Tuesday, July 9, 2013

STRATEGI POLITIK KAUM CINA.

dapaDi Malaysia, peranan yang dimainkan oleh akhbar dan majalah berbahasa Cina untuk menyebar pengaruh seperti bahasa, budaya dan kepentingan-kepentingan kaum mereka, ekonomi dan khususnya politik tidak boleh dinafikan sama sekali.

Selaras dengan kaum mereka yang bilangannya sedang meningkat, di samping kepentingan ekonomi dan suara politik mereka yang semakin nyaring, kaum Cina terus merancang dan mengeksploit saluran-saluran kuasa dan instrumen demokrasi untuk memantap dan memperkukuhkan apa yang telah mereka kumpulkan untuk kaum mereka selama ini.

Bermula dengan kerakyatan pada 1948 dan 1957 yang hakikatnya dipermudahkan oleh UMNO dan Raja-Raja Melayu sendiri, orang Cina terus mengorak selangkah demi selangkah untuk menapak pada mulanya dalam ekonomi Tanah Melayu/Malaysia sehingga bilangan penduduk mereka telah menjana 29 peratus. Kini sasaran agenda baru mereka tertumpu besar dalam politik.

Sebenarnya cerdik pandai Cina pada 1940-an dan 1950-an sedar sistem demokrasi yang diasaskan oleh pemimpin-pemimpin Melayu di negara ini pada tahun-tahun tersebut akhirnya menjadi satu platform yang ideal untuk kaum mereka berkembang secara penyertaan aktif dalam politik.

Pada hakikatnya pertubuhan-pertubuhan politik Cina sudah lama berakar-umbi di Tanah Melayu. Kongsi-kongsi gelap memain peranan penting dalam melahirkan pemimpin-pemimpin Cina yang pada mulanya sober dan konservatif dan bekerjasama rapat dengan British.

MCA yang ditubuhkan pada 1949 kemudian menumpu sasaran kepada isu kerakyatan. Mereka sedar bahawa parti mereka bukan hanya satu-satunya pelobi, malah pemimpin Cina seperti Tun Tan Cheng Lock disokong kuat oleh pentadbir-pentadbir British tertentu.

Walaupun telah ada Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kuomintang (KMT) sebelum ini, namun parti-parti politik ini meninggalkan kesan legasi atau warisan China dan Taiwan yang akhirnya ditolak oleh orang Cina konservatif sendiri yang berikrar untuk mengkiblatkan Malaya sebagai tanah tumpah darah mereka, sementelah PKM merupakan sebuah parti berteraskan ideologi komunis yang berpaksikan kekerasan dan kezaliman.

Untuk berfungsi secara demokratik dalam sebuah negeri Melayu yang konservatif yang berasaskan pentadbiran British, pada mulanya orang Cina berpuas hati menggunakan saluran MCA untuk mencapai matlamat mereka yang lebih besar.

Namun, selepas mendapat kerakyatan dan kemudian kuasa ekonomi yang dominan, orang Cina menganggap apa yang diberi oleh orang Melayu tidak mencukupi. Seperti orang Cina di negara-negara lain yang bilangannya dominan seperti di Singapura, hakikatnya mereka ingin menentukan destini mereka sendiri.

Pokoknya mereka menolak orang Melayu menguasai mereka, menentang DEB, Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Penguasaan mereka terhadap ekonomi secara amat dominan di Malaysia, adalah pendorong utama yang menggerakkan gerabak politik orang Cina untuk menguasai negara ini.

Walaupun bilangan mereka kurang daripada 30 peratus, namun sokongan padu daripada PKR dan Pas menawarkan peluang keemasan kepada kaum mereka dalam PRU-13.

Mereka pernah memulakan percubaan nekad untuk merebut kuasa daripada orang Melayu pada tahun 1969. Di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang beberapa kali sebelum itu didesak memberi konsesi dan kelonggaran, termasuk memberi kerusi pilihan raya yang lebih kepada kaum mereka.

Mereka sedar menerusi kerusi-kerusi pilihan raya inilah perjuangan politik kaum mereka dapat direalisasikan. Masalah yang serupa dialami oleh tiga orang Perdana Menteri selepas Tunku yang didesak supaya kaum Cina diberi universiti dan memerdekakan bahasa Cina.

Dalam 1960-an, akibat taktik politik yang disemai dan dimainkan Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura, sekumpulan orang Cina di Malaysia keluar dari arus perdana politik orang Cina MCA untuk menubuhkan Democratic Action Party (DAP) yang serta-merta mewarisi perjuangan ideologi politik sama rata Kuan Yew.

Mereka juga sedar kekuatan mereka bergantung di bandar-bandar. Oleh itu menggunakan propaganda Malaysian Malaysia untuk mengadu-dombakan doktrin kesamarataan equality dalam masyarakat walaupun Malaysia dibina atas asas sejarah pribumi dan sistem politik serta komposisi kaum yang berbeza dengan Singapura.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan panjang lebar hujah-hujah Kuan Yew dalam buku beliau yang masyhur, Dilema Melayu dan baru-baru ini dalam buku terbarunya The Doctor in the House.

Slogan kaum Cina ini berjaya memenangi dan menarik minat dan sentimen orang Cina. Pada pilihan raya 2008, atas propaganda yang sama dan dengan kerjasama PKR dan DAP, mereka berjaya menawan Pulau Pinang dan buat sementara waktu, negeri Perak.

Dengan modus operandi yang sama, mereka bergabung dengan PKR dan Pas untuk memerintah Selangor. DAP juga memenangi kawasan-kawasan pilihan raya Wilayah Persekutuan. Kecuali Perak, dalam PRU-13 mereka mengulangi kemenangan di Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu di mana bilangan orang Cina dominan.

Pada umumnya undi orang Melayu daripada Pas berpindah kepada BN. Sungguhpun parti itu kembali menguasai Kelantan dan hampir merampas Terengganu, pengaruhnya di Kelantan semakin merosot. Pada PRU-13 Pas mengorbankan Kedah kepada BN yang dimenanginya sejak PRU-12.

Orang Cina sedar mereka tidak akan berjaya menguasai negara ini dalam jangka masa yang singkat, khususnya tanpa sokongan parti-parti pembangkang Melayu lain, seperti Pas dan PKR.

Malah, mengikut pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, sebelum PRU-13, partinya berpuas hati sekiranya memperoleh 100 buah kerusi daripada jumlah 222 kerusi Parlimen. Dengan kedudukan ini, beliau berharap akan berlaku kucar-kacir dalam UMNO dan Barisan Nasional yang menjurus ke arah perubahan dalam komposisi kerusi di Parlimen. (The Star, Mac, 2012)

Dalam konteks ini, DAP membuat perhitungan bahawa mereka akan meraih kuasa melalui dua cara: Pertama, dalam jangka pendek parti itu berharap kuasa akan jatuh ke tangan mereka setelah berlaku huru-hara atau kucar-kacir di Parlimen yang menyebabkan Ahli-ahli Parlimen BN ataupun parti-parti lain melompat ke rakit DAP.

Kedua, dalam jangka panjang mereka berharap akan berlaku perubahan besar dalam demografi penduduk akibat kealpaan pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti pemerintah yang terus memperhebatkan pembangunan bandar dan luar bandar yang sekali gus menggalakkan penjanaan dan peningkatan serta perpindahan penduduk Cina ke kawasan-kawasan berkenaan.

Orang Cina tidak ada cara lain untuk merebut kuasa daripada orang Melayu kecuali menerusi sistem demokrasi berparlimen yang disedia dan di susun-atur sendiri oleh pemimpin-pemimpin Melayu sejak Perang Dunia Kedua.

Mereka berharap akan terbuka peluang untuk memerintah setelah pintu demokrasi dibuka kepada mereka untuk merebut peluang tersebut, sama ada menerusi perubahan demografi, peluang yang dibuka melalui kelemahan dalam sistem demokrasi ataupun menerusi pakatan dengan parti-parti pembangkang Melayu dan bukan Melayu.

Strategi licik orang Cina inilah yang dibimbangi ramai pemimpin Melayu kerana pada suatu masa kelak kealpaan dan tolak ansur mereka akhirnya mempercepatkan kehilangan kuasa Melayu.-6/7/2013

PENULIS ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia.

By: Dr Alias Mohamed.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik