BAKAT semula jadi seperti dimiliki P Ramlee (sebagai seniman yang versatil atau serba boleh) jarang sekali wujud. Banyak bakat yang ada sejak bayi/kecil kerana tiada galakan atau tidak disedari terpendam.

Negara dan bangsa rugi, kerajaan cuba menarik mereka yang berkebolehan ini menyertai beberapa bidang kehidupan.

Negara kita terus membangun, sektor ekonomi terpenting dan makin berkembang. Lanskap politik terus berubah.

Kedua bidang ini juga yang lain mesti mempunyai reservoir (takungan) bakat bukan saja untuk kelangsungan kemajuan yang sudah dicapai tetapi juga untuk mempertingkatkan lagi standardnya.

Jika wadah bakat kita terus daif atau defisit sukarlah bisnes, industri, ekonomi, pendidikan dan alam politik kita untuk terus berkembang maju, mekar dan membiak.

Maka dengan sendiri jika defisit tidak diatasi takungan pekerjaan terus kecil. Pengangguran di Malaysia hanya 3.2 peratus.

Sama seperti tiada pengangguran dalam istilah ekonomi, satu markah tinggi pada pengurusan ekonomi negara kita jika dibandingkan dengan 6.1 peratus pengangguran di Australia, 7.8 peratus di Amerika Syarikat dan 40 peratus di Mesir di kalangan mereka yang berumur bawah 24 tahun.

Malaysia terus maju tiada siapa pun boleh meragukan. Tetapi tanya seorang ilmuwan, nasionalis yang terus resah bagaimana pula dengan keadaan Peribumi/Islam/Melayu?

Adakah mereka akan terus miskin, terus dapat kuah dan tulang saja dalam ekonomi negara?

Harmoni negara akan terancam, seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak kepada BBC, jika kemakmuran dan kekayaan negara tidak dinikmati semua kaum terutama oleh bangsa majoriti dengan adil dan saksama sesuai dengan bilangan dominan mereka.

Selagi itu tidak tercapai, affirmative action akan diteruskan melalui pendekatan yang sesuai dengan tuntutan zaman.

Apa pun Malaysia, mengikut 'tauke transformasi politik dan ekonomi', rancangannya terus berbuah.

Tegas Najib lagi "status Malaysia dalam dunia terus meningkat- kini no.12 mengikut World Bank tempat terbaik menjalani bisnes - juga dijangka kita mencapai status negara maju atau high-income nation dua tahun lebih awal daripada Wawasan 2020 Dr Mahathir".

Kalau bilangan rakyat kita yang berbakat terus kecil terpaksalah kita menggunakan bakat asing atau memujuk rakyat Malaysia yang bekerja dan bermastautin di luar negara pulang.

Senang bercakap tetapi tidak mudah merayu mereka pulang dari tempat mereka berasa amat comfortable, selamat dan selesa.

Dalam politik, ekonomi negara kita memerlukan banyak kepakaran dan bakat. Tidak salah kita mengguna bakat dan pakar asing sebagai komplimen pada bakat kita.

Saya nampak kita kekurangan daya kreatif atau kalau ada pun tidak terserlah dalam dunia persuratan, kesusasteraan, ekonomi, budaya dan politik hatta dunia bisnes pun.

Awal minggu saya berada di Kelantan dua malam tiga hari dan satu pagi genap di Kedah. Saya tidak nampak jelas sudah ada perubahan, pendekatan dan minda berlaku semenjak PRU13. Ada tetapi tidak ketara sangat.

Sesungguhnya saya suka melihat secepat boleh pembaharuan atau perubahan minda dan sikap di kalangan rakyat Kelantan dan Kedah seperti kata seorang tetamu asing yang mengiringi saya: "datang sebelum dipanggil, buat kerja atau menjalankan tugas sebelum disuruh/perintah; tidak berhenti sebelum kerja, assignment, tugas selesai.

Kalau ini berlaku, Kelantan dan Kedah - dua negeri Melayu terbesar - akan lebih makmur, dinamik dan berkembang pesat di bawah kepimpinan baru yang lebih muda, lebih terbuka dan realistik.

Terpenting menetapi janji (punctual). Kalau meeting 10 pagi, 10 pagilah bukan bertolak ke tempat mesyuarat 10 pagi! Maknanya bertolaklah lebih awal untuk appointment agar sampai di tempat mesyuarat atau appointment 10 pagi tepat. Bagi mencapai matlamat itu kita wajib bertolak lebih awal lagi.

Siapa saja saya berjumpa mahu tahu siapa menang dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut (hari penamaan calon 12 Julai dan hari mengundi 24 Julai, yakni dalam bulan puasa) dan sama ada Najib akan dicabar dalam pemilihan Umno akan datang.

Minat orang kita dalam politik keterlaluan. Andainya mereka menghabiskan masa yang sama atau sama banyak masa kepada pendidikan dan ekonomi, bangsa kita sudah lebih berilmu dan lebih maju dan matlamat Wawasan 2020 tercapai lebih awal lagi daripada yang diramalkan oleh Najib.

Seperti ditegaskan beberapa kali, kalau BN letak calon berbakat, berilmu dan berhemah ia akan menang mudah di Kuala Besut. Kalau Pakatan Rakyat juga berbuat demikian ia ada harapan merampas kerusi itu walaupun peluangnya tidak cerah.

Saya sengaja menulis tentang bakat minggu ini sebab saya yakin, amat yakin calon adalah penentu selain daripada parti dalam segala pilihan raya. Ambillah iktibar keputusan PRU13.

Kalau calon yang sesuai, tidak banyak kecacatan, saya percaya Umno berjaya memungut lebih dari 88 kerusi Parlimen yang dimenanginya. Mungkin melebihi 90 kerusi. Dalam situasi biasa, kekalahan di Kuala Besut tidak mala petaka kepada BN.

Pilihan raya kecil di mana pun lazimnya dimenangi pembangkang. Kerana kedudukan kerusi dalam Dun Terengganu merbahaya - 16 BN dan 15 PR - Umno mesti menang apa jadi pun dan saya yakin calonnya akan berjaya.

Andai saya pemimpin Pas Terengganu, saya sanggup membayar berapa tinggi harga pun untuk bertapak di Kuala Besut dan seterusnya membawa era Politik Baru di Terengganu.

Najib dijangka menang tanpa bertanding sebagai Presiden Umno begitu juga Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden. Juga ketiga Naib Presidennya harus menang tanpa dicabar. Kuasa incumbensi - mereka yang memegang jawatan- hebat dan sukar dikalahkan.

Kecualilah ada jokers atau pelawak yang bersendirian atau yang diupah untuk kacau daun atau mahu memalukan Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal.

Takkanlah pula ada pemimpin Umno yang berwibawa tidak malu mata?

Saya mengucapkan selamat berpuasa dan semoga segala amalan kita dalam bulan Ramadan Mubarak dan seterusnya diterima ALLAH SWT jua.