Thursday, July 4, 2013

PENIAGA MELAYU BERDEPAN HUTANG, RASUAH.

BARU-baru ini rakan penulis telah meminta pandangan penulis adakah wajar dia mengambil pinjaman berlesen? Ini kerana dia memerlukan sejumlah wang yang agak banyak bagi memulakan perniagaan di gedung perniagaan yang terkemuka di Malaysia.

Baginya peluang ini datang sekali dan sukar untuk datang sekali lagi. Lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, justeru pastinya umat Islam juga akan berlumba-lumba membeli belah selain berlumba-lumba beribadah dalam bulan Ramadan.

Dia sebenarnya sudah kehabisan modal dek kerana telah menggunakan sepenuhnya wang untuk perniagaan lain. Permohonannya untuk berniaga di gedung tersebut hanya diketahui selepas mengeluarkan modal membeli barangan lain. Selepas setahun memohon barulah dia diterima untuk mendapatkan tapak kedai di gedung terkemuka tersebut.

Penulis sebaik mungkin cuba menasihatinya. Bagi penulis, terdapat pemberi pinjaman yang dikenali sebagai ah long berselindung di sebalik pinjaman berlesen. Penulis menasihatinya agar tidak terjebak dalam pinjaman ah long kerana ia akan memberi kesan negatif jangka masa panjang. Penulis mengesyorkan agar dia mendapatkan pinjaman dari bank.

Awal-awal lagi dia menyatakan telah memohon pinjaman bank namun disebabkan prosedur yang memakan masa yang lama tidak memungkinkan dia untuk meneruskan perniagaan di gedung perniagaan terkemuka tersebut.

Jadi, dia perlu mendapatkan pinjaman daripada pemberi "pinjaman berlesen" yang mana lebih mudah dan cepat untuk mendapatkan pinjaman. Dia hanya diberikan tempoh selama sebulan sahaja untuk membayar sejumlah wang yang banyak kepada pemilik gedung perniagaan tersebut.

Inilah dilema ahli-ahli perniagaan Melayu Islam yang mula berniaga secara serius. Malangnya, mereka tidak cukup modal. Meminjam dengan bank pula penuh dengan birokrasi. Meminjam dengan institusi kerajaan yang memberi pinjaman pula indah khabar dari rupa.

Ini bukan kata-kata penulis tetapi kata-kata yang dilontarkan oleh rakan penulis tersebut kepada penulis. Jadi mahu tak mahu mereka terpaksa meminjam daripada lintah darat iaitu ah long walaupun risikonya amat tinggi sama sekali.

Sebenarnya masalah hutang ini bukan hanya melanda ahli-ahli perniagaan yang baharu memulakan perniagaan tetapi juga kepada rakyat Malaysia. Jika tidak, mana mungkin hutang isi rumah Malaysia melebihi 80 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hutang yang semakin tinggi boleh membahayakan kewangan peribadi seseorang. Bahkan, ekonomi negara juga boleh terjerumus dalam kemelesetan berpanjangan dek kerana kadar hutang yang terlalu tinggi.

Untuk menyelesaikan masalah ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia bergantung kepada banyak faktor seperti pendapatan yang rendah dan gaya hidup mewah. Bayangkan belum lagi masuk bulan Ramadan, sudah terdapat pelbagai iklan yang bertujuan memikat umat Islam Malaysia berbelanja melampaui batas.

Gaya hidup bermewah-mewah dan pada masa sama ingin bersaing sesama sendiri dengan menunjukkan kemewahan ini sejak akhir-akhir ini semakin nampak dengan ketara. Rakyat Malaysia sanggup berhutang dengan kadar yang tinggi meskipun tidak mampu seperti membeli kenderaan mewah yang berharga ratusan ribu ringgit.

Bagi golongan ini biarlah mereka berhutang keliling pinggang, yang penting status mereka sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.

Kereta-kereta mewah ini bukan sahaja harganya amat mahal tetapi kos penyelenggaraan pun mencapai ribuan ringgit. Sikap suka berhutang ini boleh membawa kepada episod yang lebih teruk lagi iaitu terlibat dengan gejala rasuah. Maka, tidak menghairankan terdapat banyak kes rasuah yang terpampang di dada-dada akhbar tempatan. Gejala rasuah ini bukan sahaja melibatkan individu tetapi juga boleh berlaku dalam kalangan syarikat-syarikat korporat.

Penulis amat bersetuju dengan cadangan agar syarikat juga sewajarnya diheret dalam kes rasuah dan bukan setakat individu-individu dalam syarikat. Menyekat gejala rasuah yang melibatkan syarikat akan memberi banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.

Kebaikan utamanya sudah tentu keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap ekonomi negara dan seterusnya kos perniagaan tidak melambung tinggi dan akhirnya pengguna yang merupakan rakyat Malaysia tidak menanggung beban kos ini.

Mendakwa syarikat yang terlibat dalam rasuah merupakan satu tindakan untuk mendakwa 'jerung' dan bukan sekadar mendakwa 'bilis'. Gejala mencantas gejala rasuah yang melibatkan 'jerung' akan menggerunkan 'bilis' daripada melakukan rasuah.

Rakyat mengetahui terdapat beberapa sektor perniagaan yang amat berisiko untuk terjebak dalam gejala rasuah. Tumpukan ke atas sektor perniagaan ini kerana sudah nampak kesan ketara terhadap kos kehidupan rakyat yang semakin tinggi. Sektor perniagaan yang berisiko tinggi terlibat dengan rasuah rata-rata merupakan sektor yang amat dekat dengan rakyat dan pembeli.

Dalam kajian penulis dan rakan-rakan mengenai rasuah, terdapat responden yang ditemubual oleh kami menyatakan jenis perniagaan yang berisiko tinggi untuk terlibat dalam rasuah. Maka, cadangan untuk mengheret syarikat yang terlibat dalam rasuah mampu membantu rakyat dan ekonomi negara.

Tidaklah rakyat terpaksa berhutang kerana beban kos sara hidup yang semakin tinggi angkara kegiatan rasuah syarikat-syarikat berkenaan. Justeru, antara hutang dan rasuah, kedua-duanya mempunyai hubungan di antara satu sama lain yang perlu diberi keutamaan oleh semua pihak jika mahukan Malaysia benar-benar bergelar negara maju, makmur dan rakyatnya sejahtera pada setiap masa.

By: Rohami Shafie.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik