Saturday, August 3, 2013

PETISYEN PILIHANRAYA - KEPUTUSAN MAHKAMAH MAKIN BUKA PEKONG.

pru-undi513Makin hari makin bergema soalan mengenai dakyah pakatan pembangkang yang macam nak runtuh dunia konon berlaku pelbagai tipu muslihat dan silap mata menyebabkan mereka kalah pilihanraya umum ke 13.

Paling hot tentulah mana dia 40,000 Bangla yang konon diterbangkan untuk jadi pengundi hantu.

Keputusan Mahkamah Pilihanraya menolak satu demi satu petisyen kerana sebab teknikal yakni fakta kes tidak sempurna membuatkan pekong riuh rendah yang dicetuskan selepas keputusan PRU 5 Mei itu makin menyerlah.

Ini kerana kalau mengikut dakwaan semberono mereka termasuk penganjuran perhimpunan demi perhimpunan sudah tentu ada petisyen yang diputuskan oleh mahkamah setakat ini sudah lekat.

Walaupun banyak lagi kes belum diputuskan namun 'angin' dari sebilangan kes yang ditendang keluar oleh mahkamah dikatakan memberi petunjuk jelas.

Kata orang setakat nak cakap kosong siapa pun boleh cakap.Namun bila masuk mahkamah segala fakta dan bukti dakwaan harus tersusun rapi.

Nampaknya setakat ini banyak masa mahkamah terbuang untuk melayan kes-kes yang dalam bahasa mahkamah 'tidak mematuhi kaedah petisyen'.

Kalau mengikut perkembangan setakat ini kalangan para peguam hebat pakatan pembangkang setakat ini tidak dapat membina kes yang kuat untuk menyokong dakwaan.

Jika pembangkang cuba mendakwa seperti yang disuarakan oleh Datuk seri Anwar Ibrahim konon mahkamah ' ikut arahan parti tertentu ' tolak petisyen ia nyata terjawab bila ada petisyen yang dikemukakan oleh BN sendiri ditolak.

Selain isu 40,000 Bangla ramai yang tertunggu nak tengok dimana kebenaran dakwaan mereka yang hentam teruk pihak Suruhanjaya Pilihanraya dalam mengendalikan PRU13.

Tanpa segala fakta dan kes kuat di mahkamah segala gembar gembur mereka akan menepati  andaian bahawa segala drama protes itu cuma untuk menutup malu tewas dalam pilihanraya yang mereka dakwa ' dalam tangan'.

Sementara itu Khamis saja Mahkamah pilihanraya telah menolak lima petisyen.

Di Kuala Terengganu,mahkamah menolak petisyen yang difailkan oleh PAS untuk mencabar keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Hulu Besut yang dimenangi oleh Barisan Nasional.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan berkata pihak pempetisyen ,PAS)gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Bagi kawasan DUN Kuala Berang, Mariana memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada responden pertama iaitu Anggota DUN (ADUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta masing-masing RM50,000 kepada responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah juga memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Pada PRU13, Tengku Putera, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, mengalahkan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid dengan majoriti 449 undi manakala Nawi menewaskan calon PAS Shalahhudin Jaafar dengan majoriti 1,570 undi.

Pada 18 Julai lepas, mahkamah yang sama turut membatalkan petisyen yang difailkan BN terhadap dua ADUN PAS Telok Pasu dan Rantau Abang.

DUN Telok Pasu dimenangi calon PAS, Ridhuan Hashim yang mengalahkan calon BN Datuk Abdul Rahin Mohd Said dengan majoriti 109 undi manakala DUN Rantau Abang pula dimenangi calon PAS, Alias Harun yang menewaskan calon BN, Datuk Za'abar Mohd Adib dengan majoriti 141 undi.

Hakim memerintahkan BN membayar kos RM50,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta membayar kos RM30,000 masing-masing kepada dua ADUN tersebut.

Mahkamah Pilihanraya di Ipoh tolak petisyen untuk batalkan kemenangan calon BN di kawasan Dewan Undangan Negeri Rungkup di Perak.

Petisyen itu difailkan oleh calon PAS ,Misbahul Munir Masduki.

Pada PRU13 ,calon BN Shahrul Zaman menewaskan Misbahul dengan majoriti 613 undi.

Hakim Umi Kalthum Abdul Majid yang membuat keputusan itu turut mengarahkan pempetisyen, Misbahul Munir Masduki, membayar kos RM70,000 iaitu RM35,000 masing-masing kepada responden pertama, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Di Kuala Lumpur,Mahkamah Pilihan Raya  menolak petisyen pilihan raya difailkan seorang pengundi yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dikekalkan oleh Nurul Izzah Anwar daripada PKR.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan bahawa petisyen yang difailkan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan, adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ketika membenarkan bantahan awal Nurul Izzah berhubung petisyen itu, hakim berkata pempetisyen (Mohamad Sazali) gagal mengemukakan fakta penting untuk menunjukkan tindakan boleh diambil terhadap responden pertama (Nurul Izzah).

"Petisyen pilihan raya seperti ini sangat bergantung kepada undang-undang pilihan raya. Pempetisyen gagal mengemukakan fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan pelanggaran peruntukan dalam Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Akta Kesalahan Pilihan Raya berkaitan amalan rasuah yang didakwa itu," katanya.

Zabariah memerintahkan Mohamad Sazali membayar kos RM40,000 kepada Nurul Izzah.

Hakim juga berkata petisyen pilihan raya itu tidak difailkan oleh pempetisyen atau peguam mengikut Kaedah 9 dan 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

"Bidang kuasa mahkamah tidak digunakan, oleh itu petisyen pilihan raya ini boleh ditolak berdasarkan alasan ini semata-mata," katanya.

Dalam petisyen itu Mohamad Sazali menamakan Nurul Izzah, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rolan Abd Rahman dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Pada pilihan raya umum lepas, Nurul Izzah mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 1,847 undi.

Di Shah Alam,Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen difailkan BN bagi membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan DUN Penggaram, Johor yang dimenangi DAP.

Hakim Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas beliau membenarkan bantahan awal oleh calon DAP, Gan Peck Cheng.

Pada pilihan raya umum lepas, Gan memenangi kerusi DUN Penggaram mengalahkan calon BN, King Ban Siang dengan majoriti 10,051 undi.

Suraya yang menolak petisyen itu dengan kos RM20,000, dalam penghakimannya berkata petisyen itu wajar ditolak kerana terdapat kecacatan dalam butiran dan maklumat yang diberikan pempetisyen iaitu King.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan Gan mengadakan jamuan makan kepada pengundi di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, Johor, pada 18 Mei lepas adalah rasuah.

"Mahkamah menolak isu itu kerana ia tiada kaitan dengan undang-undang dan petisyen pemohon juga gagal memberikan butiran lengkap berhubung adanya rasuah dalam jamuan berkenaan," katanya.

King selaku pempetisyen diwakili peguam Izzat Muhtar memfailkan permohonan petisyen pada 10 Jun lepas terhadap Gan, yang diwakili peguam Gobind Singh dan Thomas Philip.

Dalam pernyataan petisyen itu, King mendakwa Gan telah melakukan rasuah dan menyalahi undang-undang kerana mengadakan jamuan makan dan minum kepada para pengundi Penggaram sehingga membawa kepada kemenangannya.

Beliau mendakwa Gan atau ejennya memaparkan kain rentang pada 18 Mei lepas, yang jelas menjemput pengundi di kawasan DUN Penggaram untuk menghadiri jamuan itu dan kira-kira 2,000 penduduk hadir.

King mendakwa kain rentang yang mengandungi perkataan 'Ubah Sekarang dan Bersihkan Malaysia' telah diedar dan ditampal oleh responden dengan tujuan untuk menimbulkan dan menyebarkan perasaan jahat serta tidak puas hati pengundi di Penggaram.

Justeru, beliau memohon agar mahkamah mengisytiharkan pilihan raya yang diadakan sebelum ini adalah tidak sah dan terbatal.- 1/8/2013



Mahkamah tolak empat lagi petisyen PRU13

Keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sepang kekal setelah Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Jun lepas.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu setelah mendapati pempetisyen tidak menyatakan fakta yang jelas dan mencukupi dalam permohonan mereka.

Katanya pempetisyen mengemukakan fakta yang terlalu umum seperti dakwaan catatan pada kertas undi yang ditolak tetapi bagaimana ia berlaku, tidak dinyatakan.

Berikutan keputusan itu, Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam terus kekal di bawah pimpinan BN manakala Sepang milik PAS.

Petisyen bagi Parlimen Kuala Selangor difailkan oleh pengundi Muhammad Rashid Muhammad Kasim, Parlimen Sungai Besar oleh Mat Ismail Nasir (pengundi) dan Dr Abdul Aziz Bari (calon) bagi Parlimen Sabak Bernam.

Bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam, Hakim Zaleha memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM10,000 kepada calon yang bertanding iaitu Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor), Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Beliau juga memerintahkan tiga pempetisyen tersebut membayar kos RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bagi Parlimen Sepang, Latif Wagiman (pengundi) diperintah membayar RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta RM20,000 kepada Mohamed Hanipa Maidin (calon).

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Zaleha membenarkan bantahan awal yang dikemukakan calon yang bertanding, Pegawai Pilihan Raya (RO) bagi empat kawasan Parlimen tersebut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada pilihan raya lalu, bagi Parlimen Kuala Selangor Irmohizam mengalahkan Dr Dzulkefli Ahmad (PAS) dengan majoriti 460 undi; Parlimen Sungai Besar Noriah (BN) mengalahkah Mohamed Salleh M Husin (PAS), majoriti 399; Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah mengalahkan Abdul Aziz (PKR), majoriti 1,644 dan Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed (BN) kalah kepada Mohamed Hanipa (PAS) dengan majoriti 1,104.-31/7/2013


Mahkamah tolak petisyen batalkan kemenangan BN di DUN Lubuk Merbau,Manong dan Pasir Panjang

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kekal ditangan Barisan Nasional setelah Mahkamah Pilihanraya tolak petisyen untuk membatalkan kemenangan itu semasa pilihanraya umum ke 13.

Mahkamah Pilihanraya di Ipoh menolak petisyen di DUN Lubuk Merbau manakala mahkamah di Batu Gajah tolak petisyen yang dibuat oleh DUN Manong dan Pasir Panjang.

Untuk DUN Manong,Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen gagal mengikuti kehendak-kehendak mandatori dan petisyen yang difailkan Abdul Karim Abdul Rashid cacat, kerana tidak mematuhi Perintah 9 dan 34 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Perintah berkenaan hanya membenarkan pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen pilihan raya dan bukan firma guaman.

Di situ calon BN Siti Salmah mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi pada PRU13.

Pada 12 Jun lepas, Abdul Karim dari parti PAS menfailkan petisyen itu bagi membatalkan keputusan PRU13 kerusi berkenaan dengan beberapa alasan termasuk berlakunya amalan penyogokan atau rasuah.

Beliau membuat keputusan itu selepas sesi pendengaran bantahan awal yang dibenarkan bagi pihak pempetisyen dan kesemua responden selesai sebelum ini.

Abdul Rahman juga memerintahkan Abdul Karim membayar RM60,000 kepada responden pertama iaitu Datuk Siti Salmah Mat Jusak yang kini merupakan anggota DUN kawasan berkenaan dari parti BN.

Pengundi itu juga diperintahkan membayar masing-masing RM10,000 kepada responden kedua iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pengawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi Lubok Merbau, Abdul Halim Hamed.

Empat peguam yang diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamauddin dan Abu Bakar As Sidiq mewakili Siti Salmah, tiga orang Peguam Kanan Persekutuan Norazmi Narawi, Muhamad Anas Mahadzir dan Norinna Bahadon pula mewakili SPR manakala pempetisyen diwakili peguam Aminuddin Zulkifli.

Abdul Rahman kemudian meneruskan sesi pengurusan kes bagi petisyen DUN Lubok Merbau juga yang difailkan oleh seorang lagi pengundi di kawasan berkenaan.

Bagi DUN Manong dan Pasir Panjang pula Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menolak petisyen itu atas alasan kesemua pempetisyen gagal mematuhi Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menolak petisyen itu atas alasan kesemua pempetisyen gagal mematuhi Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau menolak kedua-dua petisyen itu dengan kos.

Bagi kawasan DUN Manong, Abang Iskandar mengarahkan pempetisyen iaitu calon PAS Jamil Dzulkarnain membayar kos RM40,000 masing-masing kepada responden pertama iaitu Adun Manong Mohamad Kamil Shafie dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi DUN Pasir Panjang, mahkamah mengarahkan pempetisyen, seorang pengundi Shamsul Sakri Che Din membayar kos RM40,000 masing-masing kepada kepada responden pertama Adun Pasir Panjang Rashidi Ibrahim, responden kedua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga, SPR.

Bagi satu lagi petisyen DUN Pasir Panjang yang turut difailkan oleh seorang pengundi Hamidun Zakaria, mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

Pada PRU13, Mohd Kamil memperoleh majoriti 231 undi mengalahkan calon PAS Jamil Dzulkarnain bagi DUN Manong manakala Rashidi menewaskan calon PAS Rohawati Abidin dan calon Bebas S.Vijayan bagi kerusi DUN Pasir Panjang dengan majoriti 304 undi.

PAS diwakili barisan peguam yang diketuai G.K Ganeson manakala responden pertama bagi DUN Manong dan DUN Pasir Panjang diwakili barisan peguam yang diketuai Abu Bakar As Sidiq.

Responden kedua bagi DUN Manong diwakili Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin manakala responden kedua dan ketiga bagi DUN Pasir Panjang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin.-30/7/2013


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik