Sunday, July 7, 2013

TUKAR ISTILAH : KESAMARATAAN JANTINA.

PERNAH bermain Scrabble? Kalau anda rajin menjengah sudut alat permainan yang dijual di pasar raya utama, permainan papan (board game) ini ada di situ. Berwarna hijau. Perkataan SCRABBLE besar terpampang. Tak pernah dengar? Tak apa.

Permainan Scrabble secara ringkasnya adalah permainan membina perkataan berdasarkan tujuh huruf yang disediakan kepada pemain (antara dua hingga empat orang). Markah bergantung pada mata pada huruf, di samping gandaan mata pada papan.

Permainan Scrabble ini asalnya berbahasa Inggeris tetapi terdapat juga versi bahasa Melayu. Kemahiran yang perlu pada pemain ialah memiliki perbendaharaan perkataan Inggeris dan strategi bagi mendapatkan gandaan markah pada papan.

Memang permainan ini tidak dramatik seperti Monopoly yang membolehkan anda memegang duit, membeli, menjual dan mendenda pemain lain. Tetapi sekiranya anda sudah arif dan bertemu pula regu yang sama-sama sukakan Scrabble, permainan ini akan menjadi sama asyiknya.

Ini kerana pemain boleh mempertikaikan sesuatu perkataan dan mempertaruhkan mata jika tidak ada di dalam kamus. Malah terdapat pertandingan Scrabble dianjurkan di peringkat kebangsaan. Saya pernah memasuki kejohanan seumpamanya. Sekali sahaja. Untuk pengalaman. Sama seperti permainan catur, pemain Scrabble diberi tempoh beberapa saat untuk membina perkataan dan jika terlajak, mata dipotong.

Secara ringkasnya, Scrabble juga menjadi medium yang bagus untuk mempelajari dan menghafal perkataan-perkataan Inggeris, selain dapat meluangkan masa dengan ahli keluarga atau sahabat rapat.

Mungkin ada yang beranggapan Scrabble ini adalah permainan untuk golongan ulat buku atau nerd. Tidak benar. Memiliki perbendaharaan kata Inggeris memberi kelebihan bukan sahaja kepada budak aliran sastera tetapi juga budak aliran sains. Pemain Scrabble bukan nerd tapi artful dodger.

Kecintaan kepada bahasa ini jugalah yang menyebabkan satu berita dari Amerika Syarikat menjadi perhatian. Minggu ini negeri Washington menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang menukar perkataan yang berbaur jantina dalam ayat-ayat perundangannya.

Menurut laporan, perkataan seperti fisherman dan freshman misalnya, masing-masing ditukar menjadi fisher dan first-year-student. Man yang bererti lelaki dianggap perkataan yang tidak menepati kehendak kesamarataan jantina dan suatu bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Mengikut sejarahnya, penggubal undang-undang di negeri itu telah meluluskannya pada tahun 2007 bertujuan menghapuskan elemen berat sebelah jantina dalam semua butiran ayat atau perkataan dalam undang-undang Washington, meskipun mandat negeri pada 1983 menggariskan bahawa semua perundangan hendaklah ditulis dalam terma neutral jantina melainkan pengkhususan jantina dimaksudkan.

Malahan, undang-undang baharu ini akan menukar banyak perkataan yang sudah diguna pada zaman di mana wanita belum berkecimpung lagi dalam pasukan polis atau ketika era wanita akan dianggap sangat luar biasa bekerja sebagai nelayan.

Langkah-langkah tersebut yang diluluskan pada April lalu, memberi mandat untuk menukar rujukan his menjadi his or her. Kata nama lain seperti clergyman hendaklah ditukar menjadi clergy, penmanship kepada handwriting dan signalman menjadi signal operator.

Tiada alasan bagus untuk mengekalkan terma perundangan kita yang bersifat anarki dan perkataan yang tidak menghormati situasi kontemporari kita. Mankind bermaksud lelaki dan wanita," kata Senator dari Seattle, Jeanne Kohl-Welles (Demokrat) yang menaja rang undang-undang setebal 475 muka itu.

Bantahan

Kerajaan negeri berkemungkinan besar tidak akan menukar perkataan airmen dan seaman, sebagai contoh, berikutan bantahan daripada Jabatan Ketenteraan Washington.

Istilah kejuruteraan awam seperti man hole dan man lock juga tidak akan ditukar kerana tiada istilah ganti yang secocok boleh dihasilkan. Meskipun begitu, istilah tersebut tidak terkecuali daripada cadangan gantian istilah iaitu utility hole dan air lock. Namun, penggubal undang-undang memahami penukaran kepada istilah teknikal hanya mengundang kekeliruan dalam masyarakat.

Hampir 3,500 kod seksyen kerajaan Washington, daripada sejumlah 40,000 telah diteliti bagi mengesan istilah yang mengandungi elemen berat sebelah jantina, walaupun kebanyakannya membabitkan penambahan kata ganti nama she dan her kepada perkataan sedia ada he dan his.

Rang undang-undang diluluskan dengan undi 70 menyokong mengatasi 22 membantah dalam dewan yang dikuasai Demokrat pada 9 April setelah disahkan oleh Gabenor Jay Inslee, berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Memetik laporan Fox News yang mewawancara pakar bahasa dan komunikasi, Prof. Crispin Thurlow dari University of Washington-Bothell, beliau memuji langkah kerajaan negeri tersebut.

Menukar istilah boleh merubah cara kita berfikir mengenai dunia di sekeliling kita. Detik kecil ini terakru dan menjadi pergerakan besar," ujarnya.

Kerajaan Washington bukan yang pertama menukar istilah yang dianggap berat sebelah jantina, sebaliknya merupakan yang keempat selepas Florida, North Carolina dan Illinois.

Negeri-negeri lain yang sudah meluluskan perundangan seumpamanya ialah California, Hawaii, Maryland, New York, Rhode Island, Vermont dan Utah. Sekurang-kurangnya sembilan lagi negeri di Amerika Syarikat yang sedang mempertimbangkan langkah serupa.

Perancis baru-baru ini, secara rasmi menghapuskan istilah mademoiselle daripada dokumen-dokumen rasmi kerajaan. Istilah Gallic bermakna cik tersebut dianggap oleh kerajaan Perancis sebagai tindakan memaksa wanita mengisytiharkan status perkahwinan mereka. Maklumat ini dianggap melanggar hak asasi manusia untuk berahsia.

Mujurlah bahasa Melayu tidak bersifat pasangan (he or she). Maka persoalan untuk mengikuti langkah Amerika Syarikat dalam soal kesamarataan jantina, rasanya tidak mencengkam. Dalam kebanyakan hal, bila berlaku pertikaian pemahaman undang-undang, kedua-dua teks bahasa Melayu dan Inggeris dirujuk. Ini uniknya Malaysia.

Dan dalam mengutarakan isu kesamarataan jantina, tidak menjadikan saya seorang berfahaman liberal. Gagasan yang dimajukan oleh Barat ini adalah supaya martabat dan peranan wanita diperakui seterusnya dihormati. Tentulah dalam konteks Islam, kesamarataan jantina haruslah seiring dengan adap kesusilaan syariah yang digariskan kepada kaum wanita.

Sesungguhnya saya tidak berkenan kaum wanita ditugaskan di barisan depan medan perang tetapi mengagumi wanita yang berani berlumba kereta atau sampai ke puncak Gunung Everest.

Ketiadaan elemen pasangan juga menyebabkan bahasa Melayu sangat mudah dipelajari oleh bangsa lain. Tidak percaya? Tanya pekerja Bangladesh di stesen minyak.

Keburukan daripada sifat bahasa Melayu ini pula menyebabkan tugas kita sedikit berat semasa mempelajari bahasa utama dunia lain yang memiliki pasangan seperti Inggeris dan Arab.

Tetapi tidak mengapa. Banyak medium dan platform untuk kita belajar bahasa Inggeris sama ada secara formal seperti mengikuti tuisyen khusus bahasa Inggeris atau tidak formal, seperti memulakan di peringkat awal dengan memperkenalkan permainan Scrabble kepada anak-anak.

By: Johardy Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik