Saturday, June 6, 2015

KEMELUT 1MDB MALUKAN KERAJAAN.




Hari demi hari semakin ramai tokoh dan pemimpin tertinggi tidak puas hati dengan 1MDB, syarikat milik penuh kerajaan yang kini menanggung hutang sebesar RM42 bilion.

Terkini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri meluahkan perasaan – mula-mula secara tertutup, kini cara terbuka – menyatakan rasa tidak senang dan kebimbangan dengan kemelut yang memalukan kerajaan itu.

“Semua ahli lembaga pengarah 1MDB hendaklah dipecat,” tegas beliau yang juga Timbalan Presiden Umno pada satu majlis tertutup. Video ucapan beliau kini telah diketahui orang.

TPM berkata, beliau telah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib supaya BOD syarikat berkenaan bukan sahaja dipecat malah patut sekali disiasat polis. Itu sahaja cara untuk menamatkan kemelut, atau Umno akan kalah dalam pilihan raya akan datang.

*SETAKAT ini Umno Bahagian Cheras telah awal-awal menyatakan sokongan terhadap kenyataan Muhyiddin supaya CEO dan semua ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat.

Ketuanya Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mahu polis menyiasat syarikat yang sarat dengan hutang itu. Tambahnya, gara-gara kemelut 1MDB Najib kini dalam keadaan tersepit ekoran dakwaan penyelewengan syarikat tersebut.

“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana saya juga sangat percaya dengan cara ini sahaja dapat meyakinkan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan memandang serius isu ini,” katanya.

Ada sesiapa lagi ketua-ketua bahagian Umno yang ingin menyokong kenyataan Muhyiddin?

*SEBENARNYA Najib sudah pun membuat banyak penjelasan terhadap kemelut 1MDB. Beliau telah muncul di tv, sudah bercakap di akhbar, dan baru-baru ini memberi penjelasan panjang lebar di media sosial.

Tetapi seperti kata ramai pengkritik beliau, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, makin banyak yang dijelaskan Najib, timbul semakin banyak kekeliruan. Makin banyak dijawab, makin banyak pula soalan baru. Dan, setiap hari satu demi satu kepincangan dan ‘lok-lak’ syarikat dengan hutang mega itu terbongkar...

*TAHNIAH kepada PDRM yang berjaya mengurangkan kadar jenayah di Kuala Lumpur sebanyak 27 peratus, setelah memperkenalkan unit polis berpakaian biasa di lokasi tertentu.

Ketua Polis KL, SDC Datuk Tajuddin Md Isa berkata, antara Januari hingga Mei tahun lalu bilangan jenayah yang dilaporkan ialah 8,415 kes, tempoh sama tahun ini turun kepada 6,111 kes.

Kes ragut menurun 49.6 peratus kepada 1,207 kes antara Januari-Mei tahun ini berbanding 2,395 kes tahun lalu. Sebanyak 40 anggota polis berpakaian biasa digerakkan setiap masa untuk mencegah jenayah, terutama ragut. Sekali lagi syabas, dan tabik datuk!

*MASIH mengenai polis, setelah dua minggu diberi peluang terakhir untuk melangsaikan saman trafik, Isnin lalu Op Warna dimulakan untuk menjejak pesalah trafik yang telah dikeluarkan waran tangkap.

Hari pertama operasi 147 individu berjaya ditahan di seluruh negara apabila polis trafik di kontinjen negeri masing-masing melancarkan gerakan memburu di tempat kerja.

Seperti yang dilaporkan media Ketua Trafik Pasukan, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, daripada jumlah yang berjaya, 73 dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan, 74 lagi dibebaskan dengan jaminan.

Angka-angka hari pertama terlalu sedikit, sebab jumlah yang telah dikeluarkan waran tangkap di seluruh negara terlalu besar – 1.5 juta. Harap polis berjaya menjejaki pesalah hingga – seperti yang selalu diikrarkan – ke lubang cacing.

*AKHIR kalam, konon ada beras palsu – dikenali juga sebagai beras plastik – yang biasanya dijual di negara China, terutama di Taiyuan, wilayah Shaanxi, kini sudah memasuki pasaran di India, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

Beras palsu diperbuat daripada kentang manis dan ditambah resin sintetik bagi menyerupai beras asli. Setakat ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan belum menerima sebarang aduan berkenaan beras palsu itu di tempat kita.

Tidak lama dulu heboh mengenai telur palsu, juga berasal dari China. Kini muncul pula beras palsu. Dunia memang penuh kepalsuan...
Dari: SINAR.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik