Wednesday, July 10, 2013

TRAGEDI 13 MEI : LAPORAN MAGERAN.




PENGANTAR

Hari 13 Mei 1969 akan tercatit di dalam sejarah kita sebagai hari tragedi nasional. Pada hari itu asas perdirian Negara kita telah menerima paluan yang sehebat-hebatnya pernah dialami dengan meletusnya rusuhan antara kaum. Mujur lah Kerajaan telah mengambil tindakan yang segera dan tegas, dibantu dengan setianya oleh pihak Tentera dan Polis, maka dapatlah pihak berkuasa mengawal keadaan secepat-cepatnya. Kalau bukan kerana langkah-langkah pencegahan yang telah dilaksanakan dengan segera itu maka sudah tentulah seluruh negeri ini tercebur di dalam malapetaka yang besar.

Ada juga diantara kita yang memandang bahawa tragedi ini dalam ertinya bagi dirinya sendiri. Akan tetapi kepentingan peristiwa 13 Mei janganlah hendaknya dirasakan oleh beberapa orang sahaja, bahkan setiap orang dari kita hendaklah menaruh insaf akan peristiwa ini. Pada hari itu kita disedarkan sehebat-hebatnya bahawa masalah perkauman di dalam negeri ini adalah suatu masalah yang amat berat dan segala langkah-langkah yang telah kita ambil di masa lampau sudah nyata tidak mencukupi.


Pergeseran antara kaum memang ada, tetapi kita terus menjalankan tugas masing-masing dengan harapan semoga bahang yang terpasang itu tidak akan meletus. Sejak Merdeka, cara kita hidup di negeri ini memang berdasarkan fahaman demokrasi dengan segala kebaikan yang ada padanya, dan juga berdasarkan sejarah yang membawa kepada perasaan rakyat pada hari itu, ia menyatakan apa yang berlaku pada hari yang mengandungi tragedi itu dan peranan Angkatan Tentera dan Polis dalam meredakan rusuhan dan membawa negeri ini kembali kepada suasana yang dapat dikawali secara tegas oleh Kerajaan, dan akhirnya ia menunjukkan jalan kearah mana Negara kita harus bergerak.

Pengajaran yang kita dapat dari kekacauan itu sudah nyata. Negara ini tidak sanggup mengekalkan suatu sistem yang membiarkan sebarang orang bertutur atau bertindak yang mungkin melagakan satu kaum dengan kaum yang lain. Kalau peristiwa 13 Mei ini hendak dielakkan daripada berlaku lagi, kalau Negara ini hendak selamat, mestilah kita pastikan supaya hal-hal yang mungkin menimbulkan ketegangan kaum tidak dipergunakan oleh golongan-golongan oppurtunis yang tidak bertanggungjawab. Kita hanya dapat menjamin hal ini dengan syarat supaya hal-hal ini tidak dapat digunakan oleh penghasut-penghasut perkauman antara kamunis dan sabversif-sabversif yang lain. Oleh itu, perlulah kita menyusun suatu peraturan politik yang realistik dan yang mempertimbangkan  sedalam-dalamnya akan segala keadaan masyarakat dan ekonomi rakyat kita dan yang berdasarkan pada suatu asas yang utuh dan bijaksana.

Laporan ini telah dibuat dengan penuh kesedaran bahawa perkara-perkara yang penting tidak boleh lagi “ disapu kebawah tikar” dan bahawa kenyataan-kenyataan 13 Mei mestilah disebarkan dengan luas kepada orang ramai. Dan lagi laporan ini telah ditulis dengan kesedaran bahawa matlamat kita kepada perpaduan kaum mestilah dihadapi dengan warasnya dan jalan-jalan lain yang terbuka dihadapan kita mestilah kita hadapi dengan tabah dan penuh tanggungjawab. Haluan negara kita mestilah kita rencanakan dengan usaha-usaha yang bersatu dari semua golongan rakyat Malaysia yang taat setia, dengan usaha-usaha yang tabah dan penuh kepercayaan.

Adalah menjadi tujuan Kerajaan, selapas pencetakan laporan ini, untuk menjemput semua wakil-wakildari semua golongan di negara ini, wakil-wakil dari golongan politik,agama, ekonomi dan lain-lain untuk memberikan sumbangan dalam satu Badan Perundingan (Consultive Council) dimana perkara-perkara yang melibatkan perpaduan negara kita boleh dibincangkan dengan sepenuhnya dan dengan ikhlas dan tidak secara selindung-menyelindungi. Dengan cara ini adalah diharapkan bahawa kita akan mencapai satu persefahaman diatas soal-soal Kebangsaan yang boleh menjamin keamanan, ketenteraman dan perpaduan negara kita pada masa hadapan dan bahawa tragedi 13 Mei tidak akan berlaku lagi.

Saya harap agar semua warganegara Malaysia akan memberi pemikiran yang mendalam terhadap matlamat ini supaya negara Malaysia akan terus menerus maju di dalam keadaan yang aman dan tenteram.
      

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik