Dalam masa sama, banyak pihak menaruh harapan, kemenangan ini akan menjadi titik permulaan bagi mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara UMNO dan Pas. Sudah pasti apabila soal UMNO ini disentuh ada pihak yang fikiran mereka diselaputi pemikiran politik sempit akan resah gelisah seolah-olah penyatuan antara dua parti Melayu terbesar ini akan membawa petaka kepada umat Islam di negara ini.

Apabila mendengar satu demi satu hujah perjalanan politik Pas sejak 1951 yang diketengahkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada muktamar berkenaan, penulis membuat kesimpulan sememangnya Allah SWT mentakdirkan UMNO adalah parti yang dilahirkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan mempertahankan Islam manakala Pas pula demi menegakkan Islam serta memartabatkan orang Melayu.

Bayangkan apa yang akan di­nikmati oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini jika kedua-dua parti itu bekerjasama. Banyak pihak yang tersalah tafsir apabila kita menyentuh soal ‘kerjasama’. Sudah berkali-kali diperkatakan, kerjasama yang dimaksudkan ialah bersama-sama mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam serta memastikan syiar Islam terus didaulatkan.

Tetapi segelintir orang Melayu sudah diselubungi politik kebencian. Mereka melihat kalau UMNO dan Pas bekerjasama, ini akan membantutkan perjalanan politik Pas. Jika UMNO dan Pas boleh duduk semeja akan menyebabkan PKR dan DAP menjauhi diri daripada Pas. Namun persoalannya sampai bilakah orang Melayu perlu berpecah belah disebabkan perbezaan ideologi politik sehingga mengabaikan perjuangan demi kepentingan bangsa dan agama?

UMNO dan Pas mungkin tidak boleh bersatu dari segi politik tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh duduk semeja bagi menggabungkan tenaga memperjuangkan sesuatu isu berkaitan kepentingan Melayu dan umat Islam.

Sebab itulah, dalam pertemuan dengan penulis Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr.Mahfodz Moha­med ketika ditanya apakah peranan ulama Pas bagi menyatukan umat Islam, beliau menjawab - “Kita tidak menolak perbincangan de­ngan sesiapapun. Kalau DAP dan orang bukan Islam kita boleh be­kerjasama dan berbincang makan dengan orang Islam sendiri biarpun berlainan ideologi kita boleh berbuat demikian.’’

Abdul Hadi pula menegaskan - “Asal jumpa UMNO sahaja terus kata diharamkan sedangkan itu bukan pendekatan kita. Allah menasihatkan kita supaya berhubung (berbincang) walaupun dengan (pihak) yang setaraf Firaun tetapi takkan kita nak kata UMNO macam Firaun yang disebut dalam al-Quran.’’
Hujah kedua-dua ulama Pas itu sememangnya benar. Dalam apa situasi pun tidak kira orang UMNO atau Pas, mereka mengadap kiblat yang sama dan sujud kepada Allah SWT yang satu.

Justeru jangan biarkan ketaksu­ban politik menyebabkan kita buta mata dan hati untuk berusaha mencari titik persamaan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.Lihatlah, kaum lain biarpun berbeza ideologi politik, mereka akan bersatu apabila memperjuangkan isu demi kepentingan kaum mereka, segala perbezaan diketepikan, mereka duduk semeja dan berbincang sebelum memberi tekanan kepada kerajaan supaya tuntutan mereka dipenuhi.

Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Berdasarkan perkembangan semasa kita bukanlah lagi mengamalkan politik perbezaan pendapat seperti mana dibenarkan oleh Islam sebaliknya melaksanakan politik kebencian yang akan merugikan umat Islam itu sendiri.

Orang Melayu tidak boleh salahkan mana-mana pihak yang menentang hukum hudud walaupun UMNO dan Pas mencapai ke­sepakatan di Kelantan dan pusat. Orang Melayu tidak boleh melen­ting apabila ada parti politik yang me­nubuhkan Kabinet bayangan sendiri tanpa melibatkan parti-parti disertai orang Melayu. Sebaliknya orang Melayu perlu menyalahkan diri sendiri kerana mereka mengamalkan politik kebencian.

Pemimpin Melayu yang berbeza ideologi politik dicaci dalam laman-laman sosial mereka diperlekeh dan dipersendakan oleh orang Melayu sendiri. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana Allah SWT mengingatkan dalam surah Al Hujurat ayat 11 yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum lain, sebab mungkin sekali mereka yang dihina itu lebih baik dari yang menghina. Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina itu lebih baik dari mereka yang menghina.”

Tetapi peringatan Allah SWT itu seolah-olah tidak dipedulikan. Kesudahannya, orang Melayu berpecah seterusnya menjadi lemah kerana perbezaan ideologi politik yang berteraskan kepada politik kebencian.
Oleh itu, semua orang Melayu perlu menganggap kemenangan golongan ulama dalam Pas adalah satu rahmat kerana ini akan membuka jalan kepada usaha bagi memastikan parti itu dan UMNO boleh duduk semeja bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Hendak bertarung dalam pilihan raya bagi merebut kekuasaan, silakan... ini tidak salah di sisi Islam, tetapi lakukanlah secara berhemah dan diredai Allah SWT. Apatah lagi selama ini Pas boleh duduk semeja dengan DAP bagi berjuang mendapatkan kuasa politik.

Malah Pas seperti mana kata Abdul Hadi dan Dr. Mahfodz sudah banyak bersabar dengan kerenah DAP yang langsung tidak menghormati Pas yang dipimpin oleh golongan ulama. Sebaliknya, DAP terus melakukan perkara yang menyinggung perasaan Pas termasuklah menolak hukum hudud yang menjadi perjuangan Pas.

UMNO tidak pernah melayan Pas sedemikian. UMNO tidak pernah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas tetapi masih mahu bekerjasama dengan Pas. UMNO tidak pernah menentang dasar Pas dan UMNO juga tidak menolak hukum hudud Pas. Dalam apa keadaan sekalipun, UMNO sentiasa menerima Pas sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam.

Keadaan itulah yang memungkinkan Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya memperingatkan pemimpin dan ahli Pas firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 20 dalam soal tahaluf siyasi dengan DAP. Dalam surah itu Allah berfirman, ``Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang sedemikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada pihak mereka (yang kafir itu) dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-beringat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali.’’
Justeru, kita menaruh harapan supaya ada kesedaran dalam kalangan orang Melayu supaya jangan mengamalkan politik melampau sehingga akhirnya menyebabkan kuasa politik Melayu menjadi lemah manakala perpaduan Islam menjadi rapuh. Apabila itu berlaku percayalah tiada mana-mana pun orang Melayu yang untung sama ada dalam UMNO mahupun Pas.

Ingatlah perbezaan pendapat antara umat Islam adalah rahmat tetapi kebencian antara orang Islam hanya akan mengundang petaka. Sedarlah sebelum kita menjadi kelompok lebai malang,’menang sorak, kampung tergadai.’’