Wednesday, July 10, 2013

MALAYSIA BUKAN NEGARA SEKULAR.

JIKA diteliti kandungan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa undang-undang tertinggi negara kita tidak berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.
Islam diiktiraf sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja Melayu dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, wang negara boleh dibelanjakan untuk tujuan pendidikan Islam dan penyelenggaraan institusi-institusi Islam, malah wang pungutan zakat dikira sebagai hasil negara.
Selain itu, pendidikan Islam diajar sebagai mata pelajaran wajib untuk pelajar-pelajar beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan, latihan untuk guru-guru pendidikan Islam disediakan oleh kerajaan, undang-undang syariah dilaksanakan oleh mahkamah syariah yang merupakan sebahagian daripada institusi kehakiman negara, hakim-hakim mahkamah syariah adalah penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan, dan banyak lagi perkara lain yang mengaitkan agama Islam dengan dasar kerajaan dan institusi negara. Kesemua ini dilaksanakan di bawah lembayung Perlembagaan.
Dalam sebuah negara sekular, tidak mungkin dana negara digunakan secara langsung untuk kebajikan umat Islam. Tidak mungkin juga sistem kehakiman Islam dan pendidikan Islam menjadi sebahagian daripada sistem negara, dan undang-undang syariah dilaksanakan oleh penjawat-penjawat awam.
Di bawah Perlembagaan negara kita, kesemua ini dibenarkan. Pelaksanaannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan hasrat Perlembagaan.
Di Malaysia, tidak berlaku pemisahan antara agama dan negara secara total. Ciri penting negara sekular ini tidak wujud di Malaysia. Maka sah Malaysia bukan negara sekular seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen baru-baru ini.
Tetapi mengapa masih ada pihak yang beria-ia ingin mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular?
Bagi saya ini bukan cerita baru, tetapi cerita lama. Jika kita singkap sejarah pembikinan perlembagaan negara di ambang kemerdekaan dahulu pun, cerita ini telah hangat diperdebatkan.
Suruhanjaya Reid yang dilantik untuk menyediakan deraf perlembagaan Malaysia misalnya tidak memperakukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Maka dengan itu, menurut perakuan Suruhanjaya Reid, Malaysia tidak akan mempunyai Agama Negara seperti juga negara-negara sekular yang lain.
Perakuan ini ditentang oleh satu-satunya ahli Suruhanjaya Reid yang beragama Islam iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Beliau berhujah, pada masa itu terdapat sekurang-kurangnya 15 negara yang mempunyai agama negara. Jadi mengapa pula Malaysia harus terkecuali.
Tambahan pula, hujah Hakim Abdul Hamid, saranan Islam sebagai Agama Persekutuan merupakan hasil pemuafakatan politik yang dicapai oleh Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, yang mewakili kaum-kaum utama di Tanah Melayu pada ketika itu.

Saranan ini terkandung dalam dokumen yang dinamakan 'Political Testament of the Alliance', iaitu memorandum mengenai Perlembagaan yang dikemukakan oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Hakim Abdul Hamid berpandangan adalah tidak wajar bagi Suruhanjaya Reid menolak persetujuan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin politik pelbagai kaum setelah mereka melalui proses rundingan yang panjang.
Hampir semua saranan yang terkandung dalam 'Political Testament of the Alliance', yang pada peringkat awalnya ditolak oleh Suruhanjaya Reid, dimasukkan dalam Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen British pada Jun 1957, yang kemudiannya diterima sebagai Perlembagaan negara.
Ini termasuk saranan supaya Islam dijadikan Agama Persekutuan. Dalam konteks ini, dokumen perjanjian politik Parti Perikatan, yang juga disebut sebagai Kontrak Perlembagaan, adalah jauh lebih penting dan signifikan daripada Laporan Suruhanjaya Reid.
Maka dengan itu, termaktublah dalam Perlembagaan negara kita Islam sebagai Agama Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam suasana yang aman dan harmoni di mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Secara tidak langsung, cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular telah berjaya ditangkis.
Namun hari ini, cerita lama kedengaran lagi. DAP sebagai sebuah parti sosialis totok sekular, menyambung cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Cuma caranya agak berbeza.
Jika dahulu cubaan untuk menjadikan Malaysia negara sekular dibuat dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, hari ini ia dilakukan secara lebih halus.

DAP tahu bahawa sikap parti itu yang menolak hukum hudud tidak boleh diburukkan lagi dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Ini akan menimbulkan kemarahan pengundi majoriti beragama Islam, dan memburukkan lagi hubungannya dengan Pas.
Maka, DAP tidak secara langsung menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, malah bersetuju ia diterima sebagai sebahagian daripada Dasar Bersama pakatan pembangkang.
Tetapi di sebalik paparan wajah manis DAP, parti itu sama ada secara langsung atau menerusi proksi menolak pelaksanaan undang-undang Islam yang didakwa kononnya mencabuli kebebasan asasi manusia.
Ini termasuk undang-undang yang menghalang perlakuan murtad, mendedahkan aurat, meminum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan muhrim, amalan ajaran sesat dan juga orientasi seks songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual. Kesemua perlakuan dan amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
DAP tidak menolak simbol Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi membantah setiap intipati ajaran Islam dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara.
Tindakan DAP ini umpama pepatah Melayu - pepat di luar, rencong di dalam. Ini adalah dimensi baru cubaan menegakkan negara sekular di Malaysia. Tidak mengapa Islam dikekalkan sebagai Agama Persekutuan, yang ditafsirkan sebagai agama rasmi semata-mata, tetapi tidak boleh dibiarkan menjadi tonggak dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara. Inilah perjuangan DAP.
By: Marzuki Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik