Sunday, May 31, 2015

UMNO MESTI PERTAHANKAN WASIAT DATUK NENEK.....

Ahli UMNO terutamanya barisan kepimpinan di setiap peringkat diingatkan supaya tidak sesekali mendahulukan kepentingan diri dan menggadaikan maruah agama, bangsa dan tanah air sehingga sanggup menggelapkan masa depan generasi akan datang.


Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, semua ahli termasuk pemimpin harus sedar bahawa perjuangan UMNO ditunjangi dengan niat kepada Allah demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air, selain terikat dengan wasiat yang ditinggalkan pemimpin parti terdahulu.


“Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar akan wasiat ini tetapi kepemimpinan parti terdahulu telah mewasiatkan bahawa UMNO ini telah ditubuhkan atas penderitaan, pengorbanan dan keringat mereka yang sanggup bergolok, bergadai demi agama, bangsa serta tanah air.


“Pemimpin terdahulu yang juga datuk, nenek kita juga mewasiatkan bahawa mereka telah menuntut kemerdekaan dan berjaya mempertahankan maruah agama, bangsa serta tanah air ini,” katanya dalam sesi ceramah khas di sini malam semalam.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah sempena majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-69, Anugerah Pejuang Melayu 2015 peringkat UMNO Bahagian Bukit Glugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Glugor, Glugor di sini.


Tambah Badruddin, pemimpin UMNO lampau turut mewasiatkan yang mereka telah mewakafkan perjuangan, amanah dan obor kemerdekaan yang berjaya dicapai kepada semua anak dan cucunya supaya kuasa yang ada tidak terlepas ke tangan orang lain.


Malah katanya, demi mempertahankan kekuatan dan kekebalan UMNO sebagai payung agama, bangsa serta tanah air sentiasa terjamin, pemimpin parti terdahulu mewasiatkan tiga pesanan keramat iaitu bersatu, bersedia dan berkhidmat yang harus dipegang semua pewaris parti.

Dari: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik