Thursday, June 4, 2015

BILA DAP BOIKOT MUKTAMAR, DIMANA LETAKNYA MARUAH PAS?


Nampaknya PAS menerima "pukulan maut" pada Muktamar parti itu kali ke-61 ini apabila "abang besar" mereka, DAP, enggan menghantar sebarang wakil untuk hadir sama menyaksikan temasya himpunan ahli "bulan purnama" itu.

Kenyataan Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke, mengesahkan bahawa DAP tidak akan menghantar wakil mereka ke muktamar PAS itu benar-benar membuar ramai pihak teruja untuk mengetahui masa depan Pakatan Rakyat.

Apatah lagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kira-kira dua minggu lalu membayangkan bahawa Pakatan Rakyat akan berkubur sejurus selepas Muktamar PAS berlangsung, bergantung kepada keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS.

Para pemerhati politik menjangka kenyataan Kit Siang itu adalah merujuk pada pertembungan "ayam tambatan DAP", Ahmad Awang, yang mencabar kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden PAS.

Selain itu, DAP juga menunggu sama ada pemimpin kesayangan mereka, Mat Sabu, mampu mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PAS atau tidak, ekoran dicabar regu Abdul Hadi dari Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, dilaporkan juga mengenai nasib para pemimpin "mesra DAP" yang bertanding jawatan Naib Presiden PAS seperti Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang merebut jawatan tersebut dengan beberapa tokoh ulama seperti Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan sebagainya.

Perebutan AJK PAS Pusat kali ini dikatakan turut diperhatikan DAP dengan barisan pemimpin "favorite" mereka seperti Khalid Samad, Aiman Athirah, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan ramai lagi.

Soalnya, mampukah barisan "kabinet PAS, pilihan DAP" ini menang bertanding di Muktamar PAS kali ke-61 ini?

Mengulas mengenai "boikot" DAP tersebut, Mat Sabu selamba mengatakan bahawa dia belum lagi bertanyakan tentang hal yang menghalang parti itu menghantar wakil mereka ke muktamar tersebut. Menarik sungguh. "Akrab" benar Mat Sabu dengan DAP, bukan?

Tidakkah Mat Sabu rasa malu untuk bertanya sesuatu yang sebenarnya kini menjadi "open secret"? "Sudah terang lagi bersuluh", nampak sangat DAP langsung tidak pandang PAS walau dengan sebelah mata. Tapi Mat Sabu tetap "terhegeh-hegeh" mahu bertanya? Betul-betul "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong", kan?

Penulis tidak menjangka PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat sama ada ketika atau selepas muktamar berakhir. Yang penulis jangkakan ialah PAS akan terus menjadi "tunggangan" DAP dan PKR selepas ini.

Sama ada Abdul Hadi menang atau kalah, PAS akan tetap berada di takuk yang sama, sebuah parti tahap kelas ketiga di mata DAP dan PKR, serta langsung tidak dihargai pengorbanan mereka selama ini di dalam Pakatan Rakyat.

Meskipun DAP dan PKR memperlihatkan kebencian mereka terhadap Abdul Hadi, PAS tetap "buat muka tembok tebal 1000 inci" mengendeng-ngendeng tetap mahu terus bersama dua parti yang menolak usaha melaksanakan hukum Allah SWT itu, kan?
Dari: Utaranews/4.6.2015

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik