Saturday, May 30, 2015

BERHUJAHLAH SECARA BERHEMAH.....

DALAM Islam apabila kita berselisih pendapat atau berbeza pandangan, ia seharusnya dilakukan secara berhemah dan harmoni. Tidak boleh mengikut emosi dalam melemparkan hujah apatah lagi apabila sampai pada tahap menuduh dan merendah-rendah sesama Islam.


Bagaimanapun sepanjang laporan khas berhubung tarekat baru yang dipaparkan oleh Utusan Malaysia sejak Jumaat hingga Selasa lalu, pelbagai kecaman diterima. Penulis tidak kisah kalau hujah-hujah disampaikan secara ilmiah dan tatatertib Islam. Tetapi malangnya, apa yang diperhatikan ia boleh dianggap sudah terkeluar daripada adab-adab Islam.


Sesuatu mengecewakan apabila golongan yang berbuat demikian, kononnya amat memahami soal tarekat dan mampu menghujahkan kembali apa yang diputuskan ha-ram oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.


Tidak salah untuk mereka membentangkan hujah tersebut bagi mempertahankan diri. Tetapi janganlah sampai menuduh orang yang bukan-bukan seperti jahil, berfahaman Wahabi dan buta hadis. Semua itu perkataan tidak elok dan satu tuduhan yang dibuat secara membuta tuli.


Sebenarnya, apa pun tuduhan yang dilemparkan ia tidak menjadi kudis, cuma apa yang difikirkan penulis, apakah itu cara dan adab orang yang mengaku memahami dan mendalami tarekat?


Begitu juga apabila penulis menerima satu rakaman video yang memaparkan dalam satu sesi kuliah atau tazkirah, seorang invidu bergelar ‘ustaz’ melemparkan pelbagai kecaman kepada Utusan Malaysia. Meneliti satu demi satu hujahnya, jelaslah beliau sudah sampai melakukan fitnah.

Antaranya menuduh wartawan Utusan Malaysia tidak solat Jumaat, akhbar ini hanya menyiarkan gambar-gambar wanita seksi dan memaparkan keputusan nombor ekor. Apa yang menarik ketika begitu seronok berbuat demikian dia sendiri mengaku, sudah berpuluh tahun tidak membaca Utusan Malaysia. Jika itulah alasannya layakkah dia mengulas apa yang dipaparkan oleh akhbar ini?


Sebenarnya, penulis tidak hairan pun dengan reaksi yang dikategorikan dilakukan dalam keadaan emosio-nal. Reaksi seumpama ini sudah dijangkakan dalam isu berkaitan agama apatah lagi melibatkan mereka yang dianggap ‘ulama-ulama besar’ dan ‘Sheikh besar’.


Tidak apalah itu hak mereka, tetapi berhemahlah dalam berhujah. Ini memandangkan tindakan membuat hujah secara emosional, hanya akan menyebabkan tata susila kita sebagai umat Islam tergugat dan Islam itu tercemar.


Kalau benar kita memegang teguh kepada al-Quran dan sunnah serta berusaha mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mendekatkan diri atau bergabung dalam mana-mana kumpulan dakwah mahupun tarekat maka patuhilah adab berhujah dalam Islam.

Perlu diingatkan apabila mereka berhujah secara emosional dan begitu mudah melemparkan tuduhan dengan saudara seagama yang tidak sehaluan dengan mereka maka ia akan menyebabkan orang akan mengaitkan dengan perangai orang Islam.


Itulah juga menjadi punca kepada perpecahan orang Islam. Masing-masing menegakkan hujah masing-masing, walaupun penulis dapati ada hujah-hujah dipetik mengikut kepentingan mereka sahaja. Tetapi itu hak mereka berbuat demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab terhadap apa yang diperkatakan.


Apa yang lebih penting ialah menjaga ukhuwah sesama Islam dan menjaga budi pekerti sebagai orang Islam. Jangan berhujah seolah-olah kita sahaja yang betul, puak-puak kita sahaja yang benar. Mana mungkin untuk menjadi seorang Islam yang dihormati kalau kita begitu mudah melemparkan tuduhan, dakwaan, tohmahan kepada pihak lain yang tidak sealiran dan sefahaman dengan kita.

Namun penulis tidak kisah, kalau mereka merasakan apa yang dilakukan itu betul dan mampu melempiaskan kemarahan yang terbuku, teruskanlah. Ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan. Sebaliknya, usaha tetap diteruskan bagi menghalang Tarekat Nasyabandiah Alliyah yang diharamkan di negara ini kembali berkembang supaya tarekat-tarekat lain tidak menerima tempiasnya.

Dari: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik