Wednesday, July 31, 2013

NASIB MELAYU BERULANG LAGI....

Bila pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi) dipenjarakan atas kesalahan menghina Islam di bulan Ramadhan, sebelum ini mengeposkan gambar hubungan seksnya dalam laman sosial, heboh satu dunia, seolah-olah tidak ada apa lagi yang perlu dibicarakan. Mahkamah tidak adillah dan macam-macam lagi alasan bagi membebaskan mereka ini.

Mereka dikatakan masih muda dan kesalahannya perlu dimaafkan. Lebih kiasu lagi, ada membandingkan kes ini sama seperti Ibrahim Ali (bakar kitab injil), Zulkifli Nordin (ceramah), termasuk juga saya (tulisan). Situasi saya kami berbeza dengan Alvivi. Saya mempertahankan hak kepada yang berhak. Sama ada orang lain dapat menerima atau tidak, terpulang…yang penting, saya tahu apa saya lakukan dalam negara demokrasi.  

Ekoran daripada itu, empat lelaki Melayu setakat ini telah ditahan dan akan dibicarakan, didakwa bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan. Ketika meninggalkan mahkamah, suspek, sambil bergenang air mata sempat melaungkan: "Allahu Akhbar".

Jarang kedengaran orang yang melakukan kesalahan, bertakbir, kecuali dalam kes ini dan beberapa  kes terpencil. Mungkin mereka merasakan tindakannya itu betul. Tuhan sahaja yang tahu.

Malangnya, tidak kedengaran suara membela mereka. Tiada siapa yang peduli, berbanding dengan Alvivi. Apakah anak muda ini tidak muda dan tidak ada masa depan? Apakah tenaga mereka tidak perlukan untuk negara? Apakah anak muda tidak berkelakuan baik seperti dakwaan ibu bapa pasangan itu akan betapa baiknya anak mereka?

Terus terang, saya tidak menyokong anak muda Melayu tersebut, tetapi saya amat bersimpati, kerana saya dapat menyelami dan menjiwai perasaan mereka. Saya amat memahami orang Melayu dan nasib Melayu.

Menurut laporan, kejadian culik itu dikaitkan dengan pasangan kontroversi Alvivi yang didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu "Alvin and Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers.

Ketika kejadian, Mun Tatt sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran, diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta. Mun Tatt yang mendakwa turut dikasari, dibogelkan dan diconteng badannya dengan perkataan "saya hina agama slam".

Dalam sidang media di Klang, Mun Tatt berkata, penculik mengasari, menconteng perkataan di badannya dan memeras wang daripada abang iparnya. Benar atau tidak, hanya Tuhan yang tahu. Biar polis menjalankan siasatan.

Saya tidak pasti, sama ada kes ini ada kaitan atau tidak dengan Alvivi. Bukan tujuan saya juga untuk membela mereka, salah tetap salah. Tetapi kita perlu lihat juga kenapa anak muda Melayu ini bertindak sedemikian?

Saya hanya ingin membawa pembaca menilai kedua kes ini dengan lapang dada. Dalam kes Alvivi, saya lihat ramai bukan Islam tampil ke hadapan mengatakan keputusan mahkamah itu salah. Yang betulnya, mereka sepatutnya dibebaskan dan dibenarkan ikat jamin.  

Dalam kes anak muda Melayu ini, mereka juga tidak dibenarkan ikat jamin. Tidak ada siapapun bersuara, semua orang mengatakan tindakan itu salah dan salah. Tidak ada berani yang tampil berkata, tindakan mereka itu bersebab, walaupun salah. Nasib Melayu berulang kembali.

Selalu saya ingatkan, jangan cabar orang Melayu, nanti dia mengamuk susah dibuatnya. Saya kenal sangat dengan Melayu, walaupun saya Cina.

Sesekali terfikir juga, tindakan anak muda Melayu ini sebenarnya merupakan ingatan terhadap sesuatu kaum supaya jangan biadap. Tidak kurang juga kepada kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar lebih tegas. Adalah tidak mustahil suatu hari nanti, keadaan akan menjadi lebih buruk, jika penghinaan terhadap Islam tidak dibendung. Orang Melayu amat sensitif dengan agama walaupun mereka tidak solat atau tidak puasa.

Mungkin kita beranggapan bahawa tindakan anak muda ini bodoh atau orang Melayu terlalu beremosi dan sensitif.

Saya boleh bersetuju dengan pendapat bahawa semua ini adalah hasil manifestasi cara orang Melayu bertindak balas apabila mereka dicabar dan dihina. Bayangkan jika pasangan ini dilepaskan, selepas empat anak muda ini didakwa, sudah tentu kemarahan anak muda Melayu akan menjadi semakin meluap.

Justeru, mengambil iktibar daripada kedua kes ini, saya dapat simpulkan bahawa, pertama; agama Islam adalah isu yang amat sensitif bagi orang Melayu, ibarat darah dan daging, walaupun mungkin orang Melayu itu penagih dadah. Mungkin pada orang Cina, agama itu kurang penting dalam kehidupan, yang lebih penting adalah ekonomi. Tetapi tidak kepada Melayu.

Kedua; Hentikan penghinaan kepada semua agama. Namun, penghinaan terhadap agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain, walaupun secara prinsip kita semua tidak boleh menghina agama lain. Oleh kerana agama Islam, adalah agama persekutuan, kedudukannya lebih mengikat.

Akhirnya, bertindaklah dengan tegas terhadap mereka yang secara mengaja mempersendakan agama Islam, tanpa menoleh lagi.
Posted by : Ridhuan Tee.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik