Saturday, June 6, 2015

APA KESUDAHAN TAHALUF SIYASI PAS?

APABILA Dewan Ulama Pas kelmarin meluluskan usul tergempar menggesa parti itu memutuskan hubungan dengan DAP, banyak pihak beranggapan kenyataan itu akan disahut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Bagaimanapun Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 dilihat mengambil pendekatan meredakan keadaan apabila menegaskan Pas tetap akan meneruskan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang selagi ia tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan sunah.

Dalam masa yang sama, beliau memberi peringatan jangan ada mana-mana pihak menyekat perjuangan Islam Pas dan parti itu sama sekali tidak akan berundur daripada matlamat tersebut dengan kata-kata, “membujur lalu melintang patah.”

Namun begitu, pemerhati politik percaya perwakilan akan membuat desakan sepanjang muktamar berlangsung bagi membolehkan Pas membuat keputusan yang jitu dalam soal hubungannya dengan DAP.

Ini memandangkan gejolak di peringkat akar umbi mahu Pas tidak membiarkan sahaja kebiadaban DAP berterusan.

Jika enam garis panduan tahaluf siyasi dikaji adalah jelas beberapa perkara pokok sudah dilanggar atau sengaja dilanggar oleh DAP.

Malah walaupun Pas menegaskan dasar memperjuangkan Islam tetap dipertahankan dan ia menjadi dasar parti itu sejak 1950-an lagi namun ia tidak dipedulikan oleh DAP.

Keadaan inilah yang memungkinkan ahli-ahli Pas berasa tidak puas hati dan mengharapkan muktamar kali ini akan membawa gelombang bagi meranapkan keangkuhan DAP yang dilihat sering sahaja tidak menghormati Pas sebagai sebuah parti Islam.

Mereka tidak nampak apa faedahnya untuk Pas terus berkawan dengan DAP sedangkan parti itu ibarat ‘duri dalam daging’ dalam pakatan apabila menyekat perjuangan Pas.

Lebih menyinggung perasaan mereka ialah perbuatan DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi masih mahu bekerjasama dengan Pas.

Langkah itu seolah-olah memberi isyarat DAP hanya mahu pemimpin yang mengikut kehendak mereka sahaja.

Oleh itu harapan diletakkan agar Pas tidak terus membiarkan wujudnya persepsi bahawa parti tersebut takut untuk menamatkan hubungan dengan DAP.

Apatah lagi kalau Pas mahu kekal dalam pakatan pembangkang tetapi memutuskan hubungan dengan DAP, ia samalah juga dengan ‘politik aneh’ DAP yang putuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi masih mahu bekerjasama dengan Pas.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mana-mana pihak membuat rumusan apakah pendirian Pas berhubung tahaluf siyasi dengan DAP sehinggalah muktamar selesai.

Apa yang pasti sudah tentu perwakilan juga mahu meninggalkan Kuala Selangor dengan penuh bangga sebagai ahli Pas.
Dari: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik