Tuesday, July 9, 2013

POLITIK PAS SUDAH BERUBAH.

pas-logo100xxxApabila PMIP (Pan Malayan Islamic Party) yang kemudian dikenali sebagai Pas gagal mempengaruhi orang Melayu pada pilihan raya 1955 apabila menang hanya satu daripada 52 kerusi, kepimpinannya beralih daripada memperjuangkan nasib orang Melayu di Malaysia kepada perjuangan semata-mata untuk kepentingan parti dan pemimpinnya.

Bagi menjayakan perjuangan ini, PMIP menyemai kebencian yang mendalam terhadap UMNO dengan mendakwa orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC, dua parti bukan Islam.

Ketika itu ramai yang tidak fikir orang Melayu akan terima pengkafiran oleh kepimpinan sebuah parti politik walaupun mengguna Islam sebagai nama parti mereka. Pegangan orang Melayu kepada agama Islam amatlah kuat. Memang ada antara mereka yang cuai dalam amalan ibadat tertentu, tetapi mereka tetap percaya dan berpegang kepada agama mereka. Islam adalah agama mereka dan tidak ada agama lain yang diterima oleh mereka. Sesiapa yang berkata mereka tidak Islam, kafir, akan dikecam dan dibantah oleh mereka.

Di zaman penjajah, orang Islam di negara lain ada yang meninggalkan agama mereka. Tetapi tidak di Malaysia. Orang Melayu tidak sama sekali tinggalkan agama Islam walau mubaligh Kristian cuba mengembangkan agama mereka.

Di waktu perjuangan melawan Malayan Union juga tidak ada seorang pun orang Melayu yang diketahui tidak lagi beragama Islam. Semua yang menyertai perjuangan ini sedar dan terima bahawa semua mereka beragama Islam. Tidak ada tuduhan oleh sesiapa bahawa ada antara mereka yang bukan Islam.

Demikianlah kuatnya pegangan orang Melayu kepada Islam hinggakan raja dan rakyat berkeras supaya takrif orang Melayu termasuk orang yang beragama Islam. Jika tidak beragama Islam, orang itu tidak diterima sebagai orang Melayu dalam undang-undang dan perlembagaan negeri-negeri dan Persekutuan Tanah Melayu.

Sesungguhnya hanya orang Melayu sahaja dalam dunia Islam, bahkan dalam dunia amnya yang takrif bangsanya disyaratkan dengan anutan agama Islam. Kemudian barulah Maldives membuat syarat yang sama.

Sebelum merdeka, orang Melayu terbahagi tiga mengikut aliran persekolahan. Majoriti terbesar belajar di sekolah Melayu. Sebahagian kecil bersekolah di sekolah Inggeris. Sebahagian lagi menuntut di sekolah pondok yang sebilangannya meneruskan pelajaran agama di Mesir, Arab Saudi dan India. Walaupun tidak fasih berbahasa Arab, cara hidup dan pegangan mereka lebih dipengaruhi oleh tafsiran agama Islam yang diajar di sekolah mereka.

Daripada tiga puak ini, di zaman British, yang memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran ialah yang berpelajaran Inggeris. Jawatan rendah dalam kerajaan dipegang oleh yang bersekolah Melayu. Yang belajar agama sukar dapat pekerjaan selain menjadi guru pondok dan peniaga kecil. Walaupun pemisahan antara mereka tidak mendalam tetapi wujud juga perasaan irihati di antara yang berjawatan lebih tinggi dengan yang kurang bernasib baik.

Namun ketiga-tiga golongan ini sedar akan bahayanya Malayan Union terhadap masa depan orang Melayu dan Islam dan bersatu menentangnya. Pada masa itu, segala perbezaan antara mereka dilupakan sama sekali. Penyatuan mereka menghasilkan UMNO (PEKEMBAR) yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar dan kemudian oleh Tunku Abdul Rahman. Soal siapa lebih Islam dan siapa kurang Islam, siapa kafir siapa tidak, tidak timbul sama sekali. Mereka semua Melayu yang semuanya beragama Islam dan menghadapi bahaya yang sama. Mereka bersatu dan berjaya.

Malangnya apabila Malayan Union digugurkan dan British menghidupkan semula Dewan Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dan Dewan Negeri (State Council) dan UMNO dijemput mencalonkan beberapa ahli yang akan menganggotai dewan-dewan ini, bermulalah perebutan untuk mendapat nikmat hasil perjuangan mereka.

Tunku sebagai Yang Dipertua UMNO berpendapat calon yang layak menganggotai dewan-dewan hendaklah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Ini secara tidak langsung bermakna calon-calonnya ialah aktivis UMNO yang berpelajaran Inggeris dan sebilangan kecil yang bersekolah Melayu. Tunku hanya mencalonkan seorang daripada yang berpelajaran agama walaupun kumpulan ini yang dikenali sebagai ulama UMNO menuntut 10 kerusi.

Kecewa kerana tuntutan mereka tidak dilayan, ulama UMNO ini memutuskan untuk keluar parti dan menubuhkan PMIP. Lagipun ketua mereka Haji Ahmad Fuad kecewa tidak dipilih menggantikan Dato' Onn sebagai Yang Dipertua UMNO. British amat gembira kerana tindakan ulama UMNO memecahkan perpaduan orang Melayu dan boleh melemahkan perjuangan mereka. Dengan segera mereka mendaftarkan PMIP. Mereka percaya apabila orang Melayu menuntut kemerdekaan, mereka tidak lagi akan kuat seperti masa mereka bersatu menentang Malayan Union.

Pada 1955 pilihan raya pertama diadakan. Daripada 98 kerusi untuk Legislative Council, British hanya membenarkan 52 kerusi dipertandingkan. Baki 46 akan dilantik oleh Gabenor. British percaya dengan perpecahan orang Melayu dan kurangnya sokongan bukan Melayu, tak mungkin ada parti atau puak mendapat majoriti, iaitu sebanyak 50 kerusi atau lebih untuk menubuhkan kerajaan. Dengan itu tuntutan kemerdekaan dapat ditolak dengan mudah. Tetapi Tunku membentuk parti campuran dengan MCA dan MIC lalu memenangi 51 daripada 52 kerusi. PIMP memenangi hanya satu kerusi.

Kebencian

Kecewa dengan kekalahan ini, pemimpin Pas beralih menggunakan agama untuk meraih sokongan orang Melayu dan mengurangkan sokongan kepada UMNO. Bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap UMNO, Pas mendakwa orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir, iaitu Cina MCA dan India MIC.

Mempercayai bahawa orang UMNO benar-benar kafir maka ramai orang Pas membenci UMNO dan menolaknya dalam Pilihan Raya 1959 dan seterusnya. Dalam Pilihan Raya 1959, iaitu selepas merdeka, Pas menawan Kelantan dan Terengganu tetapi tidak berjaya mengalahkan UMNO di peringkat Pusat setiap pilihan raya.

Pada 1981, Haji Hadi mengeluarkan amanatnya yang memperkuatkan dakwaan Pas bahawa orang UMNO kafir. Kononnya UMNO kafir kerana mengekalkan undang-undang penjajah. Selepas itu berlakulah sembahyang dua imam, perkahwinan semula ramai orang Pas yang percaya perkahwinan mereka dahulu tidak sah, perkuburan berasingan, penolakan sembelihan orang UMNO dan pelbagai lagi.

Tetapi Pas tidak konsisten. Walaupun Pas mendakwa UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir, apabila Pas bekerjasama dengan DAP yang dipimpin dan disertai oleh orang kafir, perbuatan ini tidak pula menjadikan mereka kafir. Ahli Pas juga tidak menentang kerjasama parti mereka dengan orang kafir.

Berkenaan penggunaan kalimah Allah pun, Nik Aziz, Hadi dan pemimpin lain menerima pendapat orang bukan Islam bahawa kalimah Allah boleh digunakan sebagai nama tuhan Kristian. Tetapi apabila pendirian ini tidak diterima oleh majoriti orang Islam dan Majlis Syura Pas sendiri, mereka menukar pendirian. Sekali lagi pendirian pemimpin Pas tidak konsisten

Apa pun ternampak jelas yang Pas dan pemimpin mereka sanggup buat apa sahaja, mengkafirkan sesama Islam dan membelakangkan ajaran Islam kerana ingin mendapat sokongan bukan Islam dalam pilihan raya. Agama bukan pegangan Pas tetapi hanya alat mendapat tempat di dunia.

Tetapi UMNO tidak dakwa Pas, pemimpin dan ahlinya kafir. Mengkafirkan orang Islam adalah perkara yang amat serius. Ia akan mencetuskan permusuhan sesama Islam. Permusuhan dan perpecahan orang Islam akan menjadikan mereka lemah dan tidak dapat mempertahankan Islam dan orang Islam daripada musuh. Islam menuntut supaya orang Islam bersaudara dan bersedia untuk mempertahankan umat Islam.

Memang ada orang Islam yang murtad. Tetapi mereka murtad kerana syirik, kerana tidak lagi percaya kepada Allah yang satu dan Muhammad ialah Pesuruh-Nya. Tidak ada dalam al-Quran atau mana-mana kitab dakwaan bahawa penggunaan sistem pentadbiran penjajah menjadikan kita kafir atau bekerjasama dengan orang kafir untuk menstabil dan menjayakan negara menjadikan orang Islam kafir.

Teringat saya semasa saya kecil terdapat fatwa bahawa lampu elektrik tidak boleh dipasang dalam masjid dan kereta bermotor tidak boleh diguna untuk membawa jenazah orang Islam kerana kedua-duanya ciptaan orang kafir. Hari ini kita tidak lagi dapat terima fatwa seperti ini. Yang jelas adalah fatwa oleh pemimpin Islam tidak selalunya tepat. Kerana kurang faham akan perkembangan semasa, fatwa yang dibuat boleh jadi salah. Fatwa selepas ijtihad bukanlah wahyu Allah SWT.

Al-Quran menyebut bahawa orang yang mengkafirkan orang Islam lain, jika orang itu tidak kafir, maka orang yang menuduh itu akan jadi kafir. Oleh itu janganlah ada sesiapa yang dengan mudah mengkafirkan sesiapa: mengkafirkan tiga juta orang UMNO, memurtadkan mereka tanpa usul periksa, tanpa mengadakan ijtihad oleh orang yang tidak berkepentingan. Ingatlah apabila menghukum, Islam menyuruh kita hukum dengan adil. Adilkah apabila seorang yang berkepentingan dengan tiba-tiba memurtadkan tiga juta orang Islam kerana ingin menang pilihan raya semata-mata.

Saya sedar bahawa tulisan saya ini tidak akan dibaca oleh orang Pas. Mereka taksub dengan ajaran pemimpin mereka lebih daripada ajaran al-Quran itu sendiri. Mereka telah membuat baiah kepada pemimpin mereka. Mereka akan mendakwa saya tidak layak bercakap berkenaan agama. Bagi mereka bukan kebenaran yang dianggap penting, yang diutamakan ialah siapa yang membuat dakwaan tersebut. Jika ia datang daripada "orang mereka" atau orang yang menyokong mereka, yang jelas tidak betul pun mereka akan terima. Jika ia datang daripada orang yang dimusuhi mereka, yang benar pun akan ditolak. Demikianlah sifat assabiah yang ada pada mereka.

Sebenarnya ramai yang berpelajaran agama, yang boleh berbahasa Arab, juga membuat kesalahan, tidak menepati ajaran Islam dan berdosa besar pun. Hanya kerana berpelajaran agama tidak menjamin segala yang dilakukan atau "fatwa" yang dibuat oleh mereka tetap betul dan bebas daripada dosa. Ramai yang terlibat dengan jenayah. Allah memberi kepada manusia akal fikiran. Mematuhi pemimpin secara buta tuli bermakna menolak nikmat berfikir yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

Lagipun al-Quran mengajar kita supaya jangan menghina dan memburukkan orang lain kerana orang itu mungkin lebih baik daripada orang yang menghinanya.

Apapun hanya Allah yang boleh menentukan baik buruknya seseorang Islam. Janganlah sesiapa cuba mengambil alih kuasa Allah dengan mengkafirkan orang Islam hanya kerana tidak bersetuju dengan pendirian mereka.

Malaysia terima konsep kerajaan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Untuk menjayakan konsep ini rakyat boleh menubuhkan parti politik. Parti-parti politik perlu menawarkan dasar, pendekatan dan matlamat masing-masing untuk mendapat sokongan pengundi. Namun demikian tawaran ini hendaklah mengambil kira faktor-faktor seperti budaya dan cara hidup tempatan, agama dan perasaan. Janganlah sesiapa keterlaluan sehingga tercemar agama suci kita.-3/3/2013

By: Dr Mahathir Mohamed.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik