Sunday, June 30, 2013

KUASA POLITIK, EKONOMI MENDOKONG KEPENTINGAN SESUATU BAHASA.

PADA tahun-tahun 1970-an, ada seorang pemimpin Asia yang mendidik anaknya supaya belajar bahasa Rusia. Ini kerana beliau yang terkenal bijak menjangkakan bahawa Soviet Union bukan saja terus menjadi kuasa besar tetapi bertambah kepentingannya pada masa akan datang termasuk bagi benua Asia.

Jika Soviet Union bertambah kuat, malahan dapat menyaingi Amerika Syarikat, maka tentulah bahasanya juga menjadi penting dan terpaksa dipelajari oleh banyak orang asing, termasuk di kalangan tokoh-tokoh Asia.

Maka tidak hairanlah Pusat Kebudayaan Soviet pernah dibuka di Jalan Tun Razak pada tahun-tahun 70-an. Kedudukannya hanya beberapa langkah daripada Pusat Kebudayaan Lincoln di Jalan Ampang, iaitu pusat bagi mengembangkan maklumat dan pengetahuan mengenai Amerika Syarikat.

Penulis sendiri pernah cuba belajar Rusia di pusat itu tetapi hanya mampu membaca ejaan bahasa itu yang menggunakan tulisan Cyrillic.

Pada satu ketika sememangnya Soviet Union dilihat sebagai kuasa yang sedang menguasai banyak bahagian dunia. Maka bahasa Rusia yang merupakan bahasa rasmi negara itu bukan saja menjadi penting di seluruh republik-republik di dalamnya seperti Kazakhstan, Ukraine dan seumpamanya tetapi juga negara-negara komunis yang berada di bawah pengaruh Moscow seperti yang berada di Eropah Timur dan juga Mongolia, China, Korea Utara dan Vietnam Utara,

Malah republik-republik bukan Rusia berasal Islam yang mempunyai bahasa sendiri turut mengambil Cyrillic sebagai tulisannya bagi menggantikan tulisan Arab. Mereka tidaklah mengambil tulisan rumi seperti mana Turki, Indonesia dan bahasa Melayu.

Siapa sangka ketika itu bahawa Soviet Union akan tumbang dan republik-republik di dalam gabungannya mengisytiharkan kemerdekaan.

Tanpa Soviet Union, Rusia tidak lagi dianggap penting di luar daripada Persekutuan Rusia. Sebaliknya negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah yang terlepas daripada cengkaman Moscow kini lebih berminat menguasai bahasa Inggeris daripada Rusia.

Malah negara-negara yang menggunakan tulisan Cyrillic seperti Kazakhstan bagi bahasa mereka sedang merancang untuk menukar tulisannya kepada rumi. Itulah yang akan dilakukan oleh Kazakhstan dalam masa lima tahun akan datang.

Itulah nasib bahasa Rusia dan tulisannya, Cyrillic apabila Soviet Union kalah kepada Amerika Syarikat dalam Perang Dingin. Atas keunggulan Amerika, bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan kini semua bangsa mahu menguasainya.

Maka anak pemimpin Asia yang menguasai bahasa Rusia itu mendapati bahasa itu sudah hilang kepentingannya. Bahasa Inggeris sememangnya sudah dikuasai oleh negara itu.

Tetapi kuasa yang menggantikan Soviet Union untuk mencabar Amerika Syarikat adalah China. Maka Mandarin juga meningkat kepentingannya.

Justeru tidak hairanlah bahawa republik kecil Asia itu sudah sekian lama menekankan kepentingan Mandarin. Kesedaran kepentingan Mandarin turut sampai ke Australia, sebuah negara yang dikuasai keturunan Inggeris tetapi mahu dianggap sebagai sebuah negara Asia.

Malah ada pemimpin utama Australia keturunan Inggeris yang menguasai Mandarin bagi memudahkan hubungan mereka dengan China. Keunggulan ekonomi membawa kekuatan bahasa.

Bagi orang Malaysia, tidak ada siapa yang berminat untuk mempelajari bahasa Rusia ketika Soviet Union berada di kemuncaknya pada tahun-tahun 1970-an.

Kalau ada tawaran daripada kerajaan Soviet kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di universiti di sana, tentulah dipandang curiga khususnya di Universiti Lumumba di Moscow, kerana ia mendidik para pelajar antarabangsa untuk menjadi profesional komunis.

Tetapi kini, suatu yang dahulu tidak dijangka, sudah banyak orang Malaysia yang pandai berbahasa Rusia. Ini kerana sejak Soviet Union tumbang, banyak anak-anak Malaysia yang dihantar ke sana untuk mempelajari perubatan.

Maka untuk itu, penguasaan bahasa Rusia tentulah menjadi penting. Tetapi di Eropah, bahasa Rusia mempunyai kepentingannya tersendiri.

Ini kerana di atas runtuhan komunis Soviet, maka muncul jutawan-jutawan kapitalis Rusia yang banyak berbelanja dan melabur di Eropah. Dari Jerman, Austria, Switzerland hinggalah ke Greece, jutawan-jutawan ini membuat pelaburan dan berbelanja hinggakan bahasa mereka juga dipandang penting.

Justeru pada keseluruhannya, politik dan ekonomi yang menyebabkan sesuatu bahasa itu meningkatkan kepentingannya.

Tetapi bagaimana pula dengan kepentingan bahasa Melayu?

Apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua, maka ternyata kuasa-kuasa Barat tidak boleh kembali menjajah seperti sebelum Jepun menawan Asia.

Setiap negara yang merdeka dari penjajahan Barat mahukan bahasa sendiri sebagai bahasa rasmi.

Indonesia yang bebas daripada penjajahan Belanda mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasanya dengan nama Bahasa Indonesia.

Dengan kuasa politik menguasai sebuah negara besar dan penduduk banyak, tentulah bahasa Melayu dalam bentuk Bahasa Indonesia menjadi penting dan dipandang mempunyai masa depan cerah.

Maka begitu juga dengan Malaya yang merdeka pada tahun 1957. Dengan memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia juga dipercayai pada masa itu akan turut menjadi penting pada masa depan.

Ia menjadi lebih penting apabila Malaysia ditubuhkan dengan bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Malaysia dengan turut dianggap sebagai bahasa rasmi di Sarawak, Sabah dan Singapura.

Bahasa Melayu wajar menjadi kuat apabila Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia bersatu. Maka penyelarasan ejaan yang dilakukan oleh Tun Razak dan Suharto adalah langkah awal untuk itu.

Tetapi sayangnya Indonesia tidak muncul sebagai kuasa ekonomi yang besar baik pada zaman Sukarno mahupun Suharto. Andai kata ekonomi Indonesia maju, maka kepentingan Bahasa Indonesia meningkat.

Jika kedua-dua Malaysia dan Indonesia maju, maka akan majulah juga bahasa Melayu.

Sumber: Utusan.

APABILA ORANG POLITIK SUDAH TIDAK TAHU MALU.

SKANDAL rasuah di kalangan pemimpin politik Indonesia berteraskan Islam, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) mula membuka satu persatu kisah-kisah sensasi .

Selain melibatkan wang yang banyak dalam urus niaga import daging lembu melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi, banyak lagi cerita mengenai skandal wanita turut terbongkar.

Sebelum ini, saya pernah menulis mengenai senarai 45 wanita yang didakwa pernah menerima habuan kekayaan daripada Ahmad Fathanah yang juga orang kanan bekas Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hasan Ishaaq.

Lebih memeranjatkan ialah Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia juga dalam siasatannya mendapati Ahmad Fathanah yang berasal dari sebuah keluarga yang memiliki latar belakang agama yang kuat ditemui berada dalam keadaan bogel bersama seorang perempuan simpanan.

Bertitik tolak daripada siasatan ke atas Ahmad Fathanah pula menjerat Ahmad Luthfi yang akhirnya melondehkan cerita sebenar kehidupan peribadi pemimpin yang pernah menerajui PKS.

Daripada siasatan KPK, Ahmad Luthfi pernah berkahwin sebanyak tiga kali dengan isteri ketiga yang juga isteri termuda beliau, berusia 19 tahun, Darin Mumtazah. Pasangan itu berkahwin tahun lalu dan ketika itu, Darin masih lagi menuntut.

Perkahwinan pertama Ahmad Luthfi dengan isteri pertama, Sutiana Astika pada tahun 1984 membenihkan 12 cahaya mata.

Sementara perkahwinan kedua dengan Lusi Tiaraini Agustine pada tahun 2000 pula menghasilkan tiga orang cahaya mata.

Kisah lelaki berkahwin tiga terutamanya bagi individu yang memiliki latar belakang agama yang tinggi bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana sebilangan besar daripada mereka memberi alasan berkahwin banyak kerana mengikut sunah.

Namun, dalam kes Ahmad Luthfi yang berusia 50 tahun, KPK dalam siasatannya mendapati, beliau menggunakan isteri-isterinya untuk mengumpul kekayaan melalui pemilikan harta dan kenderaan mewah.

Kerakusan

Jadi, apa sebetulnya makna poligami kepada Ahmad Luthfi? Apakah amalan itu mengikut sunah atau memenuhi nafsu dan kerakusan mengejar kekayaan? Kes penglibatan Ahmad Luthfi dalam skandal rasuah sehingga membawa kepada peranan yang dimainkan oleh isteri-isterinya memberikan persepsi yang kurang baik kepada masyarakat.

Imej dan citra tokoh politik semakin buruk. Orang-orang politik nampaknya sudah tidak tahu malu lagi. Mereka lebih mementingkan wang dan kuasa sehingga mengabaikan tanggungjawab pada masyarakat.

Sia-sia sahaja diberikan amanah oleh rakyat jika ia gagal diabaikan. Hidup mereka penuh dengan kegembiraan sedangkan rakyat di bawah menanggung kesengsaraan.

Kalau parti politik yang berteraskan agama pun boleh terpalit dalam kancah rasuah, apa lagi dengan parti-parti politik sekular lain. Benarlah apa yang sering diingatkan kepada kita bahawa wang sebetulnya musuh manusia. Wang boleh mengkhianati erti persahabatan dan kekeluargaan.

Bahkan, kerakusan mengejar wang melalui cara yang haram hanya akan membawa kemudaratan kepada seseorang. Keghairahan mengejar wang dan kekayaan bermula sebaik mereka diberi kuasa oleh rakyat. Kuasa merupakan hal yang paling utama menjadi titik tolak kepada permulaan kehancuran karier seseorang pemimpin yang tamak haloba.

Kekayaan dan kuasa bagaimanapun, masih belum melengkapi ciri-ciri seorang pemimpin masa kini tanpa kehadiran wanita.

Pengaruh wang, kuasa dan wanita sudah cukup untuk mengheret seseorang pemimpin itu membawa kehancuran pada sesebuah organisasi yang diterajui.

Reputasi parti politik PKS tercemar disebabkan oleh ketiga-tiga pengaruh itu - kuasa, wang dan wanita. Sebelum kes Ahmad Luthfi, seorang pemimpin dari PKS, Arifinto pernah dipecat daripada terus menduduki kerusi parlimen kerana menonton filem porno dalam sidang Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada April 2011.

Perlakuan Arifinto benar-benar memalukan seluruh organisasi PKS sehingga menjadi bahan lawak di kalangan masyarakat Indonesia sendiri. Penahanan ini memperlihatkan kepada masyarakat bahawa alim mana seseorang itu sekalipun, namun pandangan mata mereka akan kelabu apabila sudah memiliki kuasa dan kekayaan.

Hal ini sangat signifikan dengan Luthfi yang memilih untuk mencemarkan parti agama yang dipimpinnya dengan tindakan yang memalukan itu, Seandainya Luthfi menerajui parti politik sekular, barangkali ia tidak akan menjadi bahan perdebatan di kalangan media massa dan masyarakat umum.

Tetapi, PKS ialah sebuah parti politik Islam yang sewajarnya menjadi contoh kepada parti-parti lain sedia ada untuk lebih dihormati. Berdasarkan kes-kes berprofil tinggi yang dibicarakan di mahkamah, kebanyakan yang dibawa ke pengadilan mempunyai banyak persamaan iaitu melibatkan penyalahgunaan kuasa di pejabat sehingga membawa kepada amalan poligami.

Barangkali, KPK sendiri bingung melihat trend ini semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin politik dan pegawai tertinggi kerajaan.

Sebagai contoh, pada perbicaraan minggu lalu, Mahkamah Rasuah Jakarta mendapati seorang bekas pegawai tertinggi polis trafik, Djoko Susilo terpaksa menyamar menjadi orang lain bagi membolehkannya bernikah dengan isteri kedua, Mahdiana.

Perkahwinan itu hampir-hampir musnah apabila Mahdiana gagal mengesan identiti sebenar suaminya itu. Tujuh tahun selepas berkahwin dengan Mahdiana, Djoko berkahwin dengan seorang wanita berusia 19 tahun Dipta Anindita yang juga bekas ratu cantik sebagai isteri ketiganya.

Ada lagi beberapa pegawai kanan kerajaan dan tokoh politik Indonesia yang dikaitkan dengan trend berpoligami selain skandal-skandal lain. Trend ini sangat dibimbangkan kerana ia dikhuatiri akan disalah guna oleh mereka yang memiliki kuasa untuk mencari kepentingan peribadi.

Tiada siapa yang menyalahkan amalan poligami kerana ia dibenarkan dalam Islam tetapi yang menjadi persoalan ialah sejauh mana amalan itu berteraskan tuntutan agama dan bukannya menurut kehendak nafsu semata-mata.

Apa yang turut dibimbangkan juga ialah poligami berlaku disebabkan oleh amalan rasuah kerana orang yang ada banyak wang sahaja yang boleh kahwin lebih daripada satu.

Lebih-lebih lagi kepada golongan yang terlalu mementingkan gaya hidup mewah tentu sekali memerlukan pendapatan besar bagi memenuhi cara hidup mereka.

Wahai orang-orang politik (termasuk di Malaysia) jangan sesekali mengkhianati janji dan amanah yang telah diberikan. Ingatlah bahawa sebijak mana sekalipun kita menyembunyikan penipuan, ia akan terbongkar juga suatu hari nanti.

Jangan fikir dengan gelaran tokoh politik yang ada memberi lesen besar kepada mereka untuk berbuat apa saja mengikut kehendak nafsu. Paling penting, jangan sampai masyarakat hilang hormat kepada kita.

By: Saharudin Musthafa.

IKTIBAR DARI PENGALAMAN JUSUF KALLA.

JIKA Datuk Seri Anwar Ibrahim hidup di Indonesia, negara yang sudah begitu terbuka demokrasinya, pemimpin seperti beliau tidak akan mampu bertahan lama. Seorang Anwar yang terpalit dengan begitu banyak isu moral, hipokrit dan diketahui berkawan dengan musuh-musuh Islam tidak akan diterima di republik itu.

Kehadiran beliau boleh membawa lebih banyak kemudaratan daripada manfaat. Tetapi malangnya kita terpaksa menerima realiti orang seperti ini yang umum tahu perangainya seperti sesumpah, masih mendapat layanan istimewa. Pengundi di Permatang Pauh masih mengundinya bahkan pimpinan pakatan pembangkang sepakat memilihnya sebagai ketua mereka.

Sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun lagi, memandangkan janji beliau untuk bersara kerana gagal ke Putrajaya dimungkiri, Malaysia akan terus dibebani dengan pergaduhan politik yang tak ada penghujungnya. Anwar memang terbukti pakar dalam hal menangguk di air keruh bagi mendapatkan laba politik untuk kepentingan sendiri.

Jusuf Kalla, seorang daripada sekian banyak sahabat akrab di Indonesia sejak zaman mahasiswa nampaknya mula memahami sifat sebenar Anwar ini. Anwar menurut bekas Naib Presiden Indonesia itu orangnya mungkir janji, ego dan mempunyai imaginasi untuk menjadi Perdana Menteri yang sangat melampau.

Jusuf dari tanah Bugis di Sulawesi yang juga ahli perniagaan berjaya tidak salah kerana kesimpulan itu beliau perolehi daripada pengalamannya sendiri. Beliau yang kini aktif sebagai perantara antara kumpulan-kumpulan berseteru khususnya di rantau ini telah menyatakan rasa kecewanya dengan sikap Anwar.

Peristiwa Anwar yang memungkiri janji benar-benar membuatkan Jusuf marah. Begitu juga dua lagi sahabat seangkatan Anwar yang juga bekas menteri dan pemimpin mahasiswa, Yusril Ihza Mahendra dan Fahmi Idris yang turut terlibat dalam usaha perdamaian antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Anwar. Jusuf kini berumur 71 tahun manakala Yusril, 57 dan Fahmi, 69.

Dalam wawancara beliau dengan portal berita Merdeka Online, Jusuf menegaskan secara berterus-terang tentang gentlemans agreement yang telah dimungkiri oleh Anwar itu.

Rupa-rupanya Anwarlah yang beria-ia dengan perjanjian itu sehingga tiga kali bertemu Jusuf termasuk datang ke rumahnya bersama Yusril dan Fahmi di Jakarta. Atas dasar sahabat, Jusuf, bersetuju menjadi perantara. Lagipun dengan Najib beliau akrab kerana kebetulan berketurunan Bugis.

Inti perjanjian yang ditandatangani oleh Jusuf dan Anwar itu ialah menerima apa sahaja keputusan pilihan raya yang kemudiannya turut dipersetujui oleh Najib. Tetapi tidak, setelah kalah Anwar tidak dapat menerima hakikat itu. Beliau seperti selalu ada dalih dan kali ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjadi mangsa.

SPR yang pada dasarnya adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi melalui pilihan raya yang bebas dan adil awal-awal lagi telah ditohmah untuk menimbulkan keraguan umum. Jalan ceritanya sama dan ternyata benar, akhirnya SPR yang dipersalahkan kerana kekalahan pakatan pembangkang.

Tidak semena-mena pengurusan SPR pula yang diminta meletakkan jawatan sedangkan isu yang dibangkitkan sama sekali gagal dibuktikan terutama tentang 40,000 pengundi Bangladesh yang tidak disebut pun dalam 25 petisyen yang difailkan oleh pakatan pembangkang.

Ini semua tidak lebih hanya permainan Anwar yang mungkin dalam imaginasi beliau adalah Perdana Menteri sebenar. Sepatutnya Anwar yang meletak jawatan atau sekurang-kurangnya berasa malu untuk menerima semula jawatan Ketua Pembangkang.

Kelompok pakatan pembangkang pun kini semakin berapi-api memainkan sentimen bahawa petisyen pilihan raya itu tidak akan ke mana. Nanti apabila keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka, tentu akan ada pihak yang dipersalahkan. Inilah perangai mereka.

Sikap talam dua muka, hipokrit dan mungkir janji itu juga yang menyebabkan Anwar kehilangan ramai rakan taulan. Puluhan tokoh daripada pemikir, ahli akademik dan ahli politik melihat Anwar tidak lebih sebagai individu yang tidak boleh dipercayai.

Sebahagian daripada mereka meninggalkan Anwar bukan kerana dibuang atau disisihkan tetapi atas dasar prinsip dan kebenaran. Kebanyakan mereka meninggalkan Anwar semasa masih memegang kuasa.

Kini, giliran rakan-rakan akrab Anwar di Indonesia yang berasa dipermainkan. Jusuf menyatakan beliau dan rakan-rakan lain di Indonesia tidak akan lagi menghubungi Anwar sebagai menyatakan rasa marah.

Kemarahan Jusuf itu sangat jelas sehinggakan beliau mendedahkan maklumat yang tak sepatutnya keluar daripada mulut seorang sahabat.

Kata Jusuf, beliau tahu Anwar dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington, Filipina dan mungkin juga di Thailand dan China untuk menjayakan himpunan Black 505. Maklumat tentang penglibatan asing ini daripada orang sekaliber Jusuf bakal mencetuskan polemik baharu mengenai siapa sebenarnya Anwar terutama kepada parti pembangkang.

Jadi kesimpulannya, tidak perlulah membuat apa-apa kesepakatan dengan pemimpin seperti ini. Tiada gunanya. Yang sudah termaktub dalam perjanjian bertulis yang dibuat oleh sahabat sendiri pun boleh dimungkiri, apatah lagi jika sekadar janji-janji politik.

Tidak tahulah apa lagi yang Anwar akan lakukan yang boleh menyedarkan rakan-rakan baharunya sekarang. Mereka seperti tertutup mata hati. Kebenaran di depan mata mereka pejamkan begitu sahaja. Atau adakah mereka itu sebenarnya mempunyai misi seperti dinyatakan oleh Jusuf iaitu untuk menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu musuh-musuh Islam?

Sumber: Utusan.

MELAYU TAK KISAH APA BAKAL TERJADI PADA PRU 14.

BAYANGKAN apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika diteliti aktiviti dan usaha pendaftaran pemilih baharu selepas 55 hari berlangsungnya PRU-13.

Dalam Perbincangan Meja Bulat, Cabaran Dalam Menghadapi PRU-14... Kelangsungan Politik Bangsa anjuran Mubarak Malaysia dengan kerjasama Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Mubarak, Bangunan UMNO Lama, Kuala Lumpur pada Rabu lalu, sesuatu perlu difikir dan disusuli tindakan perlu diambil segera oleh bangsa Melayu.

Amati angka pendaftaran baharu yang dikumpul oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat Mei 2013. Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO berjaya mendaftarkan 449 orang sebagai pemilih baharu; MCA (43) dan MIC (24). Tiga parti dalam pakatan pembangkang iaitu Pas mampu mendapatkan 110 pendaftar baharu, PKR (65) dan DAP (524).

Jika digabungkan ketiga-tiga parti BN itu, jumlahnya 516 pemilih, angka itu belum mampu mengatasi jumlah pungutan DAP (524), dan jumlah yang dikumpul ketiga-tiga parti pembangkang pula ialah 699.

Dari segi pendaftaran pemilih baharu sahaja BN sudah tewas. Bagaimana jika keadaan ini berterusan sehingga menjelang PRU-14?

Pakatan pembangkang terutama DAP begitu agresif mendaftarkan mereka yang layak menjadi pengundi baharu. Mereka bukan sahaja membantu pendaftaran, tetapi turut mengambil nombor telefon untuk tujuan dihubungi atau penghantaran SMS kempen parti. Adakah UMNO atau parti BN lain melakukan aktiviti yang sama?

Terus terang kita boleh katakan UMNO dan BN tidak komited mendaftarkan pengundi baharu. Dari sudut pandang secara kasar, kita boleh jangka pakatan sudah menang dari aspek mendaftarkan pengundi baharu.

Dalam mana-mana pilihan raya, jumlah pengundi yang paling utama dan ke arah mana kecondongan mereka. Melalui aktiviti pendaftaran oleh parti-parti politik, kita boleh menjangka sokongan mereka.

Melalui keputusan PRU-13, jelas trend bukan lagi memilih calon boleh menang atau berpengaruh. Bukan juga isu-isu sensasi dan aku janji, kerana sehebat mana isu dimainkan dan secantik mana manifesto, itu bukan lagi faktor penentu kemenangan parti politik.

Strategi menggunakan segala tipu helah isu, main drama ketika demonstrasi, penglibatan NGO propembangkang, mendekati generasi-Y di kampus, penyebaran meluas akhbar parti politik tanpa sekatan, usaha menjatuhkan kredibiliti dan integriti institusi awam seperti SPR, PDRM, SPRM, perkhidmatan awam dan lain-lain, berlaku tanpa terkawal dan tindakan.

Apa usaha UMNO dan BN yang menerajui kerajaan dalam mengatasi strategi pembangkang yang sememangnya mereka sedar.

Dengan jumlah keahlian semua parti komponen BN sebanyak 5.5 juta dengan UMNO sahaja mempunyai 3.5 juta ahli, maka sepatutnya tiada masalah untuk melawan pihak pembangkang.

Setakat hari ini, Majlis Tertinggi UMNO sudah mengadakan mesyuarat pertamanya selepas PRU-13. Namun belum terdengar hasil bedah siasat tentang punca kekalahan calon-calon UMNO, apatah lagi BN.

Walaupun UMNO menang 88 kerusi Parlimen daripada 121 yang bertanding dan 241 Dewan Undangan Negeri (DUN) (daripada 339) di seluruh negara, tetapi parti utama orang Melayu ini kena cari juga sebab kenapa 33 kerusi Parlimen dan 98 DUN mereka tewas.

UMNO kena kaji kenapa sekarang, kawasan majoriti besar atau kecil Melayu, BN gagal tarik pengundi di bandar untuk memihak kepada mereka.

Konsep meminta pengundi berterima kasih dan mengenang jasa-jasa BN sepanjang 56 tahun merdeka tidak begitu laku sekarang. BN kena cari idea dan pendekatan yang baharu dan lebih meyakinkan pengundi.

UMNO dan BN kena akui, mereka kalah dalam persaingan media sosial. Pasukan penyebar fitnah dalam media sosial yang memihak kepada pembangkang jelas gagal disaingi oleh tentera siber UMNO/BN. Laporan mereka lebih meyakinkan kerana diselit dengan fakta dan data. Sebaliknya hujah daripada media UMNO setakat penafian dan penjelasan semata-mata. UMNO tewas menentang persepsi.

Sekarang persepsi negatif terhadap UMNO dan pemimpin Melayu begitu kuat. Kita sedih, kini orang Melayu sendiri sangsi kepada kepimpinan bangsa Melayunya. Orang Melayu sudah tidak kisah nama-nama Melayu makin hilang di buminya sendiri. Akhbar Utusan Malaysia yang mempertahankan Perlembagaan pun teruk dihentam dan dituduh rasis.

Ingatlah apa yang rasis bagi bangsa yang tanah tumpahnya ialah Tanah Melayu ini. Ingatlah bangsa Jerman pun berbangga dengan nama negaranya Deuthland, orang Belanda - Netherland, orang Jepun - Jepun, India - India dan banyak lagi yang namanya kekal sama dengan identiti bangsa pribuminya.

Malangnya orang Melayu sudah lupa mereka sudah hilang nama Tanah Melayu. Yang disebut-sebut sekarang ialah Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kenapa nama Sabah dan Sarawak disebut penuh dan tidak kepada nama Semenanjung Tanah Melayu.

Rujuklah mana-mana perenggan dalam Perlembagaan awal, tidak disebut Semenanjung tetapi nama penuhnya Semenanjung Tanah Melayu.

Maka elok kerajaan dan UMNO mengembalikan nama Tanah Melayu ini dalam semua dokumen dan laporan rasmi kerajaan.

Adakah orang Melayu tidak nampak sikap bangsa lain yang berusaha menjatuhkan mereka di tanah airnya sendiri? Sekarang pelbagai taktik dilakukan untuk menjatuhkan orang Melayu, baik dari segi ekonomi, politik ataupun sosial.

Dari segi ekonomi, lihatlah aktiviti pengambilan pekerjaan dan peluang perniagaan. Dalam soal politik, boleh kita lihat taktik licik kaum tersebut terhadap BN. Dan soal sosial, kaum itu sedang menguasai semua kawasan pertumbuhan ekonomi baharu.

Kalau suasana PRU-13 terus berulang dalam PRU-14, dan orang muda Melayu tiada semangat pertahankan maruah bangsanya, itu adalah petanda orang Melayu akan merempat di tanah airnya sendiri.

By: Azman Anuar.

Saturday, June 29, 2013

MALAIKAT IZRAEL HAMPIRi JASAD JASA DAN BTN...

Manusia akan hidup bila jasad dan nyawa akan bersatu. Kalau ia hanya tinggal jasad , beerti itu adalah bangkai bukanya lagi digelar manusia. Kalau yang tinggal hanyalah roh, itu dinamakan jin atau polong tidak bertuan.

Roh yang baik dan disaluti dengan jasad yang menarik, pasti akan menjadikan menusia itu kelihatan begitu gah dan mantap. Tetapi jika jasad sahaja yang menarik tapi roh semakin hilang, manusia itu kelihatan longlai dan tidak lagi menampakan kehebatanya.

6 jahanam bukan mahu mengulas panjang tentang asal usul kejadian manusia mahupun sistem batang tubuh manusia ataupun jin, tetapi ianya boleh dijadikan sebagai simbolik kepada 2 agensi yang dikatakan benteng kepada negara tercinta dalam usaha mendidik anak bangsa agar memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

JASA dan BTN antara badan induk yang sepatutnya membantu kerajaan sedia ada sebagai agen parantara rakyat dan pemimpin. Ini bukan bermaksud mereka boleh menjadi perantara politikus dengan PM Najib sebagai tukang lobi calon Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya. Segala dasar yang dibawa oleh kerajaan haruslah sampai kepada rakyat melalui BTN dan JASA. Sampai bukan beerti dengan menghantar pamplet atau poster tetapi biarlah rakyat dapat menghayati semua itu dengan hati dan nurani mereka.

Menteri sudah pencen, anak buah bila lagi?

Dimana silapnya? Itu harus dijawab oleh Fuad Hassan dan Raja Arif selaku pengemudi dua kapal besar ini. Maju atau mundur sesebuah kapal sudah pasti banyak bergantung pada nakhodanya.

Kami secara tidak sengaja pernah terlibat dengan beberapa program yang JASA anjurkan. Kami juga pernah dijemput untuk hadiri seminar yang disusun atur oleh BTN. Baik JASA mahupun BTN, bagi mereka jika sesuatu program yang dianjur boleh mencecah angka yang lebih 1000 orang kehadiran sudah boleh dianggap kejayaan yang teramat besar.


Hakikatnya, mereka lebih suka kepada kuantiti berbanding kualiti. Apakah mereka sedar yang hadir dalam setiap program itu hanyalah untuk mengambil cenderahati ataupun atas arahan pihak jabatan semata-mata? Keluar dari dewan seminar, yang hadir itu jugalah akan kibarkan bendera DAP,PKR dan PAS.


Jahilnya apabila laporan yang JASA dan BTN hantar kepada YAB PM, "Kami Berjaya Laksanakan Program Bos! Kehadiran Diluar Jangkaan!". Biarpun kadang-kadang yang hadir itu terpaksa diangkut dengan jumlah bas yang begitu banyak.

Ahmad Maslan atau Raja Arif yang gagal?

Kalau beginilah cara BTN dan JASA bekerja, adalah lebih baik serahkan tugas tersebut pada JKKK atau KRT. Mereka juga mampu memikul tugas untuk jalankan program berbentuk kosmetik bagi menarik orang ramai hadir serta angkutlah peserta dengan puluhan buah bas.

Payah. Bila buat kerja hanya semata-mata mahu melihat mereka hebat di mata YAB PM biarpun tugasan itu tidak menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Wang habis dibelanjakan tetapi ianya digunakan bukan pada tempat yang betul.

Kami tidak pasti sejauh mana kebenaranya cerita tentang Dato Fuad Hassan. PRU13 banyak juga khabar yang datang ke telinga kami berhubung Dato Fuad Hasan terlalu gilakan tempat untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional di negeri Selangor. Tetapi bila nama beliau tidak dicalonkan, Fuad Hasan dikatakan sangat kecewa. Berapa banyak wang JASA ditaburkan di Bukit Antarabangsa untuk Fuad Hasan jalankan program? Saya tidak berani menulis angka wang tersebut bimbang tersalah digitnya.

Hakikatnya, JASA jalankan tugas atas dasar mempunyai kepentingan peribadi bukanya kerana agama, bangsa dan negara. Kalau kata-kata kami ini tidak betul, senaraikan pada kami 10 orang nama pegawai JASA di Parlimen ataupun DUN yang bukannya ahli UMNO setempat. Maka sebab itulah, JASA tidak mempunyai kuasa untuk menegur UMNO mahupun BN di mana tempat mereka bertugas. Bagi JASA, asalkan program jalan, laporan hantar sudah memadai tugasan aku sebagai pegawai JASA.


Biro Tatanegara juga sudah dilihat bagaikan jasad yang tidak mempunyai roh. Mereka juga tidak terlepas melaksanakan program semata-mata untuk mengampu atau menjilat YAB PM. Kuantiti adalah lebih penting berbanding kualiti. Perbanyakkan jumlah program agar laporan yang dibentangkan kepada PM Najib menunjukkan BTN lah agensi yang terbanyak jalankan program untuk rakyat. Padahal terkadang yang hadir program itu hanyalah orang UMNO semata-mata.

Tun M pernah sarankan jangan dipinda modul BTN.

Segelintir individu yang pernah hadir kursus BTN suatu ketika dahulu amat sedih apabila semangat Ketuanan Melayu tidak lagi menjadi agenda utama BTN untuk masa kini. Biarlah orang Melayu terus ketinggalan dan lupa asal usul mereka. Bagi Biro Tatangera, hati cina perlu dijaga. Akibatnya, PRU13 secara keseluruhanya Cina menolak kepimpinan PM Najib. Penceramah BTN hanya perlu bercakap soal 1Malaysia berbanding  kepentingan politik orang Melayu.

Kami juga sedar, amatlah perlu untuk kita sama-sama memikul agenda gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh YAB PM, tetapi jangan pula kita pikul atas dasar mahu mengampu kepimpinan tertinggi. Sebagai sebuah agensi yang bijak seperti BTN, mereka patut membaca suasana politik dan kehendak semasa. Apakah orang Melayu secara keseluruhanya sudah boleh menandingi orang cina pada hemat BTN? Apakah anak muda berbangsa Melayu sangat memahami sejarah asal usul keturunan mereka? Harap Raja Arif tepuk dada tanyalah hati beliau.

Maaf JASA dan BTN. Kami bukan mahu menidakkan peranan anda sepanjang tempoh dua agensi ini diwujudkan, tetapi semakin ramai yang bercakap soal kegagalan agensi anda dalam membantu YAB PM selama ini. Baik Fuad Hassan mahupun Raja Arif, carilah jalan untuk kembalikan taring yang pernah ada pada BTN dan juga JASA.

Apakah Najib Razak lebih suka jika mana-mana individu yang mengepalai sesuatu jabatan atau agensi seorang manusia yang kaki ampu? Apakah Najib Razak seorang manusia yang hanya mahu mendengar laporan-laporan yang manis walaupun laporan tersebut penuh dengan kepalsuan dan tidak telus? Kalau inilah sikap PM Najib, alangkah malangnya Malaysia yang kami cintai.

Sekarang ramai pihak mula merasakan yang nyawa BTN dan JASA semakin hampir kepada penghujungnya. Barangkali malaikat Izrail sudah menghampiri kedua-dua agensi yang tercinta ini untuk diambil nyawa mereka. Cita-cita pembangkang untuk lenyapkan fungsi BTN dan JASA semakin tercapai. Mereka tidak lagi gentar dengan kehadiran BTN dan JASA. Kalaupun ada 100 agensi BTN dan JASA di Malaysia, bagi pembangkang ia hanyalah satu jasad yang tidak lagi bernyawa atau dengan terma lain BTN dan JASA hanyalah bangkai busuk yang menunggu reput dimamah semut hitam.

Pesan kami untuk PM Najib. Jenguk-jenguklah dua agensi utama ini. Kepada menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia JASA dan BTN, buatlah sesuatu yang serius agar kedua-dua agensi ini tidak hancur ditelan zaman.
 
By: 6 Jahanam.

Friday, June 28, 2013

KEPUTUSAN PRU 13 BUKTI PAS MENGUATKAN BUKAN ISLAM DI MALAYSIA.

Bekas penganalisis portal pro-pembangkang, Malaysiakini, Helen Ang merumuskan slogan ‘Ubah’ dan ‘Ini Kalilah’ yang dipopularkan DAP berjaya melonjakkan kekuatan parti itu di parlimen.
Kempen bersungguh-sungguh DAP melalui slogan Cina ‘wu yue wu, huan zheng fu’ yang bermaksud ’505 atau ‘lima bulan lima, tukar kerajaan,’ walaupun tidak mampu menukar rejim, namun kedudukan DAP di parlimen mengatasi kompenan parti-parti pembangkang, PKR dan Pas sudah cukup menggembirakan.
Kegembiraan DAP tentang keputusan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) itu dilaporkan The Star pada 7 Mei, iaitu dua hari selepas hari pengundian.
Pada PRU 13, DAP mendapat 38 kerusi parlimen menjadikan parti itu paling dominan dalam pakatan pembangkang, meskipun parti itu bertanding paling sedikit, 51 kerusi, dibandingkan Pas dan PKR.
Pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12), DAP bertanding 47 kerusi, dan memenangi 28 kerusi parlimen, melonjak kemenangan 10 kerusi lagi pada PRU 13.
Berbanding dengan Pas yang berjaya menambahkan bilangan kerusi bertanding daripada 66 kerusi (PRU 12) kepada 73 kerusi (PRU 13), namun keputusannya pada 5 Mei, parti itu hanya memenangi 21 kerusi merosot 2 kerusi jika dibandingkan PRU 12.
Menurut Helen keputusan PRU 13 memberi impak besar dalam langskap politik pembangkang Malaysia, iaitu ahli parlimen pembangkang Muslim semakin berkurangan bilangan mereka dan ahli parlimen bukan Islam semakin bertambah.
Helen yang mengupas persoalan itu di dalam artikelnya bertajuk “Di sebalik nekad untuk tumbangkan kerajaan” merumuskan peralihan kekuatan pembangkang kepada bukan Islam seperti jadual di bawah.
Pendapat Helen hampir sama analisis jadual dan carta pai yang dilakukan Utusan Malaysia yang menunjukkan kuasa pembangkang bukan Melayu lebih tinggi, 56.18 peratus berbanding dengan kuasa Melayu-Islam, 43.82 peratus.
Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bertunjangkan kekuatan pribumi/bumiputera dan Melayu-Islam berbanding dengan pembangkang berteraskan kekuatan bukan Melayu-Islam.
“Pembaharuan yang ditawarkan Pakatan ialah tahaluf siyasi di antara puak Islam dengan puak Kristian.
“Di kalangan wakil-wakil Pakatan, yang paling kuat serta berpengaruh ialah evangelista,” rumus Helen Ang.
Manifestasi peningkatan pengaruh evangelista itu dibuktikan dengan pelantikan Hannah Yeoh sebagai SpeakerDewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Di negara kita, khususnya di Jerusubang (Subang, Petaling Jaya), kewujudan gereja-gereja evangelis adalah di luar batas undang-undang kerana rumah ibadat mereka didaftarkan sebagai syarikat-syarikat RM2.
“Selain di Jerusubang, evangelista juga mempunyai pengaruh ke atas The J-Star (The Star) yang ketua pengarang kumpulannya jelas seorang Kristian ‘lahir semula’.
“MCA kelihatan mendokong segala percaturan yang disusun si evangelista kerana parti Cina tersebut mengizinkan media yang dimilikinya (The Star) itu untuk bertindak sesuka hati tanpa apa-apa kawalan, ” rumusnya lagi.
Peri pentingnya Hannah Yeoh sebagai simbolik kemenangan DAP pernah diluahkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng kepada Malaysiakini.
Menurut Guan Eng, meskipun kecewa tidak mendapat tambahan kerusi exco di Selangor, namun kekecewaan itu diubati dengan pelantikan Hannah sebagai Speaker DUN.
“Pencapaian bersejarah beliau (Hannah) bagi pihak DAP berjaya mengubat kekecewaan yang dirasakan oleh DAP dalam pengumuman barisan Exco oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini, meski pun memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Walaupun kecewa, DAP akan terus bergerak maju dan berharap supaya Tan Sri Khalid Ibrahim akan menepati komitmen beliau kepada DAP untuk memberikan lebih banyak ruang untuk memainkan peranan pada masa akan datang,” kata Lim.
Menurut Helen, pemikir evangelista bijak menyembunyikan identiti Kristiannya dengan mengekalkan nama Cina ketika bergiat dalam DAP.
Salah seorangnya, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen DAP Kluang.
Liew Chin Tong merupakan Pengarah Eksekutif REFSA (Research For Social Advancement), badan pemikir DAP yang mula-mula bekerjasama dengan yayasan demokrasi Amerika Syarikat, NDI (National Democratic Institute), seawal tahun 2005 untuk membuka ruang kepada penubuhan BERSIH tiga tahun selepas itu.
Liew Chin Tong yang juga Ketua biro pendidikan politik DAP berkata kepada Malaysiakini bahawa perasaan tidak senang kaum bukan Melayu terhadap kerajaan bersemai sejak sebelum PRU 12, dan dibuktikan dengan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya tahun 2008.
“Terdapat usaha (dari perdana menteri) untuk membaiki perkara ini dengan konsep 1Malaysianya, namun ia akhirnya dilihat tidak lebih daripada usaha penjenamaan untuk barangan murah.
“Sekarang ini, Pas pula dilihat lebih sederhana berbanding UMNO,” katanya.
Menurutnya, ia mula berlaku sejak pilihan raya tahun 2008 lagi dan pilihan raya lalu menyaksikan mereka dari kumpulan umur lain turut beralih arah menyokong Pakatan.
Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock dan isu loji nadir bumi Lynas memberi kesan kepada kecenderungan politik orang Cina, di samping peranan besar yang dimainkan laman media sosial seperti Facebook.
“Sebelum ini, hanya orang lelaki yang berminat dalam perbincangan politik.
“Kini dengan Facebook, golongan wanita juga mengambil bahagian dalam perbincangan politik mengikut keselesaan mereka,” katanya lagi.
Pendapat Helen Ang, Liew Chin Tong yang dibuktikan melalui data keputusan PRU 13 sudah tentu menafikan secara total kempen Pas secara retorik sebelum PRU 13.
Sebelum PRU 13, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkempen bahawa kuasa Melayu-Islam akan menjadi lebih kuat apabila parti berteraskan Islam itu membuat keputusan untuk bersama PKR-DAP dalam Pakatan Rakyat.
“Islam akan kuat (bila Pas dalam Pakatan)…Islam akan kuat, (kalau bersama UMNO) dengan apa yang ada sekarang Islam lemah,” tegasnya.
Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilaporkan Harakahdaily berkata Pas akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.
Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, Pas tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat.
“Pas memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…Pas keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (Pas) bersama Pakatan Rakyat,”tegasnya.

BY: AIDC.

TUNTUTAN TERSURAT DISEBALIK TERSIRAT.

POLEMIK tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh beberapa pertubuhan bukan Islam sejak kebelakangan ini menimbulkan pelbagai perbahasan antara ilmuwan agama dan ahli akademik mahupun pakar perundangan.

Tuntutan itu sebenarnya mewujudkan pelbagai konflik sehingga isu itu dijadikan modal politik murahan.

Melalui pengamatan, konflik berkenaan tercetus apabila satu majalah Katolik menggunakan kalimah Allah dalam salah satu siri terbitannya sehingga menyebabkan kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri bertindak merampas penerbitan itu.

Tindakan tersebut sebenarnya mematuhi keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet pada 16 Mei 1986 yang melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan empat perkataan iaitu Allah, solat, Baitullah dan Kaabah.

Krisis berkenaan tidak berhenti setakat itu sahaja apabila Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan gereja dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan itu adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah hal eksklusif kepada agama Islam.

Hal tersebut terus berpanjangan apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Lee Bau Lan membenarkan permohonan berkenaan. Buat masa ini, kes itu masih didengar di mahkamah untuk prosiding seterusnya.

Situasi tersebut menyebabkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk pihak berkuasa agama membantah sekeras-kerasnya tuntutan tersebut lalu meminta pihak terlibat untuk menghentikan tindakan itu.

Tetapi isu berkenaan harus dijawab dengan perbincangan ilmiah dan bukannya emosi agar persoalan berkenaan boleh diselesaikan dengan baik. Hal ini kerana kebanyakan perbincangan mengenai perkara itu, terutamanya di laman web dilakukan daripada aspek politik dan bukannya keagamaan.

Menurut pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohamed Ajmal Abdul Razak al-Idrus, isu berkenaan telah diperbesarkan sebagai sesuatu yang melanggar hak untuk mengamalkan kebebasan beragama seperti yang terkandung dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, dakwaan itu adalah tidak benar memandangkan sejarah tanah air tidak pernah menyaksikan berlakunya pertelingkahan agama.

"Kita tidak pernah menyaksikan tragedi seperti di Myanmar apabila umat Islam Rohingya dibunuh secara tragis. Malah kita tidak pernah terlibat dalam penghapusan etnik seperti di Bosnia.

"Sekiranya kita mempelajari sesuatu daripada kesemua peristiwa itu, kemelut yang dikaitkan dengan isu kalimah telah membuatkan warganegara Malaysia lebih prihatin mengenai natijah provokasi sensitif akan kedudukan rapuh masyarakat berbilang bangsa," jelas beliau.

Oleh demikian, kata Mohamed Ajmal yang pernah merasai peristiwa berdarah 13 Mei 1969, rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana keamanan dikecapi selama ini dan seharusnya tidak membuat kesimpulan dengan meniupkan sentimen.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega Utusan Malaysia baru-baru ini bagi mengulas buku tulisannya Mencari Nama Tuhan: Penganut Kristian dan Hak Penggunaan Kalimah Allah untuk menjawab kekeliruan yang timbul.

<

span class=crosshead>Fakta sejarah

Dalam buku setebal 62 muka surat itu, Mohamed Ajmal memulakan karyanya melalui sejarah ringkas mengenai terjemahan kitab Injil ke dalam bahasa Melayu.

Kata beliau, walaupun terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak terhadap isu tersebut. Masing-masing tidak menguasai isu dengan mencukupi dan sepenuhnya.

"Lebih malang terdapat umat Islam menyokong usaha pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dengan menggunakan budaya tolak ansur yang dilihat mengkhianat dan membelot.

"Kemurahan hati individu-individu ini untuk menyerahkan segalanya milik Islam kepada orang lain adalah satu kompromi yang memperkecilkan kedudukan agama kita secara am dan merompak identitinya," ujar Mohamed Ajmal.

Dalam pada itu, salah satu daripada hujah yang kerap diulangi oleh penganut Kristian dan penyokong mereka adalah kalimah Allah telah dimulakan sejak 400 tahun lalu dalam Kitab Injil Melayu iaitu pada 1612.

Mohamed Ajmal menerangkan, sejarah terjemahan kitab Injil Bahasa Melayu yang merupakan kitab pertama bukan dalam bahasa Eropah dihasilkan di mana beliau merumuskan mengapa tidak digunakan bahasa lain.

Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh persepsi mereka berbeza terhadap orang Melayu.

Mengulas lanjut, Mohamed Ajmal berkata, seorang paderi bernama Albert Cornelius Ryul telah menterjemahkan kitab Gospel Mark dan Mathhew ke dalam bahasa Melayu pada 1612 tetapi tidak diterbitkan sehinggalah pada 1629 di Enkhusyen dan 1638 di Amsterdam.

Tambah beliau, Paderi M. Van Hassel, salah seorang daripada pengarah Syarikat India Timur pada 1646 telah menyelesaikan kitab Gospel Luke & John. Lima tahun kemudian, kesemuanya bersama satu lagi kitab bertajuk, Act Of Apostles dikeluarkan.

"Kitab Injil Melayu pertama yang lengkap mengandungi perjanjian pertama dan kedua hanya dikeluarkan pada 1731 dan 1733. Pengeluaran ini menggunakan huruf rumi manakala Kitab Injil Melayu pertama yang menggunakan huruf bahasa Arab diterbitkan pada 1822 oleh Paderi R.S. Hutchings.

"Fakta-fakta itu menyimpulkan bahawa kitab Injil Bahasa Melayu yang dikatakan mengandungi kalimah Allah bukannya dikeluarkan pada 1612 seperti digembar-gemburkan," jelas Mohamad Ajmal.

Kenyataan mereka bahawa kitab Injil bahasa Melayu dikeluarkan pada tahun tersebut untuk menunjukkan bahawa penggunaan kalimah Allah di Tanah Melayu dibawa masuk oleh mereka. Sedangkan mengikut sejarah sebenar ia dilakukan oleh pedagang India Muslim dan Arab Islam.

Namun, menurut Mohamed Ajmal, fakta-fakta berkenaan jelas menunjukkan bahawa kalimah Allah wujud di makalah penganut Kristian. Tetapi kenyataan itu tidak bermakna orang Melayu membenarkan penggunaannya oleh yang bukan beragama Islam.

Hal ini jelas beliau, kerana orang-orang Melayu ketika itu sedang dijajah. Mereka tidak pernah memberi kebenaran. Apa lagi mengikut resam penjajah iaitu mengambil apa yang dikehendaki dan memberi mengikut suka.

Dakyah penggunaan

Bahasa Melayu berasal daripada kekayaan perbendaharaan menerusi bahasa-bahasa lain. Sebab itu terdapat dakwaan mengatakan kerumitan untuk mempelajarinya kerana perbendaharaan kata yang luas.

Mohamed Ajmal berkata, oleh sebab itu orang Melayu menjadikan kebanyakan perkataan berkenaan dengan menggunakan dalam konteks sendiri.

Begitu juga dengan penggunaan kalimah Allah yang digunakan sebagai maksud tuhan.

"Hal demikian juga dinyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan kerana bukan berasal daripada bahasa Melayu selain ia merupakan nama khas.

"Sekiranya dalam bahasa Melayu dapat diganti, sudah lama kita menggunakan kalimah tuhan. Maka sudah tentu Allah tidak digunakan. Hatta sekalipun ketika berdoa, kita menggunakan 'Ya Allah Ya Tuhanku', tidak pula 'Ya Tuhanku, Ya Allah'," jelas Mohamed Ajmal.'

Namun demikian, kata beliau, penganut Kristian menegaskan bahawa mereka telah memilih untuk menterjemahkan kitab Injil iaitu kalimah Allah bermaksud Tuhan dan seterusnya diistilah sebagai Tuan. Tetapi dalam bahasa Melayu, tuan untuk konteks manusia.

"Dalam kitab Injil Melayu Moden pada 1677, digunakan kalimah Allah, Isa dan Allah Tuhan. ketiga-tiga itu sebenarnya boleh mengelirukan. Sebagai contoh kalimah 'Allah Tuhan' seharusnya ditulis 'Tuhan Allah'," tegas Mohamed Ajmal.

Beliau menambah kedegilan penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah boleh mengelirukan umat Islam Melayu dan akan menimbulkan syak yang wajar dan sebagai contoh 'Allah berkata dalam kitab'.

Konteks berbeza

Ketika merumuskan mengapa orang Arab Kristian menggunakan kalimah Allah, Mohamed Ajmal berkata mereka menyatakan dalam konteks yang berbeza kerana kalimah itu disebut sebagai Allah al-Ab (Tuhan bapa), Allah al-Ibn (Tuhan anak) dan Allah Ruh al-Qudus (Tuhan roh kudus).

Jelas beliau, orang Arab Kristian menggunakan kalimah Allah bermaksud tuhan secara am. Tetapi umat Islam pula menggunakan dengan maksud khas. Bahkan kedua-duanya memahami maksud tersirat dan tersurat penggunaan kalimah Allah.

Beliau menyatakan, memang umat terdahulu menggunakannya tetapi berlaku dalam peredaran zaman yang wahyu seterusnya membetulkan.

"Proses ini berakhir dengan agama Islam. Maka tidak hairanlah apabila kalimah Allah pun turut wujud dalam kitab agama Hindu, Veda," kata Mohamed Ajmal.

Maka kata Mohamad Ajmal, konteks penggunaan kalimah Allah orang Melayu jauh berbeza daripada orang Arab Kristian dan penggunaanya tidak boleh dijadikan sebagai panduan di Malaysia.

"Pihak yang menuntut bukan kerana masyarakat Arab berlainan agama mengamalkannya tetapi kerana orang Melayu Islam Malaysia menggunakannya.

"Ia berpaksi kepada hujah bahawa orang Melayu mengguna kalimah Allah untuk menyeru kepada tuhan. Oleh demikian mereka menggunakan untuk tujuan sama walaupun diketahui konsep berbeza," ujar beliau.

Sehubungan itu, Mohamed Ajmal berkata, perkataan tuhan lebih tepat dalam konteks Kristian kerana ia menggambarkan fahaman mereka lebih satu tuhan berbanding konsep tauhid iaitu keesaan satu tuhan di sisi agama Islam.

"Jika kita membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah seolah-olah memperakui dan mengiktiraf terhadap penjajah," tegas pensyarah itu.

By: Juani Munir Abu Bakar.

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik