Sunday, July 7, 2013

KETEPIKAN POLITIK KEPARTIAN DEMI PERPADUAN NASIONAL.

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN). Perdana Menteri mengemukakan cadangan itu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat. Ia adalah untuk mencapai matlamat 'perdamaian nasional.' 

Ini menunjukkan kerajaan komited memperkukuhkan hubungan erat antara kaum. Kerajaan bersikap terbuka dan mahu menjadikan majlis itu kaedah terbaik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara. 
Justeru, kerajaan sedia menjemput semua pihak termasuk pembangkang untuk menyertai majlis itu. Perkara paling pokok sekarang ialah kesediaan semua pihak, khususnya pembangkang untuk mengetepikan kepentingan politik dan mengutamakan kepentingan nasional. 

Semua pihak harus mempunyai kefahaman terhadap kepentingan perpaduan nasional supaya sama-sama dapat pertahan kelangsungan negara bangsa di persada antarabangsa”

Pembangkang mesti menerima hakikat kerajaan sah sudah dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Mereka harus menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13 baru-baru ini. 

Baginda menyeru semua pihak menerima dan menghormati keputusan PRU-13 dan bantahan berhubung dengan keputusan pilihan raya itu mesti melalui saluran perundangan. Pembangkang harus ingat perhimpunan haram yang dianjurkan mereka kononnya untuk memprotes pilihan raya yang dikatakan tidak adil boleh menjejaskan usaha perdamaian seperti yang ingin dicapai oleh semua pihak.

Bersama erat perpaduan

Justeru, untuk mencapai perdamaian nasional, ia menuntut pengorbanan pembangkang untuk mengetepikan kepentingan politik mereka dan bersama kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan di negara ini. Penubuhan MKPN harus dilihat satu mekanisme bagi pengukuhan agenda sosial terutama bagi mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama. 
Sewajarnya semua ahli politik di negara ini melihat isu paling mendasar bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia ialah perpaduan. Ia mesti menjadi agenda utama setiap ahli politik. Namun, ia bukan perkara mudah kerana sering ada pihak gemar memainkan isu sensitif yang menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Perpaduan sebagai satu proses penyesuaian dan penyatuan antara unsur yang saling berbeza dalam kehidupan masyarakat akan benar-benar tercapai jika semua pihak saling memahami, bertoleransi, bekerjasama dan saling menerima. Semua elemen terbabit penting bagi mengelakkan konflik antara kaum. 

Hakikatnya, perpaduan sebagai proses penyatuan yang membabitkan pelbagai elemen bukan perkara mudah. Dalam masyarakat terutama yang bersifat majmuk akan wujud kuasa yang memecah seperti prasangka, perkauman, diskriminasi dan perbalahan yang menjadi halangan perpaduan.

Laksana mekanisme berkesan

Justeru, proses perpaduan harus mampu memperkukuh kuasa tenaga penyatuan seperti persefahaman, toleransi, penerimaan, kerjasama, perundingan dan persetujuan. Ia memerlukan kita merangka dan melaksana mekanisme berkesan supaya masyarakat yang terpisah dari segi budaya, sosial dan lokasi dapat disatukan di bawah semangat kebersamaan. Proses perpaduan ini penting supaya kewujudan kita sebagai negara bangsa tidak tergugat disebabkan konflik politik yang tidak berkesudahan.

Politik sempit tidak harus menjadi penghalang kepada usaha murni itu. Justeru, bertolak ansur dalam kalangan parti politik amat penting bagi mencapai usaha murni ini. 

Apa pun inisiatif kerajaan untuk menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional adalah langkah positif. Kita yakin ia akan dapat memperkukuh perpaduan nasional dengan menekankan prinsip keseimbangan, keadilan, kebersamaan dan kekitaan. Kita mengharapkan pembangkang mengetepikan agenda politik. Sikap mengutamakan politik sempit tanpa mempedulikan kepentingan nasional akan membawa kepada kemusnahan negara. 

Justeru, semua pihak harus mempunyai kefahaman terhadap kepentingan perpaduan nasional supaya sama-sama dapat mempertahankan kelangsungan negara bangsa di persada antarabangsa. 

Kesimpulannya, semua pihak wajar melihat cadangan kerajaan itu secara positif dan objektif. Jika sikap positif ini dapat diamalkan, semakin berkurang aspek negatif seperti prasangka, prejudis dan sikap membenci kerajaan.

By: Mohd Ayop Abd Razid.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik