Tuesday, June 2, 2015

DILEMA KEBANJIRAN PENDATANG ASING....

PERISTIWA orang hanyut Vietnam sekitar tahun 70-an sehingga 90-an masih menghantui sesetengah daripada kita. Dari 1975 hingga 1991, seramai 250,000 pelarian Vietnam sampai di Pulau Bidong, Terengganu. Kem Pulau Bidong dibuka pada 8 Ogos 1978 dan ditutup pada tahun 1991.


Daniel Nguyen, salah seorang pelarian Vietnam pernah mencatatkan bagaimana dia sering teringat kenangan pahit manis dalam perjalanan ke Pulau Bidong di mana seorang nelayan Melayu membantu dia dan rakan-rakan dengan memberikan makanan dan minuman.


Baru-baru ini kita disajikan pula dengan kisah pelarian Rohingya yang dilaporkan ‘berlegar’ di perairan Langkawi dan Thailand, menunggu masa untuk masuk ke beberapa buah negara termasuk negara kita. Pihak berkuasa tempatan negara kita dan Thailand terpaksa berkawal untuk ‘menghalang’ mereka menerobos sempadan negara, malah negara jiran lain turut mengambil pendekatan sama. Namun kerana perikemanusiaan, kita tetap memberi bantuan makan minum dan perlindungan sementara.


Buat masa ini negara kita dihuni lebih kurang 40,000 orang pelarian Rohingya. Pada masa sama, kita sudah mempunyai sejumlah pendatang asing yang bekerja di negara kita dalam pelbagai sektor. Walau pelbagai rungutan timbul ekoran kehadiran mereka di negara kita, kita masih mempertahankan mereka kerana mereka turut menjana ekonomi negara.


Sekitar tahun 80-an, kemasukan pendatang asing ke negara kita semakin meningkat. Permintaan tinggi terhadap pasaran kerja tempatan menyebabkan mereka masuk ke negara kita untuk memenuhi keperluan tersebut. Tambahan pula, negara kita beralih kepada negara perindustrian yang menambah jumlah pekerjaan yang sebelum ini didominasi oleh bidang pertanian yang tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.


Di negara kita, bidang perladangan, pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan memerlukan tenaga kerja yang ramai. Oleh hal demikian, negara kita mengalu-alukan kemasukan mereka kerana tenaga tempatan tidak mencukupi di samping sikap masyarakat tempatan yang gemar memilih pekerjaan. Bagaimanapun, masalah timbul apabila ada antara mereka yang memasuki negara kita secara tidak sah, yang dianggap pendatang haram sebelum digelar pula sebagai pendatang tanpa izin.


Di samping itu, masalah jenayah sering dikaitkan dengan kemasukan pendatang asing. Tidak semua dalam kalangan mereka bernasib baik di negara kita. Jika mereka masuk secara haram, bermakna sesetengah majikan tidak akan mengambil mereka bekerja dan alternatifnya mereka melakukan jenayah. Malah, pelbagai masalah sosial lain dikaitkan dengan pendatang asing seperti budaya yang dibawa oleh mereka yang bercanggah dengan budaya masyarakat tempatan.


Mereka juga menghadapi masalah tempat tinggal semasa berada di negara kita. Sekiranya mereka tidak menyewa rumah, mereka akan membina sendiri rumah di kawasan-kawasan terpencil termasuklah di kawasan hutan.


Di bandar, mereka membina rumah haram yang mencacatkan pemandangan dan menambah bebanan pihak berkuasa untuk menangani pelbagai masalah lain yang timbul ekoran daripada tindakan mereka itu. Tidak dinafikan juga bahawa kemasukan mereka ke negara kita telah menyekat peluang warga tempatan dalam pelbagai sektor yang boleh dilakukan oleh warga tempatan jika pendatang asing tidak memasuki ke negara kita begitu ramai.


Menerima pelarian secara beramai-ramai bererti kita berani menanggung pelbagai risiko di sebalik kemanusiaan yang kita pamerkan. Samalah juga, apabila kita sedia menerima sejumlah besar pekerja asing di negara kita, bererti kita terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan sudah ternyata bahawa kini kita terpaksa bergelut dengan masalah jenayah membabitkan golongan ini.


Pelbagai pihak mesti memandang serius soal kemasukan pelarian dan pendatang asing ke negara kita. Walaupun negara kita mempunyai peluang pekerjaan yang banyak dalam sektor-sektor tertentu, tetapi tidak semestinya kita serahkan bulat-bulat kepada mereka untuk menjalankan kerja-kerja dalam sektor-sektor tersebut.

Dari: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik