Wednesday, July 31, 2013

NASIB MELAYU BERULANG LAGI....

Bila pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi) dipenjarakan atas kesalahan menghina Islam di bulan Ramadhan, sebelum ini mengeposkan gambar hubungan seksnya dalam laman sosial, heboh satu dunia, seolah-olah tidak ada apa lagi yang perlu dibicarakan. Mahkamah tidak adillah dan macam-macam lagi alasan bagi membebaskan mereka ini.

Mereka dikatakan masih muda dan kesalahannya perlu dimaafkan. Lebih kiasu lagi, ada membandingkan kes ini sama seperti Ibrahim Ali (bakar kitab injil), Zulkifli Nordin (ceramah), termasuk juga saya (tulisan). Situasi saya kami berbeza dengan Alvivi. Saya mempertahankan hak kepada yang berhak. Sama ada orang lain dapat menerima atau tidak, terpulang…yang penting, saya tahu apa saya lakukan dalam negara demokrasi.  

Ekoran daripada itu, empat lelaki Melayu setakat ini telah ditahan dan akan dibicarakan, didakwa bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan. Ketika meninggalkan mahkamah, suspek, sambil bergenang air mata sempat melaungkan: "Allahu Akhbar".

Jarang kedengaran orang yang melakukan kesalahan, bertakbir, kecuali dalam kes ini dan beberapa  kes terpencil. Mungkin mereka merasakan tindakannya itu betul. Tuhan sahaja yang tahu.

Malangnya, tidak kedengaran suara membela mereka. Tiada siapa yang peduli, berbanding dengan Alvivi. Apakah anak muda ini tidak muda dan tidak ada masa depan? Apakah tenaga mereka tidak perlukan untuk negara? Apakah anak muda tidak berkelakuan baik seperti dakwaan ibu bapa pasangan itu akan betapa baiknya anak mereka?

Terus terang, saya tidak menyokong anak muda Melayu tersebut, tetapi saya amat bersimpati, kerana saya dapat menyelami dan menjiwai perasaan mereka. Saya amat memahami orang Melayu dan nasib Melayu.

Menurut laporan, kejadian culik itu dikaitkan dengan pasangan kontroversi Alvivi yang didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu "Alvin and Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers.

Ketika kejadian, Mun Tatt sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran, diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta. Mun Tatt yang mendakwa turut dikasari, dibogelkan dan diconteng badannya dengan perkataan "saya hina agama slam".

Dalam sidang media di Klang, Mun Tatt berkata, penculik mengasari, menconteng perkataan di badannya dan memeras wang daripada abang iparnya. Benar atau tidak, hanya Tuhan yang tahu. Biar polis menjalankan siasatan.

Saya tidak pasti, sama ada kes ini ada kaitan atau tidak dengan Alvivi. Bukan tujuan saya juga untuk membela mereka, salah tetap salah. Tetapi kita perlu lihat juga kenapa anak muda Melayu ini bertindak sedemikian?

Saya hanya ingin membawa pembaca menilai kedua kes ini dengan lapang dada. Dalam kes Alvivi, saya lihat ramai bukan Islam tampil ke hadapan mengatakan keputusan mahkamah itu salah. Yang betulnya, mereka sepatutnya dibebaskan dan dibenarkan ikat jamin.  

Dalam kes anak muda Melayu ini, mereka juga tidak dibenarkan ikat jamin. Tidak ada siapapun bersuara, semua orang mengatakan tindakan itu salah dan salah. Tidak ada berani yang tampil berkata, tindakan mereka itu bersebab, walaupun salah. Nasib Melayu berulang kembali.

Selalu saya ingatkan, jangan cabar orang Melayu, nanti dia mengamuk susah dibuatnya. Saya kenal sangat dengan Melayu, walaupun saya Cina.

Sesekali terfikir juga, tindakan anak muda Melayu ini sebenarnya merupakan ingatan terhadap sesuatu kaum supaya jangan biadap. Tidak kurang juga kepada kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar lebih tegas. Adalah tidak mustahil suatu hari nanti, keadaan akan menjadi lebih buruk, jika penghinaan terhadap Islam tidak dibendung. Orang Melayu amat sensitif dengan agama walaupun mereka tidak solat atau tidak puasa.

Mungkin kita beranggapan bahawa tindakan anak muda ini bodoh atau orang Melayu terlalu beremosi dan sensitif.

Saya boleh bersetuju dengan pendapat bahawa semua ini adalah hasil manifestasi cara orang Melayu bertindak balas apabila mereka dicabar dan dihina. Bayangkan jika pasangan ini dilepaskan, selepas empat anak muda ini didakwa, sudah tentu kemarahan anak muda Melayu akan menjadi semakin meluap.

Justeru, mengambil iktibar daripada kedua kes ini, saya dapat simpulkan bahawa, pertama; agama Islam adalah isu yang amat sensitif bagi orang Melayu, ibarat darah dan daging, walaupun mungkin orang Melayu itu penagih dadah. Mungkin pada orang Cina, agama itu kurang penting dalam kehidupan, yang lebih penting adalah ekonomi. Tetapi tidak kepada Melayu.

Kedua; Hentikan penghinaan kepada semua agama. Namun, penghinaan terhadap agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain, walaupun secara prinsip kita semua tidak boleh menghina agama lain. Oleh kerana agama Islam, adalah agama persekutuan, kedudukannya lebih mengikat.

Akhirnya, bertindaklah dengan tegas terhadap mereka yang secara mengaja mempersendakan agama Islam, tanpa menoleh lagi.
Posted by : Ridhuan Tee.

Tuesday, July 30, 2013

KEKALUTAN HALA TUJU CETUS KRSIS DI MESIR.

mesirdipersimpangan

Rusuhan di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir yang menghimpunkan lebih setengah juta orang dan mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak, lima orang terkorban serta lebih sepuluh orang tercedera beberapa hari lalu adalah satu petunjuk bahawa bukanlah mudah untuk memelihara kestabilan dan keamanan.

Pada 2011, rusuhan yang berlaku mendesak pengunduran Hosni Mubarak yang memerintah lebih tiga dekad menjadi petunjuk keresahan rakyat, tetapi rusuhan kali ini membawa refleksi bahawa Mesir sebenarnya tidak mudah menerima kepimpinan politik Islam.

Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.

Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.

Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.

Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.

Morsi juga terpaksa mengetepikan diri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.

Morsi pernah membuat permohonn bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.

Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.

Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.

Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar. Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.

Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.

Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.

Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.

Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan kelemahan itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan revolusi kebangkitan rakyat kedua.

Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah kuasa yang diwujudkan. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.

Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Iktibar penting daripada peristiwa terkini dalam percaturan politik di Mesir bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian dan perdamaian nasional merupakan sesuatu yang sangat mahal harganya. Di negara kita, elemen-elemen inilah yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini yang tidak akan digadaikan semata-mata menuruti kehendak sesetengah pihak yang mahukan perubahan landskap politik negara.

Perubahan yang tidak disertai dengan kesedaran dan kesepakatan secara menyeluruh oleh semua komponen masyarakat akan hanya dapat menghasilkan suasana huru-hara dan kekalutan politik. Hakikatnya apa yang lebih utama adalah merangka dan menyusun agenda perpaduan dan kesatuan semua elemen masyarakat bagi mewujudkan pemerintahan yang mantap dan stabil.

Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.

By: Shauki Abd Majid.


Saturday, July 27, 2013

APAKAH KERAJAAN TIDAK BERDAULAT?

Pada 19 Julai 2013, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong), dalam sidang akhbarnya di ibu negara, menolak keputusan Kementerian Pendidikan untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC. 

Peraturan baru yang melibatkan pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam itu, dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di SJKC. Persoalan saya, siapakah mereka? Adakah mereka ini kerajaan?

Isu ini telah dibawa berbincang sekian lama, kerajaan telah membuat keputusan, tetapi tidak pernah ada penyelesaikan kerana terus menerus ditentang oleh kumpulan ultra kiasu ini. Apa jua usaha kerajaan untuk penambahbaikan dan memartabatkan BM di SJKC dilihat menggugat bahasa Cina (BC). Akhirnya, kita pun mengalah.

Maka tidak hairan, kumpulan pendidik Cina mahukan Kementerian Pendidikan mengkaji semula peraturan baru mengenai waktu P&P BM dan BI di SJKC, yang akan bermula tahun depan.

Saya boleh bersetuju jika SJKC berada di negara China. Malangnya, SJKC berada di Malaysia. Suka atau tidak, SJKC mesti menjunjung perlembagaan negara. Selaku bapa kepada anak yang berada di SJKC, saya gembira dengan peraturan ini. Laksanakanlah.

Untuk makluman semua, di bawah peraturan baru ini, waktu pembelajaran BM akan meningkat daripada 80 minit seminggu kepada 270 minit seminggu, manakala bagi BI dari 120 minit kepada 150 minit dan Bahasa Mandarin dikekalkan pada 300 minit. Justeru, apa masalah?

Melihat kepada kedudukan BM dalam perlembagaan, ternyata arahan ini tidak memadai untuk mendaulatkan agenda negara. Sepatutnya ditambah lagi menjadi sekurang-kurangnya 500 minit seminggu. Ini kerana, kerajaan telah bermurah hati membenarkan SJKC beroperasi secina-cinanya. Takkan agenda nasional tidak boleh mengakar?     

Kumpulan ini bertegas, P&P BM selama 210 minit dan BI 210 minit sudah mencukupi. Mereka mahu segera bermesyuarat Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan perkara ini. Persoalan saya, jika kerajaan bersetuju, apakah mereka boleh memberi menjamin, selepas ini sebahagian besar produk SJKC akan dapat menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam BM dan lulus cemerlang? Jika tidak sekolah ini akan diserapkan ke dalam pendidikan kebangsaan? Kerajaan perlu tegas dalam hal ini.

Perkara ini tidak perlu dimesyuaratkan lagi. Laksanakan terus, jika masih berdegil, tutup sahaja sekolah tersebut atau serapkan dalam sekolah kebangsaan. Lagipun boleh dikatakan tidak ada seorang daripada kalangan mereka yang mengundi BN, walaupun kerajaan memberikan segala bentuk bantuan kepada SJKC termasuk juga Sekolah Persendirian Cina (SPC) yang tidak kaitan langsung.

Apakah mereka sengaja tidak sedar kesan daripada SJKC telah mengurangkan P&P dalam BM. Akibatnya, ramai anak Cina tidak boleh menulis, bertutur dan berkomunikasi dalam BM kerana agenda negara dikesampingkan. Mana ada negara di dunia yang mempraktikkan amalan sebegini. Kita semakin melahirkan ramai ultra kiasu, seperti Alvivi dan kumpulan yang menterbalikkan jalur gemilang.

Saya amat yakin, walaupun mereka tidak menjelaskan, bahawa bantahan mereka terhadap peraturan kerana ia akan menjejaskan PP bahasa Cina (BC). BM akan mengambil lebih masa, pelajar SJKC akan disusahkan untuk menghafal dan memahami BM, ini akan menjejaskan penguasaan mereka dalam BC.

Apa salahnya jika pelat (kurang pandai) sedikit dalam BC. Tetapi kita baik dalam BM selaku bahasa negara. Kenapa mahu jadi Cina secina-cinanya. Cina di negara Chinapun tidak secina Cina di Malaysia.

Pendek kata, apa jua penambahan subjek di SJKC yang boleh menggugat atau mengambil sedikit masa subjek BC tidak akan dipersetujui apa jua cara sekalipun.

Keputusan kerajaan ini selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Nasihat saya kepada Kementerian Pendidikan, jika kita terlalu bertegas kepada Sekolah Kebangsaan (SK), kenapa tidak SJKC.

Apa jua agenda kebangsaan terutama melibat BM mesti dilaksanakan tanpa perlu berbincang lagi. Jika Kumpulan Pendidik NGO ini tidak bersetuju, itu hak mereka. Usah dipedulikan. Hak bernegara mesti dilaksanakan. Agenda negara mesti diutamakan berbanding agenda bangsa atau kumpulan tertentu.

Kenapa SK boleh patuh dan laksanakan apa jua polisi kerajaan tetapi tidak SJKC? Melayu tetap patuh, tetap taat. Di manakah daulat sesebuah kerajaan itu jika semua keputusannya boleh ditolak mentah-mentah? Kerajaan menjadi berdaulat adalah apabila sesuatu keputusan dibuat demi kepentingan negara, ia mesti dilaksanakan, suka atau tidak. Jika tidak suka, carilah tempat yang kita suka, tetapi bukan di sini. Nasihat saya, jangan sampai kerajaan yang berdaulat, kelihatan sudah tidak ada daulat.

Justeru, beberapa saranan berikut hendaklah diambil kira demi masa depan negara tercinta. Pertama, laksanakan keputusan yang telah dibuat tanpa menoleh lagi. Keputusan baharu ini dikira amat bertoleransi.

Kedua, Tambah guru BM di SJKC, tanpa perlu patuh kepada syarat NGO ini supaya guru BM mesti mendapat kredit dalam SPM dalam BC.

Ketiga, laksanakan peraturan agar BM dipertuturkan setiap hari. Paling kurang, separuh hari daripada masa persekolahan.

Keempat, segala pengumuman waktu persekolahan dalam BC mesti diterjemahkan dalam BM. Paling baik, BM didahulukan, diikuti terjemahan dalam BC. Itu baru nama bahasa negara didaulatkan.

Kelima, aktiviti-aktiviti BM mesti diperbanyakkan. Misalnya, pertandingan bercerita, berdebat dan menulis karangan BM. Aktiviti ini mesti dilakukan sekerap mungkin. Sediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Saya yakin PIBG mereka mempunyai banyak wang untuk menyediakan hadiah ini.

Keenam, Mereka yang gagal BM mesti mengulang sehingga mereka lulus dalam subjek ini. Mereka tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam BM. Mereka hanya boleh naik darjah jika lulus BM. Untuk berlaku adil, polisi ini hendaklah juga dilaksanakan di SK. Saya yakin, jika dilaksanakan, keputusan dan perubahan akan berlaku.

Ketujuh, sediakan buku kerja kepada anak-anak ini supaya menambah perbendaharaan kata (vocabulary) mereka setiap hari. Setiap hari perkataan BM mereka mesti bertambah.

Kelapan, ketika waktu cuti sekolah, pelajar-pelajar ini mesti diberikan assignment seperti pergi melawat kampung-kampung Melayu. Pelajar Melayu di SK juga boleh pergi ke kampung-kampung Cina.

Kesembilan, ujian lisan hendaklah diadakan sebelum boleh dibenarkan untuk pergi ke kelas menengah. Perkara ini amat penting bagi memastikan mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar Melayu. Masalah yang timbul hari ini ialah apabila mereka tidak dapat berkomunikasi, berlaku inferioriti kompleks. Mereka sukar untuk bertutur dan seterusnya bergaul.

Kesepuluh, signage atau nama-nama, termasuk nama sekolah hendaklah meletakkan BM terlebih dahulu, diikuti dengan bahasa ibunda, dan BI jika perlu. Seperti amalan hari ini, BM hanya berada di tempat ketiga selepas BC dan BI, selepas itu baharulah BM.

Kesebelas, ibu bapa pelajar SJKC mesti membantu anak-anak mereka berkomunikasi dalam BM. Biasa-biasalah menonton dan mendengar saluran TV dan radio dalam BM, terutama siaran berita. Sosialisasi ini amat penting supaya pelajar tersebut tidak terasa asing dalam persekitaran Melayu. Jika saban hari mendengar membuka dan mendengar saluran Cina (Tamil) 24 jam, bagaimana sosialisasi ini boleh membantu.

Saya amat yakin, jika kita melaksanakan sebahagian daripada cadangan inipun sudah cukup untuk membantu anak-anak kita untuk memandaikan mereka dalam BM. Jika kita terus bermain tarik tali, sampai bila-bilapun negara ini akan terus bermasalah, sedangkan orang lain telah jauh meninggalkan kita. Kita pula tidak habis-habis membuang masa dan tenaga serta harta benda, memikirkan untuk menyelesaikan perkara yang sepatutnya telah selesai sekian lama, tanpa perlu dibicarakan lagi. Berdaulatkah kerajaan kita sebenarnya?

By: Dr. Ridhuan Tee.

Wednesday, July 24, 2013

APABILA SYURGA DAN NERAKA JADI MILIK PAS.

R

Setelah bersara lebih dua bulan lepas dari jawatan Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul kembali di Kuala Besut baru-baru ini dengan isu lamanya.

Dalam ceramah di Kampung Beris Pak Abu, Besut, Terengganu itu, Mursyidul Am Pas itu kembali memainkan isu kafir mengkafir dan syurga neraka. Ini dalam usaha partinya menarik sokongan pengundi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Rabu ini.

Seperti biasa beliau mengulangi kenyataannya bahawa UMNO menolak Islam dan mengambil perjuangan yang dibawa oleh Inggeris.

"UMNO tolak Islam ambil 'kebangsaan'. Parti mereka pun guna bahasa Inggeris sampai susah hendak sebut tetapi nak bela orang Melayu," katanya.

Apa yang disebut-sebut oleh Nik Abdul Aziz bukan benda baharu. Acap kali itulah yang diuar-uarkannya. Ketika suasana pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau sebelum ini pun, bukan sahaja Nik Abdul Aziz malahan pemimpin parti itu yang lainnya begitu juga nadanya.

Mereka mengatakan sokongan kepada Pas akan dijanjikan syurga, sebaliknya jika menyokong BN, pengundi akan berhadapan balasan perlu dihentikan.

Kita umat Melayu cukup sedih apabila malam tadi Nik Abdul Aziz mengungkapkan kenyataan yang seolah-olah ada yang tidak kena dengan orang Melayu. Apa salahnya untuk UMNO membela orang Melayu. Apa salahnya untuk UMNO yang membawa panji Barisan Nasional di Kuala Besut membela hampir 97 peratus pengundi Melayu dalam pilihan raya kecil di situ.

Kita tertanya-tanya apa motif beliau apabila mengungkapkan: "Bela bangsa Melayu boleh bawa bekal ke akhirat? Adakah di akhirat akan ditanya kamu bangsa apa? Melayu, terus boleh masuk syurga, senanglah kalau macam tu. Bangsa tidak boleh buat apa-apa di akhirat."

Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka yang sama sekali berbeza dengan politik dan perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat.

Kita umat Melayu juga cukup sedih apabila pemimpin Pas ini turut mendakwa UMNO telah merosakkan pemikiran umat Islam di negara ini kerana membina terlalu banyak masjid.

"UMNO suruh buat masjid tetapi mereka sendiri tidak sembahyang. Mereka hanya nak dapatkan kontrak buat masjid sahaja," katanya.

Benarkah begitu? Begitu dahsyat tuduhan itu sedangkan Pas tidak begitu komited ambil usaha untuk dirikan masjid. Ketika semua masjid yang ada di Kelantan dibina oleh Kerajaan Persekutuan atau peninggalan pembangunan yang dibawa oleh BN ketika mentadbir negeri itu pada 1978-1990, Pas tampil tanpa rasa malu mengakui hanya membina sebuah masjid, iaitu Masjid Jubli Emas Sultan Ismail Petra, di Rantau Panjang. Itu, dengan nada tinggi pula, mendakwa ia daripada wang sendiri tanpa bantuan Kerajaan Pusat sejak mentadbir negeri itu lebih 20 tahun lepas.


Tidak berapa lama dulu Nik Abdul Aziz pernah sibuk menjaja isu syurga dan neraka, seolah-olah dirinya 'penjaga kunci' yang akan menentukan orang yang sokong Pas masuk syurga dan orang UMNO masuk neraka.

Sebelumnya, beliau dengan selamba menyatakan kesediaan 'bersahabat dengan syaitan' semata-mata untuk menjustifikasikan perlunya hubungan kerjasama Pas dengan DAP. Kita tidak tahu sama ada itu berupa 'analogi' atau tidak, tetapi sepatutnya tidak keluar daripada mulut seorang pemimpin Islam.

Banyak kenyataan mencurigakan keluar dari mulut Nik Abdul Aziz. Antaranya, mendakwa orang Islam yang menyokong UMNO tidak akan mendapat pahala meskipun menunaikan sembahyang sebagaimana difardukan dalam Islam.

Alasannya konon kerana UMNO menerima dasar kebangsaan yang ditakrifnya sebagai menolak Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Malahan beliau sanggup pula mengeluarkan kenyataan sebegini rupa sekitar Januari lalu:

"Menteri itu akan masuk neraka, tidak ada kuasa yang boleh menyekat dia masuk neraka kecuali syafaat Nabi Muhammad SAW."

Seolah-olah mempunyai kuasa menentukan balasan seseorang, Nik Abdul Aziz 'memutuskan' bahawa menteri yang bertanggungjawab dalam agihan royalti minyak kepada negeri akan masuk neraka kerana dakwanya telah menafikan hak kerajaan Pas Kelantan.

Pas lebih cenderung menyalahkan dan mencari keburukan dan kesalahan orang lain dan sebaliknya.

Diharap, peringatan Allah di bawah boleh menjadi pedoman kepada sesiapa sahaja termasuk pengikut dan penyokong mana-mana parti politik supaya tidak taksub kepada kepimpinannya.

PERINGATAN ALLAH

Pengikut Nabi Nuh AS: "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya). (7:54)

Pengikut Nabi Hud AS: "Maka Kami selamatkan Hud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar dari Kami, dan kami tumpaskan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan tiadalah mereka orang-orang yang beriman." (7:72)

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" [7: 172]

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai". [7:179]

Kita sentiasa berdoa dan berharap mereka sebilangan pemimpin dan penyokong tegar Pas akan insaf dan kembali semula ke pangkal jalan dalam memperjuangkan Islam yang sebenar. Dan bukannya dengan cara begini mengkafirkan sesama Islam.

Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka - yang sama sekali berbeza dengan politik. Perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat.

By : Zulkiflee Bakar.

KEPUTUSAN PRU 13 BUKTI UNDI PAS KUATKAN BUKAN ISLAM.....

Kempen bersungguh-sungguh DAP melalui slogan Cina ‘wu yue wu, huan zheng fu’ yang bermaksud ’505 atau ‘lima bulan lima, tukar kerajaan,’ walaupun tidak mampu menukar rejim, namun kedudukan DAP di parlimen mengatasi kompenan parti-parti pembangkang, PKR dan Pas sudah cukup menggembirakan.

Kegembiraan DAP tentang keputusan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) itu dilaporkan The Star pada 7 Mei, iaitu dua hari selepas hari pengundian.

Pada PRU 13, DAP mendapat 38 kerusi parlimen menjadikan parti itu paling dominan dalam pakatan pembangkang, meskipun parti itu bertanding paling sedikit, 51 kerusi, dibandingkan Pas dan PKR.

Pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12), DAP bertanding 47 kerusi, dan memenangi 28 kerusi parlimen, melonjak kemenangan 10 kerusi lagi pada PRU 13.

Berbanding dengan Pas yang berjaya menambahkan bilangan kerusi bertanding daripada 66 kerusi (PRU 12) kepada 73 kerusi (PRU 13), namun keputusannya pada 5 Mei, parti itu hanya memenangi 21 kerusi merosot 2 kerusi jika dibandingkan PRU 12.

Menurut Helen keputusan PRU 13 memberi impak besar dalam langskap politik pembangkang Malaysia, iaitu ahli parlimen pembangkang Muslim semakin berkurangan bilangan mereka dan ahli parlimen bukan Islam semakin bertambah.

Helen yang mengupas persoalan itu di dalam artikelnya bertajuk “Di sebalik nekad untuk tumbangkan kerajaan” merumuskan peralihan kekuatan pembangkang kepada bukan Islam seperti jadual di bawah.

Pendapat Helen hampir sama analisis jadual dan carta pai yang dilakukan Utusan Malaysia yang menunjukkan kuasa pembangkang bukan Melayu lebih tinggi, 56.18 peratus berbanding dengan kuasa Melayu-Islam, 43.82 peratus.

Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bertunjangkan kekuatan pribumi/bumiputera dan Melayu-Islam berbanding dengan pembangkang berteraskan kekuatan bukan Melayu-Islam.

“Pembaharuan yang ditawarkan Pakatan ialah tahaluf siyasi di antara puak Islam dengan puak Kristian.

“Di kalangan wakil-wakil Pakatan, yang paling kuat serta berpengaruh ialah evangelista,” rumus Helen Ang.

Manifestasi peningkatan pengaruh evangelista itu dibuktikan dengan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Di negara kita, khususnya di Jerusubang (Subang, Petaling Jaya), kewujudan gereja-gereja evangelis adalah di luar batas undang-undang kerana rumah ibadat mereka didaftarkan sebagai syarikat-syarikat RM2.

“Selain di Jerusubang, evangelista juga mempunyai pengaruh ke atas The J-Star (The Star) yang ketua pengarang kumpulannya jelas seorang Kristian ‘lahir semula’.

“MCA kelihatan mendokong segala percaturan yang disusun si evangelista kerana parti Cina tersebut mengizinkan media yang dimilikinya (The Star) itu untuk bertindak sesuka hati tanpa apa-apa kawalan, ” rumusnya lagi.

Peri pentingnya Hannah Yeoh sebagai simbolik kemenangan DAP pernah diluahkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng kepada Malaysiakini.

Menurut Guan Eng, meskipun kecewa tidak mendapat tambahan kerusi exco di Selangor, namun kekecewaan itu diubati dengan pelantikan Hannah sebagai Speaker DUN.

“Pencapaian bersejarah beliau (Hannah) bagi pihak DAP berjaya mengubat kekecewaan yang dirasakan oleh DAP dalam pengumuman barisan Exco oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini, meski pun memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Walaupun kecewa, DAP akan terus bergerak maju dan berharap supaya Tan Sri Khalid Ibrahim akan menepati komitmen beliau kepada DAP untuk memberikan lebih banyak ruang untuk memainkan peranan pada masa akan datang,” kata Lim.

Menurut Helen, pemikir evangelista bijak menyembunyikan identiti Kristiannya dengan mengekalkan nama Cina ketika bergiat dalam DAP.

Salah seorangnya, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen DAP Kluang.

Liew Chin Tong merupakan Pengarah Eksekutif REFSA (Research For Social Advancement), badan pemikir DAP yang mula-mula bekerjasama dengan yayasan demokrasi Amerika Syarikat, NDI (National Democratic Institute), seawal tahun 2005 untuk membuka ruang kepada penubuhan BERSIH tiga tahun selepas itu.

Selanjutnya, sila baca, “DAP Pencatur Sebenar Politik PR” dan “Jalur DAP Makin Selari Pemikiran Anwar.”

Liew Chin Tong yang juga Ketua biro pendidikan politik DAP berkata kepada Malaysiakini bahawa perasaan tidak senang kaum bukan Melayu terhadap kerajaan bersemai sejak sebelum PRU 12, dan dibuktikan dengan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya tahun 2008.

“Terdapat usaha (dari perdana menteri) untuk membaiki perkara ini dengan konsep 1Malaysianya, namun ia akhirnya dilihat tidak lebih daripada usaha penjenamaan untuk barangan murah.

“Sekarang ini, Pas pula dilihat lebih sederhana berbanding UMNO,” katanya.

Menurutnya, ia mula berlaku sejak pilihan raya tahun 2008 lagi dan pilihan raya lalu menyaksikan mereka dari kumpulan umur lain turut beralih arah menyokong Pakatan.

Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock dan isu loji nadir bumi Lynas memberi kesan kepada kecenderungan politik orang Cina, di samping peranan besar yang dimainkan laman media sosial seperti Facebook.

“Sebelum ini, hanya orang lelaki yang berminat dalam perbincangan politik.

“Kini dengan Facebook, golongan wanita juga mengambil bahagian dalam perbincangan politik mengikut keselesaan mereka,” katanya lagi.

Pendapat Helen Ang, Liew Chin Tong yang dibuktikan melalui data keputusan PRU 13 sudah tentu menafikan secara total kempen Pas secara retorik sebelum PRU 13.

Sebelum PRU 13, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkempen bahawa kuasa Melayu-Islam akan menjadi lebih kuat apabila parti berteraskan Islam itu membuat keputusan untuk bersama PKR-DAP dalam Pakatan Rakyat.

“Islam akan kuat (bila Pas dalam Pakatan)…Islam akan kuat, (kalau bersama UMNO) dengan apa yang ada sekarang Islam lemah,” tegasnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilaporkan Harakahdaily berkata Pas akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.

Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, Pas tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

“Pas memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…Pas keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (Pas) bersama Pakatan Rakyat,”tegasnya

By: AIDC.

Thursday, July 11, 2013

JATUHNYA SEORANG PRESIDEN PILIHAN RAKYAT.

o
‘ASTAGHFIRULLAH,Astaghfirullah, Astaghfirullah, ALLAHUAKBAR’ mulutnya tidak pernah lekang dari terus berzikir memohon pertolongan Yang Maha Esa.

“Ini adalah ujian ALLAH buatku, DIA maha mengetahui dan DIA tahu aku mampu menanggung dugaan ini,” bisiknya di dalam hati.

Jam di dinding rumah Kelab Pengawal Presiden Republikan di Kaherah dipandang beberapa kali sambil bersilang tangan.

Langkahnya ke kiri dan ke kanan dari bangun dia duduk dan berjalan ke jendela. Perkara itu dilakukan sejak awal kedatangannya ke pejabat baru di rumah itu, seolah menanti sesuatu.

Pintu diketuk dan sekumpulan tentera menyerbu masuk ke pejabat gerakan itu. Keadaan sedikit huru hara kerana lebih daripada sepuluh anggota pergerakan itu cuba menghalang kehadiran tentera daripada berjumpa beliau.

“Tidak mengapa biarkan mereka masuk dan sediakan kerusi,” pintanya memberi arahan kepada seorang ahli kumpulan itu.

“Silakan duduk Encik Abdel, apa hajat dan apa yang boleh saya bantu,” katanya kepada Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al Sisi dengan tenang. 

Hatinya yang dari malam kelmarin dirundung keresahan itu terlerai lalu berdetik adakah saatnya sudah sampai? Adakah aku akan berpisah dengan isteriku, Najlaa yang selama ini menjadi kekuatanku dan lima anakku, tiga orang cucuku serta ratusan pengikutku?

Wajah Abdel ditatap tanpa gentar.

“Tuan Presiden, kami hanya ingin membuat permintaan mudah, tempoh 48 jam telah berlalu dan kami mohon tuan mengumumkan peletakan jawatan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan protes di negara ini,” kata Abdel.

“Kamu langkah mayat saya dahulu. Saya rela mati demi rakyat Mesir. Perjuangan ini akan saya teruskan hingga ke titisan darah terakhir,” katanya sambil menggenggam erat kerusinya, menahan marah.

Bergelar Hafiz dan dibesarkan dengan penuh didikan agama tidak memungkinkan beliau untuk bangkit menerajang tetamu tidak diundang itu. Tingginya pegangan agama beliau membuatkan dia menjadi insan paling sabar sekuat imannya.

“Tuan...rakyat, ulama, hakim dan anggota keselamatan, Perdana Menteri Hesham Kandil semuanya mendesak tuan untuk berundur. Terlalu banyak kesilapan yang telah tuan lakukan. Banyak jawatan kerajaan tuan serahkan kepada Ikhwanul Muslimin, masalah ekonomi gagal ditangani. Berundurlah!,” pinta Abdel.

“Kamu langkah mayat aku dulu!,” Morsi mengulangi kata-katanya itu.

Hakikatnya, puluhan kereta perisai telah ditempatkan di jalan-jalan utama sekitar bandar Kaherah. Puluhan khemah didirikan oleh penyokong anti Morsi dan pejabat Ikhwanul Muslimin juga sudah beberapa kali di pecah.

“Sekiranya tuan tidak mahu mengikut arahan kami, saya menggunakan kuasa sebagai menteri untuk mengarahkan tuan dan pengikut lain dikenakan perintah tahanan di rumah. Tuan dan pengikut lain tidak dibenarkan keluar, semua talian media dan telefon terpaksa diputuskan. Ini ARAHAN TERAKHIR KAMI!,” katanya dan terus berlalu meninggalkan Mursi.

“Jangan susah ALLAH sentiasa melindungi kita dan ada penyelesaian untuk masalah ini. Anda jangan melawan dan hanya mengikut arahan sahaja, biarkan mereka berkuasa tetapi yakinlah ALLAH akan membantu kita,” katanya kepada pengikut beliau yang mulai kecoh.

Kira-kira setengah jam kemudian, sepasukan tentera komando menyerbu ke rumah itu mengacukan senapang ke arah ahli pergerakan Ikwanul Muslimin.

“Jangan halang tugas kami! Kami menerima arahan untuk membawa Morsi pergi!,” kata seorang komando. 

“Jangan! Jangan! Jangan! Tidak kamu tidak boleh buat begitu, Tuan Morsi tidak melakukan kesalahan dan atas tujuan apa dia ditangkap dan ke mana dia akan dibawa? Biarkan aku ikut serta, tangkaplah aku sekali, aku rela berjuang bersama dia?” teriak timbalan ketua pergerakan itu, Rashad Bayoumi.

“Itu bukan urusan kamu!,” balasnya.

“Tuan sila ikut kami!” Lengan Morsi digenggam dan pemimpin itu akur mengikut arahan.

Di ruang rumah itu jugalah puluhan media berkumpul untuk menjadi saksi penahanan Morsi.

“Tentera telah membawa Morsi pergi dan kami yakin Abdel tidak akan melayan tuntutan kami. Kami naif....Kami tidak sangka Jeneral mengkhianati Presiden yang melantiknya dahulu,” kata jurucakap Ikhwan Muslimin, Murad Ali kepada sekumpulan media.

“Anda yakin Morsi tidak akan meletakkan jawatan selepas ditahan?,” tanya seorang wartawan.

“Tidak! Kami dan beliau sanggup dipenjarakan, Morsi tidak akan memberikan kuasa kepada tentera,” katanya.

“Adakah anda sedar tempoh 48 jam telah berakhir tetapi kenapa Tuan Presiden masih berdegil?,” tanya wartawan itu lagi. 

“Wahai pemberita anda perlu tahu pada 23 Jun lalu arahan itu datangnya dari cetusan idea Duta Amerika Syarikat, Anne Patterson! Adakah kamu tahu, Asaad el-Sheikh dan Rifaah el-Tahtawy adalah sekutu AS. AS selama ini berpura-pura simpati terhadap nasib tentera Mesir berpangkalan Port Said dan Ismailia di Terusan Suez adalah SANDIWARA!

“Kamu tahu tujuan AS bersimpati adalah mahu mewujudkan sekutu tentera yang baru!, Adakah anda ingin membiarkan perkara itu berlaku? Di manakah maruah Umat Islam dan anda sebagai rakyat Mesir?” jelas Ali.
************
“Najlaa, aku rasa demi keselamatan kamu, anak-anak dan cucu kita, elok la kita berpindah. Istana Ittihadiya tidak selamat. Aku dapat rasakan kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahanku akan berlaku pada 30 hari bulan ini. Kita belum terlambat. Masih ada enam hari untuk kita bersiap dan mengemas. Bawalah Al-Quran, pakaianmu dan sejadah lebih supaya senang pengikutku untuk berjemaah di rumah kelab nanti,” katanya.

“Baik dan segala tuntutanmu akan ku penuhi. Kamu jangan bimbang keselamatan kami dilindungi ALLAH,” kata wanita tabah itu. 

Sejurus tiba di rumah kelab, kelihatan barisan puluhan tentera mengawal di sekitar kediaman itu. Berpakaian lengkap dengan senjata.

“Helo, Tuan Presiden. Abdel sini. Tuan tahu apa yang berlaku di luar sana?”

“Ya saya tahu Jeneral.” kata Morsi pendek.

“Tuan, tempoh 48 jam makin hampir. Jangan lupa perjanjian kita. Apa kata, kalau kami menawarkan pelindungan keselamatan untuk tuan dan keluarga dengan meninggalkan Mesir dan pergilah ke Turki, Libya atau ke tempat lain. Asalkan tuan melepaskan jawatan,” pintanya.

“Kamu langkah mayatku dahulu!. Assalam 'alaikum!” Ganggang terus diletakkan.

‘"Astaghfirullah, Subhanallah, ALLAHHU AKBAR..." bisiknya di dalam hati.

************ 
Pada 3 Julai, seawal jam 5 pagi askar mula mengawal seluruh jalan di Kaherah. Kenderaan tentera, ratusan polis ditempatkan. Jutaan penyokong pro dan anti Morsi berhimpun di Dataran Tahrir.

Bendera berkibar dengan lautan manusia memenuhi segenap ruang menanti pengumuman. Media sosial dan stesen televisyen bagaikan mengalami kesesakan trafik. Jutaan mesej di Twitter dan Facebook disampaikan sepanjang menanti detik pengumuman tengah hari nanti.

“Dengan kuasa yang ada pada saya, saya mengumumkan kerajaan akan mengambil kuasa di Mesir dan Presiden Muhamed Morsi digulingkan. Pembentukan kerajaan sementara akan diketuai Adly Mansur sehingga tarikh pilihan raya ditetapkan,” begitulah ucapan ringkas Jeneral Abdel Fattah di stesen televisyen.

By: Musram Rakunman.

AKTA HASUTAN : INTEGRASI RAKYAT SALING BERKAIT?


Desakan hapus tanda tak faham fungsi

Perkembangan semasa berkaitan hak asasi begitu ketara. Penelitian terhadap undang-undang yang dianggap menceroboh hak asasi sudah banyak dibuat. Dengan semangat menghormati hak asasi, pelbagai undang-undang sudah dimansuh atau diganti. Satu lagi akta yang menjadi fokus perhatian dan dikatakan menceroboh hak asasi ialah Akta Hasutan. 

Kenyataan berturut-turut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkenaan Akta Hasutan memperlihatkan kejituan beliau dalam memastikan sistem dan nilai yang kita ada ketika ini diteruskan.

" Hakikatnya Akta Hasutan ini menjadi benteng kepada kedudukan Raja-Raja Melayu. Akta ini juga menjadi tembok menjaga demokrasi berparlimen. Ia juga berfungsi menjaga kelangsungan sistem federalisme atau sistem negara Persekutuan."

Beliau tidak mahu Akta Hasutan disentuh. Saya percaya kenyataan ini dibuat bagi menegaskan pendirian beliau sebagai menteri bertanggungjawab berkenaan keselamatan dalam negeri.

Dari segi sejarah, asal Akta Hasutan ialah Enakmen Hasutan 1939 yang diperkenalkan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Seterusnya Akta Hasutan mula diperkenalkan ketika keadaan darurat di Tanah Melayu pada 1948 sebagai Ordinan 14 1948. Akta ini kemudian disemak semula pada 1969 dan diwartakan sebagai Akta 15.


Pengisian Akta Hasutan

Umumnya Akta Hasutan bertujuan mengekang perbuatan yang boleh melahirkan kecenderungan menghasut yang membabitkan Raja-Raja Melayu, kerajaan (sama ada negeri atau Persekutuan), hubungan antara rakyat negeri-negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal-hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. 


Kecenderungan menghasut secara ringkasnya boleh dikatakan sebagai sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja atau kerajaan. Ia juga menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk Malaysia.

Dua perkara ini pada asalnya adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi dimasukkan dalam Enakmen Hasutan pada FMS En.13/1939. Pengisian Akta Hasutan ini lebih kurang sama dengan Common Law Inggeris dengan penyesuaian kepada keadaan setempat.


Peranan akta

Hakikatnya Akta Hasutan ini menjadi benteng kepada kedudukan Raja-Raja Melayu. Akta ini juga menjadi tembok menjaga demokrasi berparlimen. Ia juga berfungsi menjaga kelangsungan sistem federalisme atau sistem negara Persekutuan.

Akta Hasutan melarang perbuatan menghina Raja-Raja, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Raja bagi negeri-negeri. Akta Hasutan menjaga demokrasi berparlimen dengan menjadikan kesalahan bagi sesiapa yang membuat kecenderungan menghasut untuk perubahan kerajaan dengan cara tidak sah.

Akta Hasutan menjaga hubungan antara rakyat bagi negeri-negeri yang membentuk Persekutuan dengan menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan dengan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat Raja bagi mana-mana negeri dalam Malaysia atau penduduk Malaysia.

Perkara-perkara ini ada kalanya diambil mudah oleh sesetengah pihak kerana pemahaman yang ada ialah Akta Hasutan ini menyekat kebebasan bersuara. Cadangan untuk menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Kaum agak jelas kedengaran. Memang benar keharmonian kaum adalah perkara penting. Tetapi sekiranya itu saja fokus undang-undang terbabit, ia belum mampu menggantikan Akta Hasutan yang lebih lebar ruang lingkup dan tujuannya.



Sebagai contoh, kita jarang mendengar pandangan yang meletakkan perpaduan atau integrasi antara rakyat negeri-negeri yang membentuk Persekutuan. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana keserasian atau integrasi antara rakyat negeri-negeri inilah yang menjadikan negara kita aman dan sejahtera. Dilema sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia ialah antara cinta rakyat negeri-negeri dan kesetiaan kepada Persekutuan.

Kebijaksanaan orang dulu 

Kita nampak jelas dilema ini dalam banyak negara Persekutuan lain. Kita ini diikat dengan satu kewarganegaraan tetapi dipisahkan dengan sentimen kenegerian. Walaupun hal ini tidak begitu menonjol ketika ini, kita lihat kebijaksanaan orang dulu dalam meletakkan persediaan menghadapi kemungkinan. 

Oleh itu, sekiranya kita mahu mengubah Akta Hasutan ini, perkara ini juga perlu diambil perhatian sewajarnya. Kita tidak mahu nanti sudah terhantuk baru terngadah.

Kita juga perlu mengambil perhatian bahawa punca kuasa Akta Hasutan ini adalah Perlembagaan Persekutuan sendiri, iaitu perkara 10(2)(a) dan dibaca bersama dengan 10(4) Perlembagaan Persekutuan. 

Oleh sebab akta ini membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, maka sebarang pindaan kepadanya hendaklah harus mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Kita lihat hal ini jelas disebut dalam perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. -BH

By: Suara Politik Belantan.

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik