Sunday, May 31, 2015

1MDB: SERAH PADA PAC.....

Sebarang pandangan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sewajarnya diberikan hanya selepas pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara selesai dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).


TENGKU RAZALEIGH


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau sendiri tidak dapat mengulas mengenai isu tersebut memandangkan tidak mempunyai maklumat sahih yang mencukupi.


“Apa yang kita peroleh adalah daripada blog Sarawak Report yang kita tidak tahu benar atau tidak dan apa yang dijelaskan oleh pengurusan 1MDB yang kita tidak pasti memberi gambaran sepenuhnya.


“Kita perlu tunggu PAC yang akan mengkaji laporan Ketua Audit Negara, kemudian baru kita boleh berbincang. Buat masa sekarang ini terlalu sukar dan tidak adil,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan ‘Perjalanan Malaysia Kita-Masih Dalam Pembentukan’ anjuran Persatuan Promosi Harmoni Malaysia di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) di sini hari ini.


Yang turut hadir, Presiden Persatuan Promosi Harmoni Malaysia, Adam Mohd. Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.


Kenyataan Jabatan Audit Negara sebelum ini memaklumkan laporan awal pengauditan terhadap 1MDB bakal diserahkan kepada PAC selewat-lewatnya akhir Jun ini.


Menjawab satu soalan, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak bersetuju dengan desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperlukan bagi memulihkan kembali UMNO.


“Adakah ia mampu menyelesaikan masalah? Beliau (Dr. Mahathir) letak jawatan pun tidak selesaikan masalah, beliau kata Abdullah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) masalah, Abdullah letak jawatan pun lagi banyak masalah,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai ucaptama beliau dalam majlis perasmian persidangan itu, Tengku Razaleigh berkata, pelaksanaan dasar gaji minimum sahaja tidak mencukupi sekiranya isu kos sara hidup tinggi tidak ditangani dan kadar gaji tidak dinilai dari segi produktiviti.


“Katakan gaji minimum sebanyak RM1,000 untuk bertahan selama sebulan, ia mungkin tidak mencukupi kerana kos sara hidup yang tinggi tetapi katakan gaji yang sebenar bersandarkan produktiviti, seseorang itu mungkin akan mendapat lebih.


“Segala cakap-cakap mengenai masyarakat berpendapatan tinggi dan status negara maju, tetapi apa gunanya kalau pendapatan hanya RM100 sebulan, kita mahu sebuah masyarakat maju yang mampu menyara keluarga mereka dan bebas (dari kekangan kewangan),” katanya.


Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut membayangkan negara pada masa hadapan memerlukan sebuah parti politik yang terbuka dan tidak berasaskan kepada kaum atau agama.


“Sistem politik kita sekarang ini diwariskan oleh British, mungkin ini tidak sesuai lagi kepada anak muda kita yang mahukan perubahan, saya berpendapat kita tidak boleh meneruskan parti berasaskan bangsa (kaum), bagi UMNO, kita mempunyai tiga juta ahli tetapi ada 16 juta pengundi di luar sana,” katanya.

Dari: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik