Sunday, June 7, 2015

BETULKAH PAS AKAN SEMAKIN KUAT JIKA BERSENDIRIAN?


Seperti yang semua sudah ketahui, Muktamar Tahunan PAS ke-61 sudah pun berakhir semalam. Barisan kepimpinan baharu juga sudah memulakan tugas mereka sebaik saja muktamar berakhir. 

'Dream Team' ulama kini menerajui PAS. Rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli PAS menantikan corak kepimpinan pasukan 'cai' ulama ini. Tentulah ahli dan perwakilan PAS yang melaungkan takbir sekuat hati apabila mengetahui calon 'cai' ulama diumumkan menang, mahu melihat satu dimensi baru boleh dibawa oleh saf kepimpinan baharu. 

Barisan kepimpinan baharu ini tentunya diharap dapat melakarkan sejarah baru bagi PAS. Parti Islam itu sudah berusia lebih 60 tahun, tentulah semua ahlinya mahu PAS melangkah ke hadapan. 

Namun, Muktamar Tahunan PAS kali ini berakhir dengan satu persoalan yang membingungkan bukan hanya ahli parti itu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Persoalan yang berlegar dalam benak ahli PAS selepas muktamar ialah apakah putus atau tidak hubungan dengan DAP? 

Kalau benar mahu putuskan hubungan, kenapa usul tergempar Dewan Ulama PAS itu tidak dibahaskan dalam muktamar sebaliknya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatan Kuasa (JK) PAS Pusat untuk meneliti secara terperinci usul tersebut. Bukan sedikit perwakilan PAS yang kecewa kerana usul penting itu tidak dibahaskan. 

Bukan hanya perwakilan Rembau dan Kota Raja saja yang ingin usul itu dibahaskan dalam muktamar. Di luar dewan, ahli-ahli PAS yang datang dari jauh dan dekat, yang sanggup mengikuti perjalanan muktamar dari bawah khemah juga mahu usul itu dibahaskan. Namun mereka semua kecewa. 

Alasan yang diberikan, usul itu akan diserahkan kepada MSU dan JK PAS Pusat untuk dinilaikan. Bukankah lebih elok jika usul tersebut dibahaskan dalam muktamar, pandangan perwakilan didengari, kemudiannya MSU dan JK PAS Pusat boleh membuat pertimbangan dari pandangan perwakilan. 

Apakah sebelum membuat usul tersebut, perwakilan Dewan Ulama tidak memikirkan kedudukan PAS di Selangor? Tidak mengambil kira kedudukan anak dan menantu 'si polan-si polan' dalam GLC Selangor. Tidak memikirkan tentang kedudukan ustaz-ustaz dalam kerajaan Pulau Pinang. 

Sepatutnya Dewan Ulama perlu cermat dalam membuat keputusan. Biarpun alasan yang diberikan, menyerahkan kepada MSU dan JK PAS Pusat untuk meneliti usul tersebut, ramai yang sudah melihat kesilapan pertama sudah dilakukan oleh 'dream team' ulama. 

Ramai yang menantikan usul itu dibahas dan diterima oleh Muktamar kerana mahu melihat keupayaan PAS untuk bersendiri tanpa bertahaluf dengan mana-mana parti. Apatah lagi apabila ada yang berkata dalam jubah ulama ada siku dan lutut yang belum digunakan. 

Ia satu amaran kepada lawan PAS, bahawa parti Islam itu mempunyai senjata yang masih belum digunakan, yang boleh menumbangkan musuh mereka. 

Maka tentulah PAS sudah bersedia untuk menggunakan lutut dan siku bagi menewaskan lawan mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Dengan adanya lutut dan siku, tidak ada alasan bagi PAS untuk bimbang jika bersendirian.
Dari: UtaraNews.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik