Friday, July 5, 2013

MESIR, KUASA RAKYAT DAN DUN PULAU PINANG.

PRESIDEN Mesir, Mohammed Mursi digulingkan!" Itulah antara tajuk-tajuk utama akhbar seluruh dunia sejak semalam. Mursi ialah presiden yang dipilih melalui pilihan raya setelah Hosni Mubarak dijatuhkan selepas demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir. Mursi juga mengalami nasib serupa.

Justeru, Jas Salleh (semaremas.blogspot.com) menulis, pengalaman di Mesir membuktikan bahawa kuasa rakyat yang diuar-uarkan oleh pihak pembangkang hanyalah mitos romantika damok" yang dicipta oleh puak-puak penentang dan pembangkang.

Jadi dalam sesebuah gerakan mitos kuasa rakyat, siapakah sebenarnya yang berkuasa? Yang pastinya bukan rakyat. Tetapi rakyat diperalatkan dan dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan untuk merampas kuasa dan untuk berkuasa.

Sokongan daripada para perusuh demonstrasi hanya satu gerakan penipuan sahaja. Jika dikatakan pengesahan kuasa datang daripada rakyat, maka siapa pula yang memberikan pengesahan kuasa kepada rakyat?" katanya.

Tambahnya, pengalaman di Mesir membuktikan kuasa-kuasa asing mudah berkuasa dan memaksakan kehendak mereka melalui para demonstran.

Dan para demonstran bukan membawa aspirasi dan kehendak mereka tetapi aspirasi dan kehendak para penaja, pemberi dana dan mereka yang menggerakkan para demonstran ke jalanan," katanya.

The Flying Kick (theflyingkick.blogspot.com) pula sudah menjangkakan pentadbiran Mursi tidak bertahan lama.

Sebarang kebangkitan daripada jalanan dan ditambah pula dengan motif yang tidak jelas, sebaliknya lebih kepada emosi, akhirnya akan berderai begitu sahaja," katanya.

Katanya, alasan utama penggulingan Mursi dan kerajaannya ialah kerana beliau terlalu berlembut, banyak bersabar dan terlalu perlahan menjalankan transformasi sepertimana dituntut rakyat Mesir.

Ada pengajaran yang boleh diperoleh daripada peristiwa di Mesir. Jangan kata Mesir dan Malaysia tiada kaitannya. Apa-apa sahaja seharusnya menjadi pengajaran kepada mereka yang mahu berfikir dan mahu menggunakan akal," katanya.

Sementara itu Keris 7 Lok (keris7lok.blogspot.com) berkata, kejatuhan Mursi disebabkan Presiden Mesir itu banyak melakukan dosa di mata golongan liberal, sekular dan syiah.

Antara dosanya adalah mengangkat harga diri Mesir di hadapan dunia Arab dan Islam, menyokong perjuangan umat Islam Palestin, Syria dan Rohingya serta konsisten solat berjemaah bersama rakyat di masjid, menghafal al-Quran, bertahajjud dan sabar terhadap segala caci maki.

Mursi juga dianggap berdosa kerana: menarik pelabur luar negara dan mempertahankan kepercayaan asing di Mesir, mengembangkan tenaga nuklear dan tenaga matahari sebagai tenaga alternatif di Mesir serta mengembangkan Terusan Suez menjadi pasar bebas dunia," katanya.

DUN PULAU PINANG

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang mula bersidang minggu ini mencetuskan sejarah baharu apabila sidang berlangsung tanpa ada sesi soal jawab.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang turut merasa pelik dengan ketiadaan sesi yang menjadi kewajipan dalam mana-mana sidang DUN di negara ini bagi membolehkan wakil rakyat bersoal jawab dengan Exco Kerajaan Negeri.

Blog Dr. MIM (novandri.blogspot.com) berkata, beliau tidak pasti sama ada Guan Eng benar-benar ikhlas atau sekadar bermain wayang apabila turut merasa pelik dengan keadaan itu.

Kelakar pula jawapan anak Lim Kit Siang DAP ini. Beliau ialah Ketua Menteri Pulau Pinang tetapi tidak tahu dan tidak proaktif untuk memastikan pencabulan demokrasi tidak berlaku di negeri ini. Amat sukar untuk kita percaya dengan alasan Guan Eng DAP itu.

Dan jangan sekadar minta penjelasan sahaja. Beliau sepatutnya menerangkan isu besar ini dalam blog beliau. Jika tidak, beliau akan nampak seperti melepaskan batuk di tangga dan wayang kulit sahaja," katanya.

Sementara itu beberapa blog antaranya Dr. MIM dan Medan Tempur Kedah (medantempurkedah.blogspot.com) menyiarkan semula kenyataan Tony Pua berhubung penutupan bazar Ramadan.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik