Friday, May 29, 2015

1MDB: SHAHRIL JELASKAN SEBAB JUMPA ARUL KANDA.....


Pertemuan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dengan CEO Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bagi membolehkan Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) memahami isu-isu dan mendapatkan maklumat berkaitan syarikat strategik kerajaan itu.

Shahrir berkata, sebagai Ahli Parlimen BN dan Pengerusi BNBBC, beliau harus memahami isu-isu penting secara mendalam dan ia tidak terikat kepada 1MDB sahaja.

Ini bermakna sokongan dan pendirian ahli-ahli parlimen BN adalah berasaskan fakta serta maklumat tepat dan bukan hanya sokongan berasaskan kesetiaan kepada parti semata-mata,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bharu itu, BNBBC dari masa ke semasa mendapatkan penerangan daripada pelbagai pihak mengenai isu-isu yang ada kaitan dengan kepentingan ramai.

Sebagai contoh katanya, BNBBC telah mendapat penerangan dari Khazanah Malaysia mengenai pemulihan dan penyusunan semula MAS pada Isnin malam.

Katanya, pertemuan sama ada secara persaorangan atau berkumpulan itu membolehkan pihak berkenaan memberikan keterangan yang bermanfaat kepada ahli parlimen BN supaya dapat dijelaskan kepada rakyat.

Bercakap kepada BNBBC.MY, Shahrir mengesahkan mengadakan pertemuan dengan Arul Kanda itu pada Rabu malam yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Malah, pada malam sebelumnya, beliau telah berjumpa dengan Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Husni Hanadzlah untuk dengar mengenai kedudukan semasa dan perancangan masa depan 1MDB.

Menurut Shahrir, dalam kedua-dua pertemuan, beliau turut menyampaikan pandangan supaya syarikat berkenan dan kementerian mengambil langkah untuk menambahkan modal syarikat sejajar dengan liabiliti yang ditanggung 1MDB tanpa bergantung kepada dana awam dan pinjaman baru.

“Saya berpendapat 1MDB mempunyai aset yang bernilai tapi sebagai sebuah syarikat ianya tidak dimodali sewajarnya,” katanya.

Shahrir berkata, dalam pertemuan hampir tiga jam dengan Arul Kanda, beliau tidak menyentuh soal penyiasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB.

“Saya menghormati kedudukan PAC sebagai sebuah jawatan kuasa tetap Parlimen. PAC telah pun menerima permintaan Arul Kanda untuk ditangguhkan kehadirannya kepada suatu tarikh baru menggantikan pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu,” tegasnya.

Menurut Shahrir, beliau tidak berbincang mengenai PAC dengan Arul Kanda kerana percaya proses pengauditan yang sedang dilakukan Ketua Audit Negara serta penyiasatan oleh PAC terhadap 1MDB.

“Itu sesuatu yang harus dihormati malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu ia disegerakan,” ujarnya.

Portal The Malaysian Insider Jumaat melaporkan pertemuan antara Shahrir dan Arul Kanda serta mempertikai kenapa CEO 1MDB itu boleh bertemu Shahrir dan tidak bejumpa PAC Selasa lalu.

Arul mengesahkan bertemu Shahrir sehari selepas tarikh itu di Kuala Lumpur, tetapi mengatakan pertemuan itu diadakan hanya selepas beliau pulang ke Malaysia.

“Ya, saya bertemu dengan Shahrir, tapi itu pada Rabu. Saya tidak dapat hadir ke sesi PAC kerana hanya pulang ke tanah air pada Selasa malam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dari : Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik