Wednesday, July 3, 2013

KUALA BESUT PENENTU KERAJAAN TRENGGANU.

PILIHAN RAYA KECIL (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu akan diadakan dalam tempoh 60 hari atau selewat-lewatnya 27 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Dr. A. Rahman Mokhtar, Rabu minggu lalu.

A. Rahman, 55, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kanser paru-paru.

Kematian beliau menyebabkan terdapat kemungkinan buat pertama kali dalam sejarah negara, BN dan pembangkang mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sama di sebuah negeri.

Keadaan itu boleh berlaku di Terengganu jika PRK DUN Kuala Besut dimenangi pembangkang sekali gus menjadikan BN dan pembangkang masing-masing memiliki 16 ADUN.

Ketika ini, BN menguasai 17 kerusi DUN, manakala pembangkang 15 kerusi iaitu satu melalui ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail di DUN Bandar dan selebihnya wakil rakyat Pas.

Pas sebelum ini telah memerintah Terengganu sebanyak dua kali iaitu ketika Menteri Besar, Mohd. Daud Abdul Samad dari Jun 1959 hingga November 1961 dan semasa Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari 1999 hingga 2004.

Ketika pembentukan kerajaan campuran antara Pas dan Perikatan di Terengganu pada 1973 dan kemudiannya diikuti kerajaan campuran Pas dan BN pada 1974 hingga 1977, Menteri Besar diterajui oleh Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad daripada UMNO.

Bagi Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat, kemungkinan diwujudkan kerajaan campuran itu tidak dapat dielakkan berikutan Terengganu seperti kebanyakan negeri lain di Malaysia mempunyai kerusi DUN dengan jumlah angka genap.

Di Malaysia, katanya, hanya Perlis, Kelantan dan Perak yang mempunyai kerusi dengan jumlah angka ganjil yang tidak memungkinkan berlaku bilangan kerusi sama banyak antara BN dan pembangkang.

Menurut beliau, jika ditakdir pembangkang menang pada PRK DUN Kuala Besut; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mempunyai hak untuk menentukan adakah Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Ahmad Said akan dilantik semula atau Menteri Besar baharu akan dilantik daripada kalangan pembangkang.

"Sultan akan menjadi kuasa pemutus kerana pengundian bagi menentukan siapa akan menjadi Menteri Besar sama ada calon BN atau pembangkang sudah pasti akan menghasilkan keputusan seri masing-masing 16 undi.

"Bagaimanapun hal ini tidak akan terjadi dan keadaan akan berpihak kepada BN jika Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu membenarkan Yang Dipertua DUN yang juga bekas calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Zubir Embong dan timbalannya turut sama mengundi," ujarnya.

Beliau berkata, Menteri Besar yang dilantik itu akan menasihati Sultan dari segi barisan Exco negeri yang baharu.

"Dalam konteks Terengganu yang mempunyai 10 Exco, besar kemungkinan akan menyaksikan lima orang daripada BN dan lima orang lagi daripada pembangkang.

"Saya tidak melihat senario Ahmad akan mengekalkan Exco sedia ada jika diwujudkan kerajaan campuran, dengan hanya melantik seorang Exco baharu menggantikan tempat A. Rahman .

"Jika ini dibuat, sudah tentu pihak pembangkang akan menyatakan bantahan dan menyebabkan pembentukan kerajaan negeri menjadi tergantung," katanya.

Dalam pada itu, Samsul Adabi melahirkan keyakinan pembentukan kerajaan campuran itu tidak akan terjadi jika dilihat kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan A. Rahman menang dengan majoriti selesa 2,434 undi.

Beliau mendapat 8,809 undi berbanding pencabarnya daripada Pas yang juga Ketua Dewan Muslimat Besut, Napisah Ismail sebanyak 6,375 undi.

Kuala Besut yang terkenal dengan perkampungan nelayan mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.

Bagaimanapun, jumlah majoriti yang dimenangi A. Rahman itu sedikit merosot berbanding 2,631 undi yang diperoleh ketika PRU-12 apabila mendapat sebanyak 7,123 undi manakala calon Pas, Nik Zawawi Salleh hanya memperoleh 4,492 undi.

A. Rahman yang merupakan anak jati Pulau Perhentian, Besut menang dengan majoriti itu apabila bilangan pengundi yang keluar kedua-dua PRU itu adalah melebihi 80 peratus.

Pada PRU-11 (2004); calon BN, Abdullah Che Muda juga menang dengan majoriti 2,027 undi tetapi seorang lagi calon BN, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman kalah kepada calon Pas dengan perbezaan 487 undi pada PRU-10 (1999).

Menurut beliau, melihat kepada senario pengundi muda dan wanita yang memilih BN pada PRU-13 di DUN itu, besar kemungkinan mereka akan mengekalkan wakil rakyat daripada BN di kawasan berkenaan yang merupakan kubu kuat UMNO.

"Perkara utama lain yang akan menentukan kemenangan calon yang bertanding pada PRK Kuala Besut adalah isu-isu tempatan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengakui Kuala Besut adalah kawasan yang mencabar untuk dirampas pembangkang sekiranya PRK diadakan.

"DUN Kuala Besut benar-benar kawasan yang kritikal dan mencabar bagi satu pilihan raya kecil kerana majoriti yang diperoleh BN agak besar," kata Anwar.

Tambah Samsul Adabi, PRK Kuala Besut dijangka akan menjadi pertembungan sengit antara BN dan pembangkang dan ramai tokoh besar kedua-kedua belah pihak diramal akan turun padang untuk berkempen.

"Apa sahaja keputusan PRK Kuala Besut akan menjadi indikator dalam menentukan keputusan pilihan raya lain pada masa depan," ujarnya.

By: Nizam Yatim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik