Wednesday, June 3, 2015

DAKWAAN ULAMAK MAHU BAWA PAS KELUAR PAKATAN ADALAH FITNAH....

Post Pic

 Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menempelak cubaan-cubaan untuk menanam persepsi kononnya golongan ulama mahu membawa keluar PAS daripada Pakatan Rakyat jika menang besar pada pemilihan parti esok.

Beliau berkata gambaran yang lebih realistik adalah perwakilan akan mendesak parti itu untuk mengkaji semula konsep kerjasama tahaluf siyasi yang ada sekarang dengan PKR dan DAP bagi memperkukuhkan pakatan pembangkang.
 
"Saya fikir tidak mustahil, sebab sehingga setakat ini tidak ada usul (PAS) untuk keluar PR,” kata Tuan Ibrahim yang akan mencabar Mohamad Sabu untuk kerusi timbalan presiden PAS esok.
 
Beliau berkata tidak ada pihak harus terkejut atau membuat tafsiran negatif terhadap desakan perwakilan untuk kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat dikaji semula.  
 
"Ini bukan perkara yang pelik kerana kerjasama ini sentiasa kita semak. Pertama bagi pihak PAS menyemaknya supaya jangan bercanggah dengan syarak, kerjasama kita jangan bercanggah dengan syarak. Jadi, sepanjang perjalanan menyemak kembali itu adalah perkara normal.
 
"Jangan kita anggap bila kita ada ketetapan dalam konvensyen tersebut untuk menyemak kembali kita faham bahawa itu untuk keluar dari PR.. Tidak,” tegas beliau dalam wawancara dengan antarapos.
 
"Bagi PAS, sekiranya PR pecah yang paling kecewa adalah rakyat sebab rakyat yang nak tengok perubahan dan rakyat lihat bahawa muafakat ini penting dan PAS pun setuju.
 
"Saya secara peribadi setuju bahawa muafakat ini penting tetapi muafakat itu bukan mengorbankan prinsip dan dasar parti PAS.
 
Dalam kempen-kempennya, golongan professional dilihat cuba menanam persepsi bahawa golongan ulama yang dipimpin presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu membawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.
 
Kalangan mereka turut memberi amaran jika itu berlaku,  PAS  bukan sahaja terpaksa melupakan hasrat  menawan Putrajaya tetapi Hadi akan menjalin kerjasama politik dengan Umno.
 
Dalam menolak kedua-dua dalil itu, Tuan Ibrahim bagaimanapun menegaskan PAS harus mencari formula kerjasama yang lebih mantap dengan PKR dan DAP supaya terus unggul dalam perjuangannya.
 
"Apa yang saya tengok sekarang ini ialah apabila kita bertegas dengan prinsip dan dasar kita...PAS mendapat dokongan daripada rakyat.
 
"Sebagi contoh, bila tidak lagi kedengaran PAS menjadi parti yang didominasi oleh orang lain atau PAS parti pak turut pada parti lain dan sebagainya.
 
"Sebab ketegasan kita disini orang melihat bahawa ini yang PAS perjuangkan dan dia tegas dengan prinsip tersebut.Di waktu ini kita mendapat sokongan,” kata beliau.
 
Beliau menegaskan keperluan parti komponen menghormati dasar dan asas perjuangan PAS jika mahu bersama dalam Pakatan Rakyat.
 
"PAS ada dasar dia dan kita harap rakan-rakan dalam PR tidak menyerang presiden PAS dan tidak menyerang dasar yang dibuat oleh PAS.
 
"(Serangan) ini antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku sebab kita harus menghormati dasar dan polisi setiap parti. Polisi PAS adalah tidak mencampuri dasar parti lain dan begitulah sebaliknya kita harapkan.
 
"Sebab, kalau kita naik dengan kita memijak rakan dalam Pakatan dia tidak akan menguatkan PR,” tambah beliau.
 
Beliau berkata keputusan-keputusan DAP seperti memutuskan semua hubungan dengan Hadi namun mahu terus bekerjasama dengan PAS tidak masuk akal .
 
"Inilah kenyataan yang pelik, nak kerjasama dengan parti tapi tolak presiden sebab kami ini akan dokong presiden. Siapa pun yang menjadi presiden sudah menjadi tanggungjawab seluruh ahli untuk dokong presiden tak timbul soal DAP hanya boleh kerjasama dengan ahli PAS tapi tak kerjasama dengan presiden,” kata beliau.
Dari: Antarapos.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik