Sunday, June 7, 2015

DAP JANGAN CABAR ORANG MELAYU.....



Ini bakal menambah garam pada luka dihati Ketua Menteri Paling malang Di Pulau Pinang. Setelah gagal memperdayakan jemaah PAS. Hadi Awang hari ini bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Sabah.

Kini DAP sudah tidak ada banyak pilihan. Iktiraf kepimpinan ulama PAS dan belajar menghormati adab politik parti itu atau secara terbuka menghasut PKR supaya menyebelahinya dalam perimbangan pengaruh dalam Pakatan Rakyat.

Jika DAP masih percaya formula Pakatan Rakyat adalah strategi politik terbaik untuk menjadikan impiannya menubuhkan kerajaan Malaysia ke 14, ia perlu menghakis rasa kurang selesa dan melembutkan pandangan serongnya terhadap PAS.

DAP harus insaf walaupun pelbagai strategi digunakan untuk mempengaruhi PAS, khususnya pemimpin muda dan profesionalnya, supaya memahami pemikiran politik pragmatiknya, namun PAS tetap PAS.

Jemaah PAS memang amat cemburu dan sensitif apabila ada pihak lain cuba mengambil tempatnya sebagai autoriti mentafsir pemikiran agama Islam di negara ini. Saingan paling dekatnya ialah Umno.

Bagi ahli dan penyokong tegar PAS, wibawa menafsir dan menterjemah maksud gerakan Islam di Malaysia ialah hakmiliknya sahaja. Sebab itu, sebarang percubaan, walau dari kalangan ahli, yang cuba mengubah status quo ini, akan ditentang.

Mohamad Sabu walaupun menjadi ayam tambatan PAS untuk berhujah dan berceramah yang boleh merobek maruah dan pengaruh lawan pun tidak boleh mengubah wala’ penyokong PAS kepada ulama.

Hatta Ustaz Haji Ahmad Awang walaupun pernah memimpin Persatuan Ulama Malaysia dan memikul tanggungjawab sebagai Naib Presiden PAS pun tergamak disisihkan dari saf kepimpinan, kerana dilihat “mengancam” kedudukan ulama.

Begitu juga Salahuddin Ayub yang sudah agak sinonim dengan kepimpinan pemuda serta dua penggal menjadi Naib Presiden. Bila ada riak bahawa beliau juga mungkin terpalit dengan usaha mencabar kedudukan ulama, beliaupun diketepikan.

Persepsi yang sama diserkup ke atas peranan “panglima-panglima” PAS seperti Hanipah Maidin, Abdul Khalid Samad dan juga Husam Musa. Kesemuanya ditolak penyokong PAS keluar dari saf kepimpinan parti itu.

Sehubungan itu, walaupun ahli-ahli PAS amat memahami dan kenal pendirian pemimpin seperti Dr Hatta Ramli yang sudah sekian lama diterima baik untuk menjadi ahli parlimen di Kelantan tanpa banyak soal, beliau tetap “dihukum” kerana bersubahat dengan puak yang mahu menjatuhkan ulama.

DAP harus menerima hakikat bahawa ideologi perjuangan PAS disandarkan pada keyakinan pada isi kandungan al Quran dan Sunnah yang memberi “lesen” dan “kuasa” untuk memimpin pemikiran politik muslim di Malaysia.

“Kedaulatan” dan tempat istimewa ulama inilah sumber kekuatan dan kewujudan PAS. Kepercayaan sepenuhnya diberikan kepada ulama untuk menafsir dan menghuraikan apakah sebenarnya ajaran Islam.

Tuduhlah itu sikap taksub kepada ulama, tetapi dalam kitab politik PAS itulah jalan pemikiran dan pengurusan politik yang betul. Sebab itu, mereka menerima tanpa banyak soal dan ragu menu atau syor mengundi mengikut blok.

Kini PAS sudah mengisytiharkan bahawa ia tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini adalah cabaran langsung kepada DAP bahawa kali ini PAS bersungguh untuk “memimpin” pemikiran dan halatuju politik pakatan itu pula.

Besar padahnya jika DAP masih bertegas mahu mencabar budaya dan carahidup politik PAS ini. DAP harus insaf yang mengizinkan dan membuka ruang banyak kemenangan bagi DAP dan PKR ialah sumbangan penyokong PAS tegar ini.

Mereka taat pada pemimpin walaupun mereka terpaksa memangkah calon DAP dan PKR yang bukan sahaja tidak menyokong matlamat perjuangan mereka seperti hudud, malah ada kala mempersendakannya.

Jika pemimpin-pemimpin DAP sangat alergik atau ada alahan terhadap jatidiri PAS ini, ia harus mempertimbangkan menjauhkan diri dari PAS dan mungkin juga Pakatan Rakyat sendiri tetapi bukan sebaliknya.

Jika tidak pilihan yang ada ialah berkomplot dengan PKR untuk membuat PAS rasa tidak selesa dalam Pakatan Rakyat dan ini mungkin “menggalak dan merangsang” PAS melangkah keluar pakatan itu.

Bagaimanapun jika DAP cuba membunuh “karakter atau perwatakan” politik PAS sama ada secara bersendirian ataupun bergabung dengan PKR, ia akan menjadi pemicu kepada banyak masalah politik di negara ini.

Oleh kerana terlalu menatang sokongan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina, bagai minyak yang penuh, DAP akan meruncingkan imbangan hubungan kaum Melayu dan umat Islam dengan bukan Islam.

Semangat muktamar yang berakhir Sabtu mempamerkan keyakinan PAS bahawa label pejuang Islam adalah miliknya. Mungkin yang boleh menyainginya ialah Umno. Tetapi banyak kalanya, Umno kurang bermaya menghadapi hujah agama yang digunakan PAS.

Umno terlalu kerap terperangkap dalam kesibukan “memerintah dan mentadbir” negara sehingga kurang memberi tumpuan kepada isu dan sensitiviti agama.

Mungkin ini kerana ia harus berhadapan bukan sahaja dengan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat, malah semakin kerap terpaksa menyemak strategi menguruskan harapan dan kecenderungan bukan Islam dalam Barisan Nasional sendiri.

Muktamar ke-61 PAS bukan sahaja mengukuhkan kedudukan ulama dalam politik PAS tetapi ia semakin memarakkan pengaruh ulama dalam politik Malaysia.

Malangnya di peringkat ini DAP, terutama Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, langsung tidak mahu mengambil iktibar bagaimana pemimpin profesional PAS yang akrab dengannya “dihukum” oleh akar umbi PAS.

Sebaliknya Guan Eng bertindak penuh emosi. Beliau mahu wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang supaya berundur.

"Wakil PAS tidak mempunyai pilihan lain kecuali meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan agensinya serta ahli majlis perbandaran dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

"Walaupun saya menikmati hubungan kerja yang mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS, saya faham mereka perlu meletakkan jawatan atas sebab etika dan moral.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan daripada segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung parti, apabila Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP," kata Lim dalam satu kenyataan.

Ini menyinggung perasaan mantan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang mengumumkan akan meletakkan semua jawatan yang dipegangnya dengan mandat kerajaan negeri Pulau Pinang susulan usul Dewan Ulama itu.

“Oleh itu (untuk) memenuhi hasrat usul itu, saya memulakan terhadap diri saya. Minggu ini saya akan letak jawatan di Pulau Pinang sebagai ahli Lembaga Pengarah Air dan Lembaga Halal Hub  Pulau Pinang,” kata beliau dalam ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke 61.

“…sebab saya patuh resolusi ulama, kalau tak patuh kata saya lawan ulama. Maka saya mulakan dalam diri saya, diikuti rakan-rakan lain di Pulau Pinang dan Selangor. Jangan bimbang kita akan kuat bila berseorangan,” kata beliau seolah menyindir.

Namun hakikatnya ialah, walaupun usul Dewan Ulama PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima oleh muktamar tanpa bahas tetapi ia belum muktamad kerana perlu dibahas Dewan Syura Ulama terlebih dahulu.

Nampaknya rumusan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ada asasnya. Bahawasanya hayat Pakatan Rakyat sudah sampai ke penghujungnya dan apa yang tinggal adalah membaca talkin untuk pakatan pembangkang itu.

Namun sandaran analisisnya amat menarik.

“Apa yang berlaku pastinya adalah kemenangan untuk ahli strategi dan perencana Umno dalam konspirasi mereka memecah dan menghancurkan PR dengan umpan kerajaan perpaduan di antara Umno serta PAS  dan pelaksanaan hudud di Kelantan.”
Dari: Matkilau Penamg.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik