Sunday, December 29, 2013

PENEGASAN UMNO MEMERTABATKAN ISLAM

PERKARA 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan merupakan nadi penting di dalam perjuangan memartabatkan agama suci ini di Malaysia.

Peruntukan itu menegaskan fungsi Islam sebagai agama negara, bukan terhad sekadar 'alat' bagi acara-acara rasmi keagamaan serta hanya ibadah khusus untuk kesejahteraan individu.

Pada hakikatnya, peruntukan ini memperkasa peranan Islam sebagai cara hidup di ruang awam dan mencakupi pentadbiran kesejahteraan masyarakat Muslim dan non-Muslim secara komprehensif. Malah, peranan fasal ini diperkukuhkan dengan Perkara 37, Jadual Keempat berkenaan sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara Islam pada setiap masa. Dengan wujudnya kedua-dua peruntukan ini, maka terbatal sebarang unsur-unsur yang cuba mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Beberapa kes-kes utama yang diputuskan mahkamah tertinggi di negara ini juga mengesahkan peranan Islam dalam konteks ini. Percubaan pihak pembangkang yang berfahaman sekular mendakwa Malaysia sebuah negara sekular dengan menyalahtafsir sebahagian penghakiman Tun Salleh Abas di dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya [1988] ternyata tidak berjaya mempengaruhi masyarakat umum tentang sifat Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebaliknya, kes-kes mutakhir yang lebih berautoriti seperti Meor Atiqurrahman & Ors vs Fatimah Sihi Abdullah & Yang Lain (2005) dan Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [Rayuan Sivil No: 01-2-2006] merupakan penegasan peranan dan ruang lingkup peranan Islam sebagai suatu cara hidup.

Di samping pelbagai pencapaian berkaitan model-model Islam telah banyak diwujudkan, ruang pemerkasaannya untuk memenuhi maksud peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut adalah sangat luas, malah perlu diperkasakan dengan mengambil kira Malaysia masih dipimpin parti pemerintah yang bercitra Melayu-Islam seperti UMNO.

Ternyata hakikat kedudukan Islam ini tidak disenangi ramai pihak. Malaysia menerima ujian besar apabila wujud beberapa siri percubaan menghakis kedudukan istimewa Islam kebelakangan ini. Sejak lebih dua dekad lalu, strategi parti-parti politik pembangkang melalui NGO-NGO yang berfahaman sekular liberal, serta bertopengkan gerakan Hak Asasi Manusia (HAM) telah mencetuskan pelbagai percubaan mengubah lanskap kesederhanaan amalan beragama.

Mutakhir, pelbagai lapisan masyarakat telah menolak gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) di sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Geneva, yang ghairah memperjuangkan tuntutan-tuntutan batil bagi membuka ruang murtad, amalan gaya hidup LGBT, menidakkan hak istimewa orang Melayu serta tuntutan-tuntutan lain yang tidak munasabah.

Kesemua ancaman ini dimanipulasi dengan menyalahgunakan prinsip-prinsip serta mekanisme HAM sejagat khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang pada hakikatnya sendiri menjunjung ideologi yang tidak sempurna serta bergelumang dengan sikap hipokrit negara-negara Barat.

UMNO sebagai parti tulang belakang pemerintahan negara, serta memikul amanah menjalankan usaha memartabatkan perjuangan akidah, syariah dan akhlak umat Melayu-Islam, harus memposisikan niat dan tindakannya agar sejajar dengan perkembangan membimbangkan berkenaan usaha menghakis kedudukan istimewa Islam di negara ini.

Selain membangun keadaan sosio-ekonomi bangsa, UMNO perlu lebih ke hadapan di dalam memperjuangkan Islam menurut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), berpandukan sumber-sumber rujukan keagamaan yang muktabar serta mempunyai kredibiliti.

Hanya dengan inisiatif sedemikian maka perjuangan UMNO akan menzahirkan niat dan tindakan yang dilihat sederhana sekali gus dapat menjuarai usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia secara umum, melalui contoh kefahaman dan pengamalan Islam yang baik.

Justeru usaha pemerkasaan asas UMNO berhubung perjuangan memartabatkan Islam ini haruslah dipelbagaikan. Dasarnya harus jelas dan konsisten dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang tegas menjunjung tinggi kedudukan Islam.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Pada sub-fasal 3.3 pula menyatakan tujuan UMNO untuk "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama."

Selari dengan apa yang telah pun difahami dan diterjemahkan UMNO di dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, maka adalah wajar cadangan agar pindaan dilakukan menggantikan frasa asal sub-fasal 3.3 tersebut dengan frasa "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama persekutuan, serta menjunjung fahaman ASWJ". Istilah 'Islam agama rasmi' dipadamkan bagi menjadikan sub-fasal tersebut konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ingin menggariskan tiga rasional utama keperluan pindaan fasal 3.3 ini. Pertamanya, memasukkan frasa Islam sebagai agama Persekutuan ini menjadikan asas, aspirasi dan tujuan perjuangan UMNO sebagai parti tulang belakang umat Melayu-Islam selari dengan kehendak dan tujuan Perlembagaan Persekutuan yang telah pun memaktubkan kedudukan istimewa Islam dengan segala keutamaan dan implikasinya terhadap pentadbiran agama Islam di negara ini.

Pindaan ini akan secara sendirinya menzahirkan hakikat peranan besar UMNO selama ini di dalam memperjuangkan Islam sebagai suatu cara hidup dan bukan sekadar 'agama rasmi'. Malah, penambahan frasa "menjunjung fahaman ASWJ" akan memperkukuh idealisme serta iltizam perjuangan Islam UMNO dan menolak sebarang unsur-unsur ajaran sesat, termasuklah agama Syiah yang semakin berleluasa.

Keduanya, pindaan ini sebenarnya menegaskan peranan UMNO sendiri sebagai tulang belakang pemerintahan kerajaan Malaysia yang telah banyak memperkenalkan model dan sistem Islam di dalam pelbagai bidang. Kita boleh menyebut beberapa contoh seperti pindaan pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan di dalam tahun 1988 yang telah membuka ruang pemerkasaan sistem pentadbiran undang-undang Islam yang sangat meluas.

Sebagai bukti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini mengumumkan bahawa Peguam Negara telah memberi lampu hijau untuk meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang ketika ini mengehadkan Dewan Undangan Negeri hanya boleh mewujudkan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Ini membuka ruang pemerkasaan undang-undang syariah. Selain itu, pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Act) 2013 merupakan sumbangan terkini Malaysia mewujudkan model mithali dalam regulasi perkhidmatan kewangan Islam di peringkat sejagat.

Ketiga, para pemimpin UMNO sendiri dapat menzahirkan niat dan tindakan mereka mempertahankan Islam dengan lebih matang, kukuh serta berwibawa dengan adanya pindaan sub-fasal 3.3 ini. Dengan serangan yang dizahirkan melalui NGO-NGO HAM dan parti-parti politik berfahaman liberal sekular, maka kepimpinan UMNO harus terlebih dahulu memantapkan kefahaman Islam sebagai suatu cara hidup dan mengenalpasti fahaman-fahaman berbahaya seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme agama yang mencetuskan bukan sahaja kekalutan pemikiran umat Islam, tetapi juga menghasilkan gaya hidup bebas anti-Tuhan serta mengamalkan gaya hidup songsang seperti LGBT.

Melihat pada cabaran-cabaran mendatang di peringkat sejagat, ketegasan pendirian tersebut hanya dapat terus dilakukan oleh kerana wujud jaminan utuh kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka sewajarnya hal ini diterjemahkan di dalam UMNO sendiri, sebagai mengekalkan peranan relevan memperjuangkan Islam di Malaysia dan menawarkan contoh kepada negara-negara Islam lain - UTUSAN/29.12.13

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik