Thursday, June 4, 2015

APAKAH SANGGUP DIBIARKAN PAS DAN PRESIDEN DINODAI DAP?

senik

Dewan Ulama Pas mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara parti itu dengan DAP.

Usul yang dikemukakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik tersebut disokong secara sebulat suara oleh semua perwakilan yang menghadiri Muktamar Tahunan Kali Ke-54 sayap berkenaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak dekat sini.

Malah, mereka semua berdiri apabila diminta berbuat demikian oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa yang menyokong usul berkenaan.

Mokhtar ketika membentangkan usul tersebut berkata, tindakan itu diambil ekoran serangan amat dahsyat yang dilancarkan DAP terhadap Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita sedia maklum bagaimana DAP begitu lantang dan berani menggugat kedudukan Pas dan Presiden dengan mengisytiharkan mereka memutuskan hubungan dengan Presiden yang dianggap ayah dalam parti kita.

“Apakah kita anak-anak yang berada dalam Pas tidak ada perasaan sehingga sanggup menyerahkan Pas dan Presidennya untuk dinodai oleh DAP?” katanya.

Menurut beliau, keberanian DAP berbuat demikian adalah disebabkan oleh sikap beberapa pemimpin dan ahli Pas yang tidak wala’ kepada Abdul Hadi serta parti.

Lebih dikesali, Mokhtar memberitahu, mereka secara terang-terangan menyangkal kenyataan Abdul Hadi dengan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi, malah ada dalam kalangan pemimpin parti melancarkan serangan bertalu-talu terhadap Presiden Pas itu.

“Ahli-ahli Pas menyebabkan DAP berani menyerang Presiden dan Pas malah mereka masuk ke dalam rumah untuk menggantikan ayah kita,” ujarnya.

Beliau berkata, pencerobohan dilakukan termasuk cubaan mengawal muktamar tahun ini dengan memberi isyarat Pas mesti mengekalkan kepemimpinan yang menyebelahi pakatan pembangkang dan DAP.

“Banyak rancangan mereka terhalang oleh Pas kerana kita sedar kita adalah parti Islam maka kita tidak boleh bersetuju dengan mereka lebih-lebih lagi dalam perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT,” jelasnya.

Mokhtar menegaskan, golongan ulama dalam Pas tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan menegakkan Islam dan membiarkan mana-mana pihak menjadikan Pas sebagai parti Islam sekular.

Dari: MerdekaOnline.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik