Sunday, July 7, 2013

KEMBALI SEMULA MENYATUKAN BANGSA.

SEJARAH kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang dan perkasa seharusnya menjadi  pedoman kepada generasi hari ini. Oleh itu, sejarah perlu dikaji,  diteliti dan diteladani.

Tanpa sejarah kita tidak mengetahui kegemilangan bangsa kita pada masa lampau, kemudian mencipta sejarah baharu untuk kejayaan  masa depan.

Bangsa Melayu terkenal sebagai pedagang, pelaut, petani, peneroka, pahlawan dan juga bersemangat berani. Dalam menghadapi cabaran masa kini disebabkan perpecahan dan juga fahaman politik, bangsa Melayu seharusnya mempunyai disiplin diri yang tinggi. Dengan kebijaksanaan dan pemikiran jauh; juga hidayah ALLAH akan dapat menyatukan semua.

Sebelum merdeka orang Melayu sangat kuat dan bersatu. Itulah sebabnya timbul kata-kata “Bersatu teguh bercerai roboh” yang menunjukkan bahawa orang dahulu sangat mementingkan silaturahim dan penyatuan dalam keluarga. Peristiwa kejatuhan Melaka menjadi pengajaran yang sangat kuat dalam jiwa orang Melayu pada masa itu.  

Jika kita mempunyai disiplin tinggi, perpecahan tidak berlaku walaupun fahaman politik berbeza. Politik adalah politik dan penyatuan dalam rumah tangga, keluarga dan masyarakat mestilah terus berlaku dan jitu.

Walaupun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah berlalu, namun sedikit sebanyak perpecahan dalam keluarga dan masyarakat masih berlaku akibat berlainan faham politik.

Sewaktu penulis pulang ke kampung dan menghadiri kenduri kahwin anak seorang sepupu penulis isu-isu politik masih dibangkitkan apabila mereka bertemu.

Mengambil semangat penyatuan dengan mengelakkan perpecahan, politik juga seharusnya dapat menyatukan atas nama bangsa dan ummah serta agama yang dapat meletakkan bangsa Melayu “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Dengan ilmu, amal dan akhlak serta disiplin yang tinggi semua ini dapat disatukan dalam menyelesaikan permasalahan dalam negara dan permasalahan sejagat.

Untuk mencapai kegemilangan hanya dengan ilmu. Dalam semua bidang ilmu sangat penting. Terutamanya ilmu berkaitan politik.

Penerokaan ilmu mestilah melalui pemahaman dan diikuti dengan kemahiran. Ilmu sangat penting kepada manusia.

Semua manusia memerlukan ilmu untuk memandu dan membangunkan kehidupannya secara individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ilmu berkait rapat dengan pengetahuan dan pemikiran. Ilmu juga adalah kalimah ALLAH yang pengertiannya cukup luas sehingga kita menyebut ALLAH SWT sahajalah Yang Maha Mengetahui.

Politik sebenarnya adalah ibu segala ilmu. Tetapi disebabkan oleh rasa taksub kepada pemimpin dan parti para pengikut parti terus membenci antara satu sama lain. Inilah tugas penting pemimpin parti politik iaitu menyatukan semula para pengikutnya terutama pengikut bawahan supaya tidak terlalu taksub dan menjadikan politik sebagai “asam garam” kehidupan.

Kejayaan sesuatu bangsa dan umat banyak bergantung pada pemahaman ilmu politik yang dimiliki oleh mereka.

Justeru, menurut penyair Usman Awang sebagai penulis  tanggungjawab moralnya ialah “mengucapkan kebenaran, menceritakan keadaan manusia yang sebenar, menjadi suara kepada yang tidak mempunyai suara, menjadi senjata kepada yang tidak mempunyai senjata.”

Justeru, sebagai pemimpin, penulis blog dan pengamal media baharu, lakukanlah penyatuan dengan menyeru ke arah kebenaran, mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan, menegakkan perdamaian sejati, perjuangkan kesejahteraan dan keharmonian, serulah ke arah perpaduan kaum dan perjuangkan kebebasan bagi bangsa dan masyarakat yang tertindas. Inilah tugas yang paling penting selepas pilihan raya.


By: Dr Aminudin Mansor.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik