Sunday, July 7, 2013

LAWAN ATAU TIDAK LAWAN?

*LAWAN, atau menang percuma? Tentu sekali lain orang, lain kepentingan, lain pandangan dan lain jawapan sekiranya ditanya soalan ini.

Saya bercakap mengenai orang No 1 dan No 2 Umno pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Kalau ikut kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, siapa sahaja yang layak boleh lawan. “Siapa sahaja yang mahu bertanding untuk jawatan tertinggi, daripada Majlis Tertinggi ke jawatan presiden, boleh mendaftarkan diri mereka sebagai calon,” kata Setiausaha Agung parti itu.

Menurut format baru pemilihan, antara 148,000 dan 150,000 anggota parti dari 199 bahagian akan mengundi calon yang berkenaan. Sistem kuota undi yang diperkenalkan pada zaman Tun Dr Mahathir dulu telah dimansuh, kini siapa sahaja boleh menawarkan diri sebagai calon mana-mana jawatan.

Pendek kata parti terbesar Melayu itu kini semakin terbuka, semakin telus, semakin demokratik. Maka kalau ada yang bercita-cita besar, Tengku Adnan telah membuka pintu dan menyediakan gelanggang untuk bertanding.

Adakah sesiapa di luar sana yang berhasrat – dan berani – menentang Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

*TETAPI, ada juga yang berfikiran lama, tidak mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan. Datuk Seri Musa Aman beranggapan gandingan Najib-Muhyiddin sekarang paling mantap, jadi perlu dikekalkan.

“Kita percaya kepimpinan dan gandingan yang berwawasan ini akan membawa parti ke tahap yang lebih teguh, dinamik dan berdaya menang,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga Ketua Menteri itu.

Sebut pasal mantap, teringat gandingan Dr Mahathir dan Musa Hitam. Semasa menjadi orang No 1 dan No 2 dalam parti dan kerajaan dulu semua orang kata merekalah regu paling kamceng, sehingga ada yang terlebih-lebih – mungkin hendak mengampu! – menyebut mereka sebagai ‘Pentadbiran 2M’. Pagi petang, siang malam, sana sini orang sebut 2M.

Terbukti kemudian bahawa 2M tidak semantap yang digembar-gemburkan. Dan, seperti yang kita semua tahu dan masih ingat, akhirnya yang 2M tinggal 1M.

*SATU lagi tanggapan lama dalam Umno, juga dalam kebanyakan parti lain, ialah sekiranya ada pertandingan untuk jawatan tertinggi parti dibimbangi itu akan mewujudkan puak-puak dalam parti, dan akhirnya menjadi parti berpecah.

Mungkin ada benarnya kebimbangan itu. Tetapi itu tidak boleh selamanya dijadikan alasan dan halangan untuk kedua jawatan penting itu dicabar, lebih-lebih lagi pada ketika orang sibuk bercakap mengenai transformasi itu, transformasi ini.

Setelah wujud lebih setengah abad parti tersohor Melayu itu memang memerlukan transformasi, baik dari segi semangat, pemikiran dan tindakan. Maka, kalau betul ada calon yang lebih baik, tidak salah diadakan pertandingan.

Lagi pun telah terbukti dulu, kini dan selamanya, tanpa pertandingan kepimpinan tertinggi pun parti itu berpecah juga. Sentiasa ada tikam-menikam dalam kalangan anggota dan pemimpin parti. Tikam atas, tikam bawah, tikam depan, tikam belakang.

Malah perpecahan dalam parti telah diakui sebagai salah satu faktor kegagalan Umno memperbaiki prestasi di beberapa negeri – termasuk Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor – pada PRU13 lalu.

*TRANSFORMASI minda pun perlu dilakukan oleh sesetengah pemimpin Umno, supaya parti terunggul Melayu itu tidak dilihat sebagai berfikiran sempit dan ketinggalan zaman. Ada seorang dua pemimpin tertinggi parti yang tertutup minda.

Apabila beberapa orang editor dan wartawan kanan Sinar Harian menemui salah seorang pemimpin parti itu di Putrajaya, beliau dengan nada sinis dan marah berkata: “Akhbar awak tidak sokong kita, sebab itu kita kalah.

Jangan interbiu saya, jangan lagi siarkan cerita saya. Saya tidak akan layan wartawan awak...”

Harap-harap tidak ramai pemimpin Umno yang tertutup minda seperti ini.

*AKHIR kalam, walaupun Ramadan akan tiba sehari dua lagi, sejak minggu lalu saya telah menerima banyak undangan untuk majlis berbuka puasa. Saya percaya seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini pun jamuan berbuka diadakan bertindih-tindih oleh jabatan, agensi, GLC, NGO dan lain-lain. Dalam sehari ada dua tiga undangan berbuka.

Demikianlah mewahnya negara kita. Sebab terlalu mewah, terjadi pembaziran, sedangkan kita semua tahu membazir itu sahabat iblis. Fikirkan...

By: Tok Perak.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik