Wednesday, July 3, 2013

POLITIK SELESA IMPIAN SEMUA.

Saya mempercayai politik selesa sepenuhnya. Keselesaan ialah sesuatu yang mudah difahami, kerana itu  ialah impian hampir semua orang. Jumlah orang yang anti keselesaan adalah kecil, tetapi seorang dua berpengaruh dan keras hati.

Bagi mereka, pilihan raya tidak sebagus  perarakan di jalan raya. Antara lain mereka mengemukakan kejayaan rakyat Mesir menjatuhkan Hosni Mubarak, dan menaikkan Muhammad Morsi. Mereka tidak mengambil kira kata-kata Ustaz Sulaiman Idrus, “Kalau kau memberontak menjatuhkan orang, esok-esok orang memberontak melawan kau.”   Ustaz Sulaiman berkata demikian ketika mengulas demonstrasi anti Morsi.

Kata-kata ustaz Sulaiman juga merupakan jawapan pada pertanyaan Hishamuddin Rais: “Bagaimana pula dengan gerakan anak muda di jalan raya yang menggulingkan Hosni Mubarak?” (Suara Keadilan, 25 Jun 2013). Peristiwa itu merupakan peringatan agar kita jangan terturut-turut dengan gaya tidak selesa, kecuali kita mengimpikan deretan ketidakselesaan.

Ternyata keselesaan dapat dicari, jika mahu. Brian Tracy memberikan cadangan, jika kita penyokong parti, berkawan akrab dengan penyokong parti yang berlawanan, hindarilah perbahasan tentang idealisme parti masing-masing. Cadangan itu dapat diaplikasi di semua tempat. Brian Tracy ialah pengarang Barat, tetapi cadangannya itu sesuai untuk Malaysia yang ada Umno, Pas, MCA, PKR, MIC, DAP dan lain-lain. Walaupun tujuh hari tujuh malam penyokong Umno berusaha menyakinkan penyokong Pas bahawa Umno cukup baik, penyokong Pas tidak akan berubah. Penyokong Pas pun akan menghadapi kegagalan untuk mengubah sokongan kawannya terhadap Umno.

Kita boleh mengikut nasihat Brian Tracy, di samping itu boleh juga mengikut nasihat John Wesley (1770) dan Josiah Wedgwood (1785) yang mengemukakan frasa-frasa ‘agree to disagree’ dan ‘agree to differ’. Menurut mereka, dua orang masih boleh mengekalkan hubungan baik jika mereka bersedia ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ atau ‘bersetuju untuk berbeza’.  

Perhatikan, Brian Tracy menasihatkan orang parti A tidak bercakap politik dengan orang parti B. Wesley dan Wedgwood pula mengatakan tidak mengapa berbeza pegangan politik, asalkan bersikap sporting. Berbahaslah, dan teruskan sikap tidak bersetuju itu, tetapi kenalah bersetuju untuk minum teh tarik bersama-sama. Demikianlah amalan politik selesa. Pada hari angkat sumpah, Anwar dan Najib pun berbual-bual selesa, mungkin mereka memilih tajuk ‘Jerebu’.

Dalam pandangan orang politik selesa, kesemua parti politik  memiliki perlembagaan yang bagus. Jika terdapat tokoh parti yang pembelot dan pembolot, itu bukan salah parti. Parti politik hendaklah dibandingkan dengan nasi lemak, nasi goreng, roti canai, dan lain-lain, yang boleh dipilih oleh sesiapa. Jika kawan kita ingin makan roti canai, kita pula  menyukai nasi lemak, tidak perlulah kita  bertegang leher mengatakan hanya nasi lemaklah bagus.

Selepas pilihan raya ke-13,  timbul isu jumlah Ahli Parlimen yang dipertentangkan dengan jumlah undi keseluruhan, undi popular. Untuk selesa, fahamilah syarat kemenangan. Itu saja.

Kata Otto von Bismarck, politics is the art of the possible. Katanya lagi, politics is not an exact science. Ini mengingatkan kita pada  pilihan raya ke-12,  apabila seorang pengambil gambar telah menang kerana dia tiba-tiba terkenal. Dia cuma mengambil gambar peguam yang bersuara, “Correct, correct, correct.” Kemenangan tersebut menjadi contoh the art of the possible, yang bererti sesiapa yang terkenal pada sesuatu masa, ada kemungkinan untuk menang. Kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh jasa kepada rakyat.

Politik selesa boleh merealisasikan kehendak rakyat. Cita-cita rakyat tidak sama cita-cita tokoh politik. Rakyat menghendaki keselesaan seadanya, tokoh politik hendak naik dan naik lagi. Rakyat mungkin tertipu oleh tokoh politik yang mahu naik, manakala pemimpin politik tidak pernah ditipu oleh rakyat, kerana rakyat rata-ratanya bersikap sederhana.
 
Sebelum pilihan raya, seperti kata Bismarck lagi, ‘people lie so much’.  Maksudnya, orang politik. Selepas keputusan diumumkan, bersesuaian dengan amalan realpolitik, timbullah isu-isu yang telah pun diduga. Pembohongan masih ada,  termasuk tuduhan, tetapi agak terpilih. Saya tidak mengatakan kesemua isu itu tuduhan palsu, tetapi saya bermaksud mengemukakan idea tentang  hasrat orang politik yang menyala-nyala untuk mencapai maksud.

By: Rahman Shaari. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik