Saturday, May 30, 2015

APA MAKNA KEPIMPINAN ULAMAK JIKA JADI "YES-MAN" DAP......


Penulis yakin, ramai yang masih mengingati nama Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang sebelum ini menggegarkan ramai pemimpin PAS yang pro-DAP dan PKR, juga juga dikenali sebagai "syaitan dalam jemaah" di dalam partinya.

Hasilnya, Dr Mohd Zuhdi yang merupakan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS itu dikecam hebat oleh pihak-pihak tertentu sekaligus menampakkan lagi "topeng" sebenar beberapa pemimpin PAS yang sebelum ini berselindung di sebalik "bulan purnama".

Terbaru, Dr Mohd Zuhdi "berbunyi" lagi. Bukan saja menegaskan pendiriannya untuk mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, malah beliau sempat menyifatkan Ahmad Awang sebagai seorang yang "lunak" terhadap DAP.

Kita semua tahu bahawa Ahmad Awang merupakan bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia dan bekas Naib Presiden PAS. Sudah tentu tinggi ilmu beliau tentang Islam. Namun, apalah sangat jika hendak di bandingkan dengan Abdul Hadi yang kini merupakan Timbalan Presiden Persatuan Ulama Dunia, kan?

Selain "lunak" kepada DAP, Dr Mohd Zuhdi memberi amaran kepada semua ahli dan penyokong PAS supaya tidak termakan atau terpengaruh dengan dakyah DAP yang dikatakan sedang giat berkempen untuk memenangkan calon pilihan mereka.

Beliau mendakwa parti sekutu PAS yang menolak hukum hudud itu sedang memberikan publisiti positif kepada calon pilihan mereka dan pemimpin tersebut disifatkan sebagai "mesra DAP" dan "yes man". Maksudnya, calon itu senang tunduk pada kehendak DAP...

Sekali lagi, penulis positif mengatakan pemimpin itu adalah merujuk pada Ahmad Awang memandangkan berita dan laporan mengenai pencabar Presiden PAS itu dilihat hampir setiap hari disiarkan di portal-portal pro-Pakatan Rakyat seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

Apatah lagi dengan kutukan dan serangan bertali arus terhadap Abdul Hadi begitu ketara sekali diwar-warkan di laman-laman portal "karut" itu, lebih terserlah lagi permainan politik terancang yang dilakukan untuk "boneka" DAP tersebut.

Sekiranya benar apa yang dikatakan Dr Mohd Zuhdi itu, penulis merasa kecewa dengan keadaan itu. Tidak disangka bahawa seorang yang pernah mengetuai sebuah persatuan yang berteraskan ulama Islam di Malaysia seolah hilang "ruh Islam" di dalam dirinya.

Tapi di akhir zaman ini, tidak mustahil semua itu berlaku, bukan? Sedangkan ada ahli sufi yang berjaya dipesongkan syaitan suatu ketika dahulu sehingga mati dalam keadaan sesat dan berdosa besar, inikan pula ulama di akhir zaman ini, bukan?

Namun itulah yang mungkin terjadi apabila seorang ulama menceburkan diri dalam dunia politik. Padanlah Allahyarham Syed Qutb dulu sanggup dipenjara apabila cuba ditarik untuk menyertai dunia politik. Peratusan ulama akhirat bertukar menjadi ulama dunia sangat tinggi rupanya apabila menceburi dunia siyasah...

Apa pun, penulis serahkan kepada para perwakilan PAS. Di dalam dunia politik, segala kemungkinan boleh terjadi. Abdul Hadi yang dilihat mendapat sokongan majoriti, mungkin boleh tumbang pada Ahmad Awang, hasil "tangan ghaib" dari luar.

Dalam PAS, segalanya mungkin. Lihat saja bagaimana nasib Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Dr Hasan Ali sebelum ini yang berjaya dinyahkan dari kepimpinan PAS hasil campur tangan "ghaib" dari luar. Itulah bahananya bila terlalu percaya pada "syaitan dalam jemaah" yang bermaharajalela di dalam AJK PAS Pusat...

Pada penulis, muktamar PAS kali ini akan menentukan hidup mati pada perjuangan PAS yang sebenar. Jika Abdul Hadi menang, penulis menjangka bahawa 50% perjuangan PAS itu tidak akan hilang dan akan kekal bersama parti itu.

Baki lagi 50%? Bakinya itu pula bergantung kepada Abdul Hadi dan kepimpinan PAS yang akan dipilih nanti. Jika majoriti dalam AJK PAS Pusat dikuasai oleh golongan pro-ulama, maka kemungkinan PAS akan menceraikan DAP dengan talak tiga. Tapi faham-fahamlah apa yang akan Abdul Hadi tempuh jika AJK PAS Pusat dikuasa "syaitan dalam jemaah", kan?

Penulis turut menjangka PAS akan memberi kata dua pada PKR untuk terus bersamanya atau mahu terus bersekongkol dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat. Namun penulis yakin, PKR akan lebih memilih untuk terus "tidur sebantal" dengan DAP. Jangan haraplah mereka akan bersama PAS...

Dan sekiranya PAS berpisah dari DAP dan PKR, barulah PAS akan pulih sebanyak 70%. Selebihnya 30% hanya akan PAS kecapi apabila parti itu benar-benar kembali pada ruh perjuangan PAS yang sebenar melalui sistem tarbiyyah, tamrin dan usrah yang sekian lama dilupakan di dalam parti tersebut.

Perlu diingat bahawa PAS terbentuk berdasarkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang sebenarnya tiada cita-cita penguasaan politik dan hanya berteraskan perjuangan maqasid syariah di dalam siyasah.

Hanya dengan kaedah itu barulah PAS akan peroleh kembali maruah mereka yang dipijak DAP dan PKR sejak bertahun-tahun ini. Jadi, terserahlah pada Abdul Hadi untuk mencorakkan PAS semula. Itupun kalau beliau menanglah, kan? Selamat bermuktamar! 
Dari: Utaranews.com 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik