Thursday, June 4, 2015

ANWAR BUKAN BANDUAN?


Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah menolak terma ‘banduan’ yang diguna pakai terhadap Ketua Umum PKR yang kini menjalani hukuman selama lima tahun di penjara Sungai Buloh kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Saya tidak terima terma ‘banduan’. Dia ialah DSAI, bukan Orang Kena Tahan (OKT) atau ‘banduan’, kata Sivarasa Rasiah dalam forum “Reformasi Penjara: Penafian Hak Asasi Tahanan Politik” di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor malam ini.

Selain Sivarasa, forum anjuran Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama March To Freedom (M2F) itu turut dibarisi ahli panel lain, Nurul Izzah Anwar, Zunar, Dr Syed Husin Ali dan wakil SUARAM, Tarmizi Anuwar.

Pada 28 April lalu, organ PKR, Suara Keadilan melaporkan kenyataan bekas banduan, Sulaiman Ajik, 49 yang baru dibebaskan dari penjara Sungai Buloh.


“Kali pertama melihat Anwar di dalam sel waktu itu, saya cukup sayu dan sedih. Tidak dapat digambarkan bila seorang pemimpin seperti beliau meringkuk di penjara dalam keadaan sedemikian rupa.

“Tapi beliau tidak mudah patah semangat. Dalam penjara pun, beliau selalu beri kata-kata semangat pada semua banduan-banduan lain,” kata Sulaiman.

Sulaiman berkata, masa Anwar banyak dihabiskan dengan mentelaah buku agama dan membaca Al Quran. Malah Anwar juga mengimamkan lebih 300 jemaah banduan dan petugas-petugas penjara serta menyampaikan tazkirah seusai solat.

“Beliau langsung tidak menyentuh isu politik, semua pengisian adalah berbentuk nasihat dan bagaimana mahu menjadi manusia yang baik dan berguna kepada manusia.

“Tetapi yang menariknya apabila Anwar memberi tazkirah, para banduan seolah-olah terpaku dan sentiasa ternanti-nanti pada esoknya apa yang ingin Anwar sampaikan,” katanya.

Menceritakan pengalamannya lebih lanjut, Sulaiman berkata keadaan sel penjara sangat menyeksakan bagi individu seusia Anwar kerana dia menderita sakit belakang.

Mungkin selepas mendapat bantahan peguam, katanya, Anwar diberikan sebuah meja sebagai alas tempat tidur.

“Tetapi yang sedihnya hanya tilam nipis sebagai pengalas perbaringan. Untuk bantal pula atas inisiatif banduan-banduan yang lain yang mengumpulkan lipatan kain dan dimasukkan ke dalam sarung sebagai bantal untuk Anwar tidur,” ceritanya.

Dalam wawancara bersama Suara Keadilan, Sulaiman turut menceritakan kegemaran Anwar menyanyikan lagu Azizah dan berpuisi ketika berada dalam sel penjara. Malah beliau sempat mencatatkan puisi yang dibacakan Anwar.

Namun, kenyataan bekas banduan yang mendakwa Anwar menjadi imam dan memberi tazkirah kepada banduan lain dinafikan oleh pihak penjara.

Dalam kenyataan medianya, Jabatan Penjara itu menyatakan agensi itu mempunyai pegawai khusus atau menjemput pihak berkelayakan bagi tujuan program berbentuk kaunseling dan keagamaan untuk bantuan.

“Perkara ini tidak benar sama sekali kerana bagi tujuan keselamatan dan kesihatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempatkan dalam sel perseorangan sejak menjalani hukuman penjara pada 10 Feb 2015,” katanya.

Dari: AIDCNews/4.6.2015

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik