MUSIM cuti sekolah, Kuah luar biasa sibuk. Pekan membeli-belah di Pulau Langkawi ini menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara, juga dari luar negara.

Hotel tempat saya menginap dan berseminar penuh.

Bagi pelancong luar negara kunjungan mereka ke bumi Mahsuri tentulah untuk menikmati keindahan semula jadi seperti laut yang membiru, pantai yang putih melepak, tempat-tempat bersejarah, dan aneka  makanan tempatan.

Saya bertemu dengan beberapa pelancong asing di lobi hotel dan bertanyakan mereka mengenai makanan.

Sonia yang menyertai kumpulan berlibur dari India memberitahu walaupun makan di hotel termasuk dalam pakej penginapan, dia lebih suka makan di luar sebab banyak pilihan dan harganya amat murah.

Sudah tiga hari di sini dia sekeluarga merasa nasi lemak, roti canai, nasi kandar, tomyam, mi goreng mamak, dan tentu sekali makanan yang menjadi ‘trade mark’ di sini: pasembur.

Tidak sah ke sini sekiranya tidak ‘pekena’ pasembur.

Tetapi, bagi kebanyakan pengunjung dari dalam negeri – terutama wanita – mereka tidak berminat langsung pada pantai, helang besar, makam Mahsuri, Pulau Dayang Bunting.

Tidak juga pada pasembur. Mereka lebih minat pada Kuah. Di bibir, hati dan fikiran mereka ada ‘HIG’ @ ‘Haji Ismail Groups’ yang mempunyai sekian banyak pasar raya dan kedai di pekan bebas cukai ini.

Selain HIG ada beratus emporium dan kedai menawarkan sekian banyak barangan yang menjadi kegilaan wanita – dari pinggan mangkuk dan barangan elektrik hingga pakaian dalam, sepit rambut,
hatta pencungkil gigi.

Saya teringat perihal wanita kita berbelanja di Bandung, Indonesia, datang dengan sebuah beg, pulang dengan tiga beg.

Di Kuah ramai yang datang tanpa beg, pulang berbeg-beg.

Nasib baik isteri saya tidak ikut kali ini, kalau tidak pasti lenguh dan senget bahu saya memikul beg!

Tetapi ketika menghantar saya ke KLIA, dia berpesan supaya membeli kain pelikat dan batik, untuk dihadiahkan pada kaum keluarga sempena raya.

Bukan mudah memilih pelikat, sebab ada berpuluh jenama, dan berbeza-beza harga.

Saya tersepit dan sesak nafas di celah-celah wanita.

Baru saya sedar rupanya ada sekian banyak kain pelikat yang menggunakan jenama gajah.

Semasa zaman kanak-kanak dulu nama raja rimba itu memang bergengsi untuk kain sarung lelaki.

Produk import dari India itu terkenal dengan nama kain pelikat – dulu dieja ‘pulikat’ - ‘Cap Gajah’.

Hanya Tok Penghulu dan Tok Ketua yang mampu memakai ‘brand’ tersebut.

Kalau hendak disamakan ‘pulikat Cap Gajah’ ketika itu macamlah kemeja ‘Pierre Cardin’, seluar ‘Versace’ dan lain-lain jenama hebat dunia fesyen sekarang.

Di tengah-tengah kehadiran beraneka jenama kain pelikat terkini – antaranya ‘Mangga’, ‘Samarinda’, ‘Jabal Nur’, ‘Al- Wadi’ – gajah masih menjadi pilihan utama.

Sebab itu ada macam-macam jenama gajah.

Kain import dari India itu masih ada, tetap mengekalkan nama asal ‘Cap Gajah’ dengan gambar haiwan tersebut sedang duduk.

Ejaan ‘pulikat’ telah ditukar kepada ‘pelikat’.

Ada gambar haiwan berbelalai itu duduk di atas kerusi, memakai jenama pelikat ‘Cap Gajah Kerusi’.

Ada juga gambar gajah dengan gading panjang ‘Cap Gajah Gading’. Ada ‘Cap Gajah Kaki’, ‘Cap Gajah Ekor’, pendek kata macam-macam cap gajah.

Harap-harap jangan ada pelikat ‘Cap Tahi Gajah’.

Menarik juga tentang Langkawi ialah hasil buminya. Ramai orang tidak tahu, sama seperti Terengganu dan Sarawak, perairan Pulau Mahsuri ini kaya dengan pengeluaran minyak.

Pulau Legenda ini termasuk dalam kategori negeri pengeluar minyak. Malah beberapa negara jiran, termasuk Singapura dan Thailand adalah antara pengimport minyak Langkawi.

Bukan minyak petrol, tetapi minyak gamat.

Bagi yang meminati minyak  wangi, Kuah juga menawarkan pelbagai jenama dan harga. ‘Poison’ atau racun adalah  antara jenama pilihan.

Tidaklah dikisahkan bagaimana ‘racun’ dijadikan jenama pewangi tubuh! Ada berpuluh lagi jenama terkenal dunia, semua ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pusat membeli-belah terkenal KL.

Tetapi sejak di Lapangan Terbang petugas wanita di kaunter teksi telah memberi amaran, jangan tertawan sangat dengan harga, pastikan juga ketulenan minyak wangi.

Antara yang dijamin ‘ori’ ialah di kedai ‘Cote de Parfume’.

Pada hemat saya kalau tersilap sebut perkataan ‘Cote’, mungkin boleh menimbulkan kekeliruan, sebab bunyinya tidak berapa sedap di telinga dan hati orang utara.