Wednesday, July 3, 2013

LIBERALISASI PEROSAK DEMOKRASI.

Minggu lalu kolum “Khalifah Bisnes” tegas menganjurkan rakyat Malaysia, khasnya Melayu Islam selaku warga majoriti, memperkukuh dan memperjuangkan demokrasi tanpa kompromi.

Demokrasi satu-satunya sistem pemerintahan memperkasa warga majoriti, justeru berpotensi membela hak dan kepentingan Melayu-Islam memperjuangkan cita-cita menjadikan nilai hidup Islam teras pembangunan tamadun masa depan negara.

Kolum minggu lalu juga tegas menuntut Melayu-Islam mencari formula “Jihad Politik” inklusif, di samping menjayakan “Jihad Bisnes” dengan menerap dan mengintegrasikan prinsip amanah dan semangat berkorban (selflessness).

Tanpa semangat jihad warga Melayu-Islam mudah dirosakkan gaya hidup kapitalis, terikut-ikut memperjuangkan doktrin asing, terutama penswastaan dan liberalisasi tanpa berfikir panjang kesan negatif terhadap perjuangan besar bangsa dan agama. Pada akhirnya amalan demokrasi negara juga akan turut terjejas olehnya.   

Liberalisasi ekonomi punca utama perpecahan dan kelemahan  

Sistem ekonomi liberal dunia anjuran kapitalisme Barat membuat manusia bersikap rakus dan materialistik.

Justeru, mustahil Melayu-Islam membina kekuatan mencapai kemenangan sebenar dengan menciplak liberalisasi dan kaedah rakus kapitalisme Barat.

Sebaliknya, mereka wajib merapatkan saf organisasi berpegang teguh kepada Tali ALLAH SWT mematuhi sepenuhnya ajaran Islam dan berjihad memburu kekayaan berprinsipkan “zuhud ekonomi”.

Zuhud ekonomi yang dimaksudkan ialah mengikut definisi Dr Yusof Qardhawi, (dalam bukunya bertajuk “Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya”) yang tegas menyatakan orang berzuhud bukan orang yang menolak dunia atau 'memuji kemiskinan', malah berjuang memanfaatkan harta kekayaan.

Tambah beliau: “Orang yang benar-benar berzuhud ialah orang yang memiliki dunia tetapi ia meletakkan dunia itu di dalam genggaman tangannya, bukan di hatinya.”

Tegasnya, dasar penswastaan dan doktrin liberalisasi merosakkan ekonomi Melayu,  melemahkan keutuhan sosial dan memecah kebulatan politik Melayu setelah hilang kepercayaan sesama sendiri apabila amanah dan keadilan dikesampingkan.

Akibatnya, segelintir Melayu kaya-raya terbang tinggi sedangkan majoriti miskin hanyut ke tepi, tertekan hidup serba kekurangan dan kesusahan. Paling merugikan, banyak aset dan bisnes diswastakan akhirnya terlepas tangan.

Penswastaan: Dasar ekonomi memakan diri

Terdapat juga kesan sampingan ironis mengecewakan, apabila jutawan dan bilionair Melayu-Islam ciptaan penswastaan kemudiannya membuat tuntutan menyaman kerajaan  di mahkamah!

Laporan akhbar mingguan bisnes berbahasa Inggeris The Edge, 10 Jun, 2013 memaparkan tiga halaman penuh kes saman seorang tokoh korporat Melayu terhadap kerajaan Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (mantan Menteri Kewangan Malaysia) dan Khazanah Nasional Bhd, membabitkan tuntutan ganti rugi bernilai RM1.3 bilion!

Jelas sekali dasar penswastaan dan doktrin liberalisasi ciplakan kapitalis Barat bukan sahaja merosak, malah memusnahkan hingga seolah-olah memakan diri. 

Lebih-lebih lagi setelah penswastaan turut menjadi punca berlakunya korupsi dan rasuah dalam kalangan pentadbir dan penguasa politik menjejas integriti dan memburukkan reputasi kerajaan di kaca mata semua.

Pada akhirnya, penswastaan juga berciri zalim kerana setiap kali bisnes dan aset GLC diswastakan bermakna harta milik awam hak amanah warga miskin dipindahkan kepada warga korporat dan individu swasta kaya.

Sedangkan Islam tegas menegah dibiarkan harta kekayaan berputar dalam kalangan golongan kaya (lihat al-Quran, Surah Al Hasyr, 59:7); sebaliknya menuntut golongan miskin dibela dan diberi hak zakat, selain dibantu sedekah, infak dan wakaf harta orang kaya.  

Swasta meminggir rakyat majoriti, mengancam demokrasi     

Ketidakadilan dan kezaliman ekonomi menjadi salah satu sebab sistem kapitalis liberal semakin tidak disenangi masyarakat dunia hari ini; malah kerap dikaitkan sebagai salah satu punca krisis ekonomi Barat. Pemikir Barat seperti Profesor Noam Chomsky dari MIT (lihat buku bertajuk “Power Systems”) berpendapat liberalisasi ekonomi mengancam demokrasi setelah 'himpunan kuasa swasta' memusnahkan ikatan perpaduan social ('breaking down of social bonds.')   

Kesimpulannya, untuk mempertahankan demokrasi warga majoriti wajib waspada bahaya himpunan kuasa swasta minoriti mendominasi ekonomi. Malangnya, rata-rata warga Malaysia terpengaruh hasutan kuat fahaman pro-penswastaan atas alasan pertumbuhan pesat ekonomi.

The Edge, dalam terbitan 19 Jun, 2013, mendesak menteri baru Kabinet, Datuk Wahid Omar, mempercepatkan proses penswastaan dan liberalisasi. Dalam rencana bertajuk “Wahid’s EPU challenge” Anna Taing menegaskan:

“Deregulation and liberalization should also be a priority to help unleash entrepreneurship dynamism and spur new sources of growth. … rollback of the government involvement in the business sector should be sped up, to remove the crowding out effect.”

Sebenarnya hari ini seluruh dunia semakin marahkan dan membenci himpitan swasta terhadap rakyat jelata, iaitu situasi di mana kelompok kecil individu dan korporat swasta kaya-raya menyalah guna kekayaan dan kuasa ekonomi menekan serta menghimpit ke tepi rakyat jelata. Fenomena ini sebenarnya mengakibatkan “private sector crowding out the people!” 

Sesungguhnya, jika dibiarkan berleluasa dan berlarutan, doktrin penswastaan dan liberalisasi ekonomi pasti meminggir dan menindas warga majoriti, selain menjejas dan melemahkan demokrasi. Kenapa pula Malaysia harus bertindak membela segelintir swasta kaya-raya dan tidak mengutamakan rakyat jelata menepati slogan yang kerap dan lantang dilaungkan?

by: Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik