Saturday, May 30, 2015

BETULKAH KAKITANGAN AWAM CULAS???


Kenyataan terbuka Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai sikap tidak berdisiplin 5,000 kakitangan awam pada Sabtu lalu, dianggap pendedahan berani walaupun terpaksa mengkritik sistem perkhidmatan awam yang dipimpinnya.

Ini dilakukan walaupun sedar ia akan menyebabkan beliau tidak popular dalam kalangan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam. Walaupun bilangan mereka ini kecil berbanding lebih sejuta kakitangan perkhidmatan awam, kesannya sangat besar jika tindakan sewajarnya tidak diambil.

Namun, atas dasar ingin melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam, beliau terpaksa menyuarakannya walaupun ia boleh menjejaskan reputasinya. Untuk melakukan transformasi perkhidmatan awam, ia tidak boleh dibuat mengikut panduan naluri, cita rasa dan kata hati semata-mata.

Ia memerlukan maklumat, fakta dan angka bagi membolehkan sebarang tindakan, tidak dipersoalkan. Sebarang tuduhan terhadap pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam tidak boleh dibuat tanpa sandaran fakta dan bukti. Jika sebelum ini ada kakitangan perkhidmatan awam dikatakan lewat atau tidak datang bekerja, ia mestilah disertakan bukti.

Rekod kehadiran setiap individu sangat penting bagi membuktikan dakwaan itu. Tanpa rekod, ia dianggap tuduhan melulu. Jika terbukti kesalahan itu benar-benar dilakukan, mereka yang berkenaan perlu menilai semula perbuatan mereka. Mereka sepatutnya memikirkan tanggungjawab yang diamanah supaya berkhidmat kepada masyarakat dan negara berlandaskan slogan bersih, cekap dan amanah.

Mereka juga perlu memiliki sikap bertanggungjawab kepada rakan setugas yang terpaksa menanggung tugas yang sepatutnya mereka lakukan.

Jika tidak hadir kerja sehingga 200 hari, lebih separuh daripada jumlah hari dalam setahun, ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Kegagalan hadir bekerja begitu lama itu mestilah disertakan dengan rekod dan bukti. Gaji diterima setiap bulan juga tidak berkat, tambahan pula jika ia digunakan untuk perbelanjaan makan minum keluarga. Persoalannya, siapakah mereka?

Adakah mereka bekerja di kementerian atau jabatan kritikal atau di pejabat yang sering berurusan dengan rakyat. Jika berkhidmat di pejabat yang membabitkan kepentingan orang ramai, mereka sebenarnya menganiaya rakyat. Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada mereka untuk memudahkan urusan.

Akibat tindakan buruk segelintir kakitangan ini, seluruh perkhidmatan awam menerima tempiasnya, malah kerajaan dipersalahkan. Apakah kategori mereka? Jika kumpulan pegawai yang membuat keputusan, perbuatan mereka akan menyebabkan banyak keputusan tergendala.

Disebabkan mereka sering tiada di pejabat, banyak keputusan tidak dapat dibuat dan dilaksanakan. Jika mereka pekerja pada peringkat bawahan, banyak kerja tidak dapat diselesaikan akibat kekurangan kakitangan. Ia melewatkan urusan rakyat yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan yang sepatutnya.

Jika selama ini kerajaan mahu setiap urusan diselesaikan dalam tempoh yang paling singkat, ia sekadar kata-kata janji semata-mata. Jika kerajaan meletakkan matlamat dengan memberi keutamaan mendahulukan rakyat, kakitangan seperti ini membantutkan urusan dan matlamat berkenaan.

Jika rakyat merungut akibat layanan yang tidak memuaskan, merekalah yang menjadi punca kepada masalah itu. Agak menghairankan bagaimana kesalahan disiplin seperti itu dibiarkan berlaku sekian lama. Sepatutnya, kesalahan mereka dapat dikesan lebih awal. Apabila mereka didapati melakukan kesalahan pada peringkat awal, ketua jabatan perlu menasihat seterusnya memberi amaran.

Membiarkan perbuatan itu berterusan, ia seolah-olah menggambarkan ketua jabatan dan kakitangan lain bersubahat dengan perbuatan itu.

Mengikut Peraturan Am kerajaan, ketua jabatan boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar disiplin dengan mengikut syarat ditetapkan.

Disebabkan amalan itu sudah berlarutan sekian lama dan bilangan mereka juga dianggap agak membimbangkan, langkah memperbaiki keadaan perlu dijalankan dengan sistematik.

Setiap mereka perlu diberikan khidmat nasihat dan motivasi baharu supaya memperbaiki diri untuk menjalankan kerja dengan ikhlas, gigih dan bertanggungjawab. Jika mereka memilih berhenti kerja, tindakan sewajarnya boleh dilakukan.

Selama ini pun ada antara mereka yang bekerja pada waktu pejabat dan berniaga pada waktu luar pejabat. Realitinya, ia bukanlah ganjil di negara ini, malah digalakkan. Ramai kakitangan perkhidmatan awam yang terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja untuk menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Tidak salah bekerja kuat untuk menampung perbelanjaan keluarga secara halal tetapi usahlah mengabaikan tugas hakiki di jabatan kerajaan.

Bagi pegawai dan kakitangan yang prestasi mereka sudah dinilai dan mendapat markah skor pencapaian di bawah 60 peratus, tidak bermakna mereka dianggap penumpang.

Sebaiknya, mereka perlu menjadikannya cabaran untuk memperbaiki diri. Mereka tidak boleh menyalahkan majikan mengadakan sistem untuk menilai prestasi kakitangan kerana setiap perkhidmatan mesti ada ukurannya.

Tanpa penilai terhadap kakitangan dan pegawai bermakna ia diibaratkan kapal belayar tanpa haluan. Hanya dengan cara penilaian seperti ini kelemahan dapat dikesan dan diperbaiki.

Dari: AzmyKJ.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik