Monday, July 8, 2013

SAYA TIDAK AKAN BERUNDUR : SATU WAWANCARA DENGAN PENGERUSI SPR, TS A. AZIZ.

Bagaimana Tan Sri melihat isu persempadanan semula yang dijangka dilakukan pada hujung tahun ini?

ABDUL AZIZ: Melalui laporan media, SPR mendapati parti politik tertentu telah menuding jari kepada kita kononnya persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang akan dilakukan ini adalah untuk kepentingan parti tertentu.

Mereka juga dikatakan akan menggesa Perdana Menteri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji persempadanan semula kerusi yang lebih adil.

Cadangan itu akan dikemukakan dalam sesi Dewan Rakyat. Menurut mereka dengan adanya PSC, akan membolehkan perbincangan mengenai perkara itu dilakukan dengan lebih adil dan saksama.

Parti-parti ini juga akan menggunakan pertambahan anggota mereka di Parlimen untuk membolehkan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil.

Dalam perhimpunan yang mereka adakan, mereka menyeru rakyat dan penyokong mereka memberi tekanan kepada SPR untuk menghalang percubaan mengubah sempadan bagi memenangkan BN.

Persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya adalah suatu tugas yang perlu dilaksanakan oleh SPR mengikut Fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Persempadanan yang dijalankan kali ini merupakan kali yang keenam sejak tahun 1958 bagi negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Kajian terakhir persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dilakukan SPR bagi Sarawak ialah pada 2005 dan diluluskan oleh Parlimen pada 4 April 2005. Kajian tersebut mewujudkan pertambahan tiga kerusi bagi Dewan Rakyat dan sembilan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penambahan kerusi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan diwartakan dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2005. Urusan Persempadanan Semula bahagian Pilihan Raya yang dijalankan itu adalah selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya SPR menjalankan Urusan Kajian Semula Persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya setiap tempoh tidak kurang dari lapan tahun.

Ekoran daripada Kajian Semula Persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya itu, jumlah kerusi Dewan Rakyat bertambah daripada 219 kepada 222 dan kerusi DUN bertambah daripada 567 kepada 576.

Dalam urusan ulang kaji persempadanan pada kali ini Sarawak akan terlibat sekali kerana lat tempoh lapan tahun mengikut Fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan bagi negeri itu telah tiba pada 10 Jun 2013 ini.

Oleh yang demikian bilangan bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat di dalam kajian kali ini berjumlah 222 bagi bahagian-bahagian pilihan raya Dewan Rakyat dan 576 bagi bahagian-bahagian pilihan raya DUN.

Mengikut Fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan, SPR boleh memulakan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya sebaik sahaja ia mencapai tempoh lapan tahun selepas persempadanan terakhir.

Persempadanan terakhir yang telah dilakukan oleh SPR bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah ialah pada 21 Mac 2003, dan oleh itu pada 21 Mac 2011 lepas genaplah tempoh lapan tahun yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

Walau bagaimanapun SPR tidak memulakan urusan persempadanan pada tarikh tersebut kerana membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Ini kerana jika SPR melaksanakan persempadanan semula pada tempoh itu dan tiba-tiba Dewan Rakyat dibubarkan, maka ia akan menyukarkan SPR untuk melaksanakan perkara itu.

Jika SPR telah menetapkan tarikh untuk memulakan secara rasmi urusan persempadanan itu, maka ia perlu diselesaikan dalam tempoh 2 tahun. Bagi urusan persempadanan semula kali ini, SPR akan menetapkan tarikhnya nanti.

Ini bermakna SPR perlu melaksanakan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya kerana tempoh lapan tahun bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu telah pun mencukupi. SPR juga pada kali ini bercadang untuk mengadakan urusan persempadanan ini bersekali dengan Sarawak kerana lat tempoh lapan tahun untuk negeri itu telah tiba pada 10 Jun 2013 ini.

Belum apa-apa lagi pembangkang mendakwa proses ini tidak menyebelahi mereka dan bertujuan untuk mengurangkan majoriti undi pembangkang? Bagaimana Tan Sri melihat bantahan yang dilakukan oleh pembangkang ini?

Persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya ini dibuat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan dan semasa proses itu berjalan, ia juga akan melibatkan semua pihak seperti Ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi-pengundi di bahagian pilihan raya berkenaan.

Prosesnya dilakukan secara terbuka dan telus dan tidak dibuat secara tersembunyi oleh SPR dan kemudian diluluskan secara senyap-senyap oleh SPR.

Proses pameran cadangan bahagian-bahagian pilihan raya setiap kali 30 hari untuk semakan orang ramai akan dilakukan dan mereka boleh memberi komen atau maklum balas kepada SPR.

Selain itu, laporan berkenaan juga akan dibentangkan di Dewan Rakyat, ahli Dewan boleh membahaskan perkara itu. Tidak timbul soal berpihak kepada satu parti kerana semua pihak diberi peluang dan bukan hanya kepada pihak tertentu.

Bagi mengelakkan SPR dituduh berat sebelah, kami sentiasa berusaha melibatkan orang ramai untuk membantu menjalankan kajian persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya pada kali ini.

Proses persempadanan semula dilihat sukar kerana tidak ada pihak yang mendapat majoriti dua pertiga. Bagaimana Tan Sri melihat perkara ini dan apakah ia mungkin menyusahkan SPR?

Memang tidak dinafikan Dewan Rakyat tidak mempunyai jumlah dua pertiga. Dalam keadaan seperti ini ia menyukarkan usaha menambah kerusi Parlimen.

Setiap parti politik perlu memberikan kerjasama tanpa mengira fahaman politik semasa membuat pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan untuk penambahan kerusi Dewan Rakyat.

Jika tambahan kerusi tidak mendapat kelulusan dua pertiga Ahli Dewan, maka bahagian pilihan raya sedia ada akan digunapakai untuk pilihan raya akan datang.

Dalam hal ini, walaupun SPR yang membuat kajian dan mencadangkan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, namun ia mengambil kira pandangan semua pihak semasa dipamerkan untuk proses bantahan awam atau lain-lain agensi yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan dibahaskan di Parlimen sebelum diluluskan.

Pembangkang ada menyatakan akan berterusan memberi tekanan kepada SPR mungkin sehingga pilihan raya akan datang pada lima tahun lagi. Selain itu mereka bersungguh-sungguh mahukan Tan Sri meletakkan jawatan. Apa pandangan Tan Sri dalam hal ini?

SPR adalah sebuah badan bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya. Pelbagai pihak boleh memberi pandangan dan cadangan, namun SPR yang akan memutuskan sesuatu perkara itu.

Selepas PRU-13 pelbagai isu dibangkitkan oleh parti-parti politik tertentu yang kesemuanya tidak berasas. SPR secara berterusan memberikan penerangan dan penjelasan mengenai perkara ini.

Hakikatnya anggota-anggota SPR adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 114 juga, seseorang anggota SPR hanya akan terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 66 tahun atau anggota itu sendiri meletakkan jawatannya.

Oleh yang demikian, adalah jelas peletakan jawatan mana-mana anggota SPR hanya boleh dibuat oleh anggota SPR itu sendiri dengan rela hati tanpa apa-apa gesaan daripada mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun seseorang anggota SPR itu boleh dipecat menurut peruntukan undang-undang. Pemecatan mana-mana anggota SPR hanya boleh dibuat:

(a) melalui suatu perintah oleh Yang di-Pertuan Agong jika anggota itu adalah seorang bankrap, terlibat dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar di luar tugas jawatannya atau apabila mereka menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan Negeri; atau

(b) melalui suatu Tribunal yang ditubuhkan (alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan).

Walau bagaimanapun jika gesaan dari mana-mana parti politik berhubung dengan pemecatan anggota SPR ini mendapat pertimbangan kerajaan maka suatu Tribunal hendaklah ditubuhkan mengikut tatacara yang ditetapkan.

Saya secara peribadi tidak akan tunduk terhadap tekanan mereka ini kerana ternyata mereka hanya mahu mencari kambing hitam untuk dipersalahkan dan jika saya berundur maka mereka akan menuduh pula saya memang bersalah sedangkan ia tidak benar sama sekali.

Tentang isu dakwat kekal pembangkang mengatakan dakwat berkenaan tidak ada kualiti dan sebagainya. Boleh Tan Sri jelaskan tentang perkara ini?

Selaras dengan tuntutan utama yang dibuat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan tertentu, dakwat kekal telah digunakan pada PRU-13.

SPR ingin menegaskan bahawa, penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah hanya sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk mengundi dua kali oleh mana-mana pengundi yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan kepada undang-undang pilihan raya, asas utama untuk menyemak identiti pengundi dan kaedah memastikan pengundi tidak dapat mengundi lebih dari sekali ialah senarai nama di dalam Daftar Pemilih yang diguna pakai di setiap Saluran/Tempat Mengundi pada hari pengundian dan kad pengenalan pengundi.

Jika nama seseorang itu tidak terdapat dalam Daftar Pemilih atau namanya telah dipotong kerana telah mengundi, pengundi itu tidak akan dapat mengundi lebih dari sekali. Ini bermakna pengundian berganda tidak akan berlaku dalam proses pengundian di negara ini.

Setakat ini PDRM telah menerima sebanyak, 1,469 laporan polis berhubung isu dakwat kekal namun tidak ada bukti yang menunjukkan ada pengundi yang telah mengundi dua kali kerana dakwat kekal yang dicalit telah dapat dipadamkan.

Isu dakwat kekal juga tidak menjejaskan keputusan pilihan raya baik di peringkat Parlimen mahupun DUN setakat ini.

Berdasarkan mesyuarat SPR pada 21 Mei 2013 lalu kami telah memutuskan untuk menubuhkan satu Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU-13 untuk meneliti hal-hal yang berkaitan dengan dakwat kekal itu.

Di antaranya berkaitan aspek ramuan, syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal, kaedah calitan dakwat kekal di jari dan hasil ujian-ujian yang telah dibuat sebelum dihantar ke Malaysia dan selepas dakwat itu sampai di Malaysia.

Adalah menjadi harapan SPR dengan penubuhan pasukan khas ini, ia akan dapat membantu SPR mengenalpasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari setelah dicalit. Pasukan khas itu akan menyiapkan penyiasatannya dalam tempoh satu bulan.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik