Sunday, December 29, 2013

PERAYAAN TAHUN BARU PEMANGKIN HEDONISME.

KENAPA kita menyambut tahun baharu 1 Januari? Bukankah kita sudah menyambut tahun baharu Hijrah pada 1 Muharam saban tahun? Adakah telah disyaratkan untuk menjadi negara maju, kita mesti menganjurkan sambutan tahun baharu Masihi walaupun isi kandungan acara lebih menjurus kepada keburukan bukan kebaikan?

Tahukah kita asal-usul sambutan tahun baharu hingga kita menjadikan seolah-olah sambutan menjelang 1 Januari saban tahun sebagai acara "wajib"? "Kita" dalam konteks ini ialah pihak berkuasa yang mempunyai kuasa sama ada terus mengadakan atau tidak.

Tahun Masihi bermula pada kelahiran Nabi Isa al-Masih sementara tahun Sebelum Masihi dikira sebelum kelahiran Nabi Isa. Maknanya tahun baru 2014 yang akan muncul dua hari lagi adalah kiraan 2,014 tahun selepas lahirnya Nabi Isa dan penganut Kristian merayakan tahun baharu sebagai mengingati Nabi Isa.

Sejarah sambutan tahun baharu paling awal dimulakan oleh penganut Kristian Rom kuno pada tahun 45 Sebelum Masihi iaitu tidak lama selepas Julius Caesar diangkat sebagai Raja Rom.

Ketika itu Julius Caesar dibantu oleh ahli astronomi mengubah sistem astronomi Rom yang diciptakan sejak tahun ketujuh Sebelum Masihi dengan mengikut peredaran matahari seperti dilakukan oleh ahli astronomi Mesir.

Satu tahun dalam kalendar baharu Julius Caesar mempunyai 365 tambah suku dan dia menambahkan 67 hari pada tahun 45 Sebelum Masehi membuatkan tahun berikutnya dimulai pada 1 Januari.

Umat Islam menyambut tahun baharu Hijrah pada 1 Muharam dan sebagai sebuah negara Islam dan Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, sewajarnya tidak timbul acara sambutan tahun baharu Masihi.

Pengisian

Kalau disambut pun mungkin oleh penganut Kristian atau agama-agama lain kerana orang Islam sudah menyambut tahun baharu Hijrah dengan pengisian acara yang boleh membangunkan masyarakat. Atau dalam kata lain tidak perlulah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau agensi serta kementerian tertentu turut menganjurkan tahun baharu di Dataran Merdeka serta beberapa lokasi lain.

Ada dua persoalan utama yang mesti ditekankan dalam isu sambutan tahun baharu Masihi ini. Pertama, acara ini bukan tradisi dalam sejarah Islam kerana secara terang-terang diambil dari sejarah Kristian. Bagaimanapun masih boleh dianjurkan sekiranya isi kandungan acara tidak bertentangan dengan Islam, budaya dan akhlak masyarakat.

Kedua, daripada sudut isi acara. Setakat ini belum ada sambutan tahun baharu Masihi yang menampilkan pengisian untuk melahirkan generasi yang berakhlak, bermoral dan bersemangat juang yang tinggi. Kalau ada, sila buktikan.

Seperti yang saya katakan tadi, acara ini masih boleh dianjurkan sekiranya penganjur memastikan isi kandungan acara tidak menjurus kepada pemangkin pertumbuhan budaya hedonisme yang disuntik menerusi hiburan melampau.

Tetapi setakat ini terutama di Dataran Merdeka dan Putrajaya, isi kandungan acara sambutan tahun baharu Masihi penuh dengan hiburan yang tidak menyumbang kepada pembangunan sahsiah generasi muda. Pemujaan dan sanjungan kepada hiburan sudah terlampau tinggi dalam kalangan generasi muda khususnya yang beragama Islam. Jadi, tidak usahlah kita membinasakan generasi muda yang sudah mabuk dengan hiburan dengan melonggokkan hiburan di depan mereka. Ini sama juga dengan mengumpan generasi muda dengan K Pop.

Generasi muda mesti dikasihani, caranya jangan terus merosakkan dengan mewajarkan budaya hedonisme. Walaupun cara ini disukai generasi muda, tetapi pada masa sama menghancurkan mereka. Kita kena bertanggungjawab memberikan hiburan yang bernilai tinggi.

Kalau Julius Caesar masih hidup, sudah tentu dia berbangga kerana dialah menjelang tarikh 1 Januari saban tahun generasi muda Islam disogokkan mengikut caranya. Para birokrat pun tersenyum bangga apabila acara anjurannya mendapat sambutan. Ini menyumbang kepada KPI. Itu sajalah yang difikirkan.

Dua hari lagi akan menjelang malam tahun baharu Masihi. Khabarnya di Dataran Merdeka sudah dijadualkan acara hiburan dan pertunjukan bunga api. Dijangka acara kali ini juga seperti yang sudah-sudah, melonggokkan artis menjaja seni murahan. Tetapi dalam masa dua hari lagi kalau kita hendak berubah, kita boleh berubah. Adakah kalau ditiadakan sambutan tahun baharu Masihi kita akan dicerca oleh masyarakat antarabangsa? Kalau benar akan dicerca, biarkan kerana negara kita bukan mereka yang tentukan acuannya. Itupun kalau berani berubah - UTUSAN/29.12.13


PENEGASAN UMNO MEMERTABATKAN ISLAM

PERKARA 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan merupakan nadi penting di dalam perjuangan memartabatkan agama suci ini di Malaysia.

Peruntukan itu menegaskan fungsi Islam sebagai agama negara, bukan terhad sekadar 'alat' bagi acara-acara rasmi keagamaan serta hanya ibadah khusus untuk kesejahteraan individu.

Pada hakikatnya, peruntukan ini memperkasa peranan Islam sebagai cara hidup di ruang awam dan mencakupi pentadbiran kesejahteraan masyarakat Muslim dan non-Muslim secara komprehensif. Malah, peranan fasal ini diperkukuhkan dengan Perkara 37, Jadual Keempat berkenaan sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara Islam pada setiap masa. Dengan wujudnya kedua-dua peruntukan ini, maka terbatal sebarang unsur-unsur yang cuba mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Beberapa kes-kes utama yang diputuskan mahkamah tertinggi di negara ini juga mengesahkan peranan Islam dalam konteks ini. Percubaan pihak pembangkang yang berfahaman sekular mendakwa Malaysia sebuah negara sekular dengan menyalahtafsir sebahagian penghakiman Tun Salleh Abas di dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya [1988] ternyata tidak berjaya mempengaruhi masyarakat umum tentang sifat Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebaliknya, kes-kes mutakhir yang lebih berautoriti seperti Meor Atiqurrahman & Ors vs Fatimah Sihi Abdullah & Yang Lain (2005) dan Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [Rayuan Sivil No: 01-2-2006] merupakan penegasan peranan dan ruang lingkup peranan Islam sebagai suatu cara hidup.

Di samping pelbagai pencapaian berkaitan model-model Islam telah banyak diwujudkan, ruang pemerkasaannya untuk memenuhi maksud peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut adalah sangat luas, malah perlu diperkasakan dengan mengambil kira Malaysia masih dipimpin parti pemerintah yang bercitra Melayu-Islam seperti UMNO.

Ternyata hakikat kedudukan Islam ini tidak disenangi ramai pihak. Malaysia menerima ujian besar apabila wujud beberapa siri percubaan menghakis kedudukan istimewa Islam kebelakangan ini. Sejak lebih dua dekad lalu, strategi parti-parti politik pembangkang melalui NGO-NGO yang berfahaman sekular liberal, serta bertopengkan gerakan Hak Asasi Manusia (HAM) telah mencetuskan pelbagai percubaan mengubah lanskap kesederhanaan amalan beragama.

Mutakhir, pelbagai lapisan masyarakat telah menolak gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) di sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Geneva, yang ghairah memperjuangkan tuntutan-tuntutan batil bagi membuka ruang murtad, amalan gaya hidup LGBT, menidakkan hak istimewa orang Melayu serta tuntutan-tuntutan lain yang tidak munasabah.

Kesemua ancaman ini dimanipulasi dengan menyalahgunakan prinsip-prinsip serta mekanisme HAM sejagat khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang pada hakikatnya sendiri menjunjung ideologi yang tidak sempurna serta bergelumang dengan sikap hipokrit negara-negara Barat.

UMNO sebagai parti tulang belakang pemerintahan negara, serta memikul amanah menjalankan usaha memartabatkan perjuangan akidah, syariah dan akhlak umat Melayu-Islam, harus memposisikan niat dan tindakannya agar sejajar dengan perkembangan membimbangkan berkenaan usaha menghakis kedudukan istimewa Islam di negara ini.

Selain membangun keadaan sosio-ekonomi bangsa, UMNO perlu lebih ke hadapan di dalam memperjuangkan Islam menurut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), berpandukan sumber-sumber rujukan keagamaan yang muktabar serta mempunyai kredibiliti.

Hanya dengan inisiatif sedemikian maka perjuangan UMNO akan menzahirkan niat dan tindakan yang dilihat sederhana sekali gus dapat menjuarai usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia secara umum, melalui contoh kefahaman dan pengamalan Islam yang baik.

Justeru usaha pemerkasaan asas UMNO berhubung perjuangan memartabatkan Islam ini haruslah dipelbagaikan. Dasarnya harus jelas dan konsisten dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang tegas menjunjung tinggi kedudukan Islam.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Pada sub-fasal 3.3 pula menyatakan tujuan UMNO untuk "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama."

Selari dengan apa yang telah pun difahami dan diterjemahkan UMNO di dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, maka adalah wajar cadangan agar pindaan dilakukan menggantikan frasa asal sub-fasal 3.3 tersebut dengan frasa "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama persekutuan, serta menjunjung fahaman ASWJ". Istilah 'Islam agama rasmi' dipadamkan bagi menjadikan sub-fasal tersebut konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ingin menggariskan tiga rasional utama keperluan pindaan fasal 3.3 ini. Pertamanya, memasukkan frasa Islam sebagai agama Persekutuan ini menjadikan asas, aspirasi dan tujuan perjuangan UMNO sebagai parti tulang belakang umat Melayu-Islam selari dengan kehendak dan tujuan Perlembagaan Persekutuan yang telah pun memaktubkan kedudukan istimewa Islam dengan segala keutamaan dan implikasinya terhadap pentadbiran agama Islam di negara ini.

Pindaan ini akan secara sendirinya menzahirkan hakikat peranan besar UMNO selama ini di dalam memperjuangkan Islam sebagai suatu cara hidup dan bukan sekadar 'agama rasmi'. Malah, penambahan frasa "menjunjung fahaman ASWJ" akan memperkukuh idealisme serta iltizam perjuangan Islam UMNO dan menolak sebarang unsur-unsur ajaran sesat, termasuklah agama Syiah yang semakin berleluasa.

Keduanya, pindaan ini sebenarnya menegaskan peranan UMNO sendiri sebagai tulang belakang pemerintahan kerajaan Malaysia yang telah banyak memperkenalkan model dan sistem Islam di dalam pelbagai bidang. Kita boleh menyebut beberapa contoh seperti pindaan pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan di dalam tahun 1988 yang telah membuka ruang pemerkasaan sistem pentadbiran undang-undang Islam yang sangat meluas.

Sebagai bukti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini mengumumkan bahawa Peguam Negara telah memberi lampu hijau untuk meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang ketika ini mengehadkan Dewan Undangan Negeri hanya boleh mewujudkan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Ini membuka ruang pemerkasaan undang-undang syariah. Selain itu, pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Act) 2013 merupakan sumbangan terkini Malaysia mewujudkan model mithali dalam regulasi perkhidmatan kewangan Islam di peringkat sejagat.

Ketiga, para pemimpin UMNO sendiri dapat menzahirkan niat dan tindakan mereka mempertahankan Islam dengan lebih matang, kukuh serta berwibawa dengan adanya pindaan sub-fasal 3.3 ini. Dengan serangan yang dizahirkan melalui NGO-NGO HAM dan parti-parti politik berfahaman liberal sekular, maka kepimpinan UMNO harus terlebih dahulu memantapkan kefahaman Islam sebagai suatu cara hidup dan mengenalpasti fahaman-fahaman berbahaya seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme agama yang mencetuskan bukan sahaja kekalutan pemikiran umat Islam, tetapi juga menghasilkan gaya hidup bebas anti-Tuhan serta mengamalkan gaya hidup songsang seperti LGBT.

Melihat pada cabaran-cabaran mendatang di peringkat sejagat, ketegasan pendirian tersebut hanya dapat terus dilakukan oleh kerana wujud jaminan utuh kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka sewajarnya hal ini diterjemahkan di dalam UMNO sendiri, sebagai mengekalkan peranan relevan memperjuangkan Islam di Malaysia dan menawarkan contoh kepada negara-negara Islam lain - UTUSAN/29.12.13

GULING KERAJAAN KESALAHAN BESAR

PERHIMPUNAN yang dijangka berlangsung pada malam 31 Disember ini dijaja sebagai satu perhimpunan bagi menyatakan protes kepada kerajaan tentang peningkatan kos sara hidup. Protes ini juga dikatakan bertujuan mengingatkan kerajaan kepada janji dan manifesto pilihan raya lalu. Ia juga dikaitkan dengan ketirisan dan penyelewengan dalam hal urus tadbir negara.

Hakikatnya, perkara berkaitan kos sara hidup serta ketirisan dan penyelewengan sudah tentu menjadi perhatian dan keprihatinan pelbagai pihak. Namun begitu, protes seperti ini atau lebih tepat lagi dalam bahasa undang-undang, 'protes jalanan' adalah perbuatan melanggar undang-undang.

Menurut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012, 'protes jalanan' ditafsirkan sebagai "Suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perjumpaan di tempat yang ditentukan yang melibatkan perarakan atau perhimpunan beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan atau tujuan-tujuan tertentu".

Protes jalanan diharamkan oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan peruntukan seksyen 4(2), yang menyatakan, "Seseorang melakukan suatu kesalahan jika…(c) dia menganjurkan atau menyertai satu protes jalanan". Seseorang yang didapati bersalah atas pertuduhan menganjurkan atau menyertai protes jalanan ini boleh dihukum denda sehingga RM10,000. Hukuman ini disebut dalam Seksyen 4(3) Akta Perhimpunan Aman tersebut.

Perhimpunan aman yang dibenarkan oleh Akta Perhimpunan Aman hendaklah mempunyai penganjur. Kehendak undang-undang ini mempunyai logik dan kepentingan tertentu. Seperti dinyatakan oleh akta ini, penganjur hendaklah bertanggungjawab dalam banyak perkara yang dijelaskan oleh seksyen-seksyen 9, 10, 11, 12, dan 13 Akta Perhimpunan Aman. Antara lain, tanggungjawabnya membuat pemberitahuan tentang perhimpunan kepada pihak polis dan mendapatkan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan bagi tujuan perhimpunan itu. Logiknya, segala urusan berkaitan perhimpunan dan peserta mudah diurus dan ada pihak yang mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kesulitan.

Sekiranya tiada pihak yang mahu mengambil tanggungjawab penganjuran, kita boleh lihat ketidakmatangan pihak yang berkempen mengajak rakyat membuat protes. Sekiranya tiada pihak yang mengaku atau mengambil tanggungjawab sebagai penganjur kepada perhimpunan yang tiada pemberitahuan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman, pihak berkuasa, seperti polis, boleh membuat anggapan bahawa mereka yang memulakan, mengetuai, menggalakkan, menaja, mengadakan atau menyelia perhimpunan adalah penganjur kepada perhimpunan. Setakat ini Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) dikait rapat dengan protes 31 Disember ini. Maka TURUN boleh dianggap sebagai penganjur kepada protes ini.

Dalam suatu perhimpunan aman, penganjur dan peserta hendaklah bekerjasama dengan polis atau pihak berkuasa tempatan serta pemilik premis di mana perhimpunan itu dilakukan. Peserta dan mereka yang bertanggungjawab menyebar kempen protes ini tidak boleh menuntut kerjasama polis atau pihak berkuasa tempatan sahaja. Dalam undang-undang, mereka juga dituntut untuk bekerjasama.

Mengajak

Sekiranya pihak yang mengajak orang ramai turun menyertai protes jalanan ini bersikap bertanggungjawab maka mereka hendaklah mengambil tanggungjawab berkenaan penganjurannya juga. Inilah yang kita namakan kematangan dalam melaksanakan hak berhimpun. Mereka tidak boleh meletakkan tanggungjawab berkenaan perhimpunan ini ke atas pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya atau peserta semata-mata.

Inspirasi Akta Perhimpunan Aman adalah untuk meletakkan tanggungjawab kepada penganjur dan peserta perhimpunan, bukan kepada pasukan polis. Pihak polis hanya menjadi pemudah cara dalam perjalanan perhimpunan tersebut. Sekiranya mereka yang berkempen mengajak orang ramai turun dan menyertai protes jalanan ini enggan mengambil tanggungjawab sebagai penganjur, maka kredibiliti dan sikap bertanggungjawab mereka juga boleh dipersoal.

Seperkara lain yang menjadi persoalan adalah keikhlasan protes ini. Adakah ia benar-benar untuk rakyat atau ada dalang atau tujuan lain di sebalik penganjurannya? Persoalan ini timbul kerana ramai juga yang melihat bahawa protes jalanan ini mempunyai agenda menentang kerajaan dengan cara bercanggah dengan demokrasi atau bercanggah dengan perhimpunan aman yang dibenarkan oleh undang-undang dan sistem demokrasi kita. Keengganan TURUN, yang dikaitkan dengan penganjuran protes ini untuk mengambil tanggungjawab penganjuran dan meletakkannya kepada peserta menjadi tanda tanya; adakah ada dalang lain di sebalik penganjurannya? Sekiranya TURUN menghormati sistem demokrasi dan mendaulatkan undang-undang, maka peruntukan akta dan undang-undang berkaitan perhimpunan hendaklah dipatuhi. Ambillah tanggungjawab sebagai penganjur.

Kita perlu tahu, sekiranya protes ini boleh ditafsirkan sebagai satu aktiviti yang boleh meletakkan sistem demokrasi dalam bahaya, maka pihak penganjur dan peserta perlu mengambil perhatian tentang kedudukan undang-undang jenayah mengenai kesalahan terhadap negara. Seksyen 124B Kanun Keseksaan menyatakan, "Barang siapa, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun". Cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen juga satu kesalahan. Ini disebut dalam Seksyen 124C Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Oleh itu, sekiranya protes jalanan 31 Disember ini dikaitkan dengan Himpunan Guling Kerajaan yang pernah disebarkan dahulu, perhatian serius hendaklah diberikan oleh peserta dan juga TURUN kepada peruntukan Kanun Keseksaan ini kerana ia perbuatan atau aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Secara umumnya perhimpunan aman yang dikelaskan sebagai 'kebebasan asasi' dan menjadi milik atau hak rakyat dan seterusnya diterima sebagai perhimpunan dijamin oleh Perlembagaan dan undang-undang adalah perhimpunan yang menepati kehendak undang-undang. Jika perhimpunan itu bercanggah dengan undang-undang maka ia bukan lagi menjadi suatu hak yang boleh dituntut.

Protes jalanan bukan jalan terbaik menangani masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Pendekatan protes jalanan seperti ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Sekiranya rakyat mahukan keprihatinan kerajaan dalam menangani masalah kos sara hidup, salurkan penyelesaian kepada masalah itu, bukan membuat masalah lain yang bukan sahaja tidak boleh menjamin penyelesaian, bahkan menambahkan lagi masalah sedia ada - UTUSAN/29.12.13

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik