, sebaliknya untuk mencegah perkara-perkara tidak baik daripada berlaku di masa depan," ujarnya.

Walaupun sentiasa meluluskan bantuan dengan pantas, YKN juga tidak melupakan prinsip untuk sentiasa bersikap telus dan memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Keazaman itu ditunjukkan menerusi logo YKN, yang memaparkan cap jari sebagai lambang ketelusan serta akauntabiliti pengurusannya.

Kepada YKN, diucapkan selamat maju jaya untuk terus menaburkan jasa bakti kepada golongan susah di negara ini.

By: Nizam Yatim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik