Friday, July 5, 2013

WAJAH BARU PERANGI RASUAH.

SUSULAN sesi dialog bersama ketua editor di ibu negara pertengahan bulan lalu anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pengarang Berita Publishing, Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya antara lain berkata, "undang-undang pencegahan rasuah boleh dipinda dan diperkukuhkan, tetapi pembasmian rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak akan berjaya selagi aspek moral dan ketelusan tidak dilaksanakan."

Beliau seterusnya menulis, "banyak kes berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa lebih berupa kes moral daripada undang-undang."

Perkara yang ditekankan oleh beliau ini agar menarik untuk dilihat di sebalik cakap-cakap formal dan informal mengenai kejayaan usaha-usaha memerangi rasuah. Ia penting apabila ada pihak yang terus-menerus mempersoalkan keberkesanan pendekatan dan strategi digunakan oleh SPRM.

Apa yang disebutkan oleh beliau dan beberapa pihak lain, termasuk mereka yang tidak berpeluang untuk menurunkan dalam bentuk tulisan, sememangnya ada kebenaran.

Mustahil untuk kita boleh memerangi jenayah rasuah seratus peratus. Pada masa yang sama, nampaknya masih ramai yang kurang yakin dengan usaha pihak berkuasa.

Rasuah bukan masalah baru. Ia wujud sejak turun-temurun dalam pelbagai peringkat dan bentuk. Kita dapat mengawal. Bukannya menghapuskan sama sekali rasuah.

Pun begitu, kita juga menerima hakikat bahawa ia tidak mustahil untuk dilakukan. Jika begitu keadaannya, mengapa kita terus bercakap mengenai isu ini?

Bermakna, kita mahukan gejala rasuah ini diperangi habis-habisan. Bermakna, kita boleh mengurangkan kes rasuah. Bermakna, usaha ini termasuk yang diambil oleh pihak berkuasa termasuk SPRM, ada memperlihatkan kejayaan dan akan terus membawa kejayaan.

Ini realiti! Kita tidak mampu untuk menafikan. Paras kejayaan ini tidak mencapai harapan yang disasarkan oleh rakyat. Tetapi ada peningkatan dan kemajuan.

Di sebalik siri kes yang dibawa ke mahkamah, persoalan yang sering dibangkitkan ialah pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas kes-kes besar. Persoalan mengenai 'kes besar kes jerung' satu isu yang memerlukan pembetulan persepsi.

Kes-kes rasuah kategori 'jerung' tidak hanya membabitkan ahli-ahli politik. Sebenarnya kes-kes besar juga membabitkan ahli-ahli perniagaan dan orang awam. Sejarah telah membuktikan hujah ini.

Di Malaysia, antara isu yang seringkali mendapat perhatian ialah politik, rasuah dan jenayah. Malah ia tidak asing ketika pilihan raya. Sekali lagi terbukti ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 yang baru lalu.

Dalam tempoh dua tiga minggu ini, beberapa kes besar yang menarik perhatian ramai dibawa ke mahkamah. Antara kes yang dimaksudkan ialah tuduhan meminta rasuah sebanyak RM6 juta membabitkan seorang penimbang tara, pemberian projek kepada adik oleh pengarah Jabatan Kerja Raya dan pemalsuan invois oleh pensyarah dan dua ahli perniagaan.

Kejayaan-kejayaan membawa kes-kes besar, yang tidak membabitkan ahli-ahli politik, perlu dilihat dari sudut pencapaian atau hasil program transformasi yang sedang dilaksanakan oleh SPRM.

Laporan tahunan SPRM, sejak dinaikkan taraf pada Januari 2009, menunjukkan organisasi ini membawa kes-kes yang besar. SPRM sebelum era 2009, pernah beroperasi sebagai Biro Siasatan Nasional (BSN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Bagi menghadapi cabaran baru dan kehendak rakyat yang semakin meningkat, kerajaan menaikkan tarafnya sebagai suruhanjaya. Di mana visinya ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agenda pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Persoalan ramai sama ada usaha pencegahan dan memerangi rasuah berjaya atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa perubahan sememangnya sudah mula wujud dan dirasai sepanjang empat dekad yang lalu.

Sesetengah kemajuan yang dicapai tampak jelas dan ketara. Sesetengah kes bersifat sebaliknya. Dalam sesetengah kes, kemajuan mengambil masa untuk dilihat. Sesetengah boleh dirasai dalam waktu singkat.

Perubahan wajah BPR kepada SPRM empat tahun lalu harus dilihat sebagai usaha melangkah ke arah pelaksanaan pendekatan-pendekatan baru dalam memerangi jenayah rasuah.

Susulan perubahan wajah pada Januari 2009, SPRM juga memulakan langkah pelaksanaan transformasi, yang awalnya merangkumi operasi dan disusuli dengan transformasi modal insan. Kini transformasi memasuki fasa baru iaitu aspek pencegahan.

Program transformasi ini diharap akan membawa kepada penambahbaikan dalam pendekatan dan strategi menangani rasuah dengan meningkatkan tahap profesionalisme.

Di akhir tulisan terbaru itu, Kadir juga ada menyebutkan bahawa di peringkat bawahan pula, rasuah telah banyak berkurangan hasil daripada penambahbaikan sistem dan urusan di pejabat-pejabat kerajaan. Penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT), khususnya urusan atas talian, telah banyak menutup peluang kakitangan awam meminta rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Saranan beliau: Pihak penguatkuasaan, khasnya SPRM, perlu mengkaji dan bertindak tegas terhadap apa yang disebut sebagai rasuah bersindiket di mana pihak penguat kuasa melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara berpasukan.

"Undang-undang sahaja tidak memadai. Peperangan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu juga merangkumi aspek moral," kata Kadir.

Melihat kepada perkembangan beberapa bulan lalu pelbagai pihak memperlihatkan komitmen untuk membantu meningkatkan usaha memerangi rasuah. Ini termasuklah usaha mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

Kerajaan juga telah mewujudkan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah serta menambah Mahkamah Tinggi bagi membicarakan kes rasuah. Kerajaan juga berjanji melaksanakan aku janji integriti untuk anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kejayaan SPRM sepanjang empat tahun lalu adalah hasil kerjasama rakyat dan sokongan kerajaan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang berjaya meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara kepada skor 4.9 pada tahun 2012 berbanding 4.4 pada 2010.

Kajian Persepsi Rasuah dan Keberkesanan Tindakan SPRM 2012 kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati keyakinan masyarakat terhadap usaha SPRM telah meningkat kepada 64 peratus daripada 42.4 peratus tahun sebelumnya.

SPRM meletakkan sasaran 80 peratus. Apakah kita mampu mencapai sasaran itu. SPRM yakin dengan kerjasama pelbagai pihak. Langkah jauh memerangi rasuah bermula sekarang.

By: Dr G Manimaran.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik